Tata Group suntik AS$50 juta bantu AirAsia India terus bertahan


Syarikat penerbangan terjejas teruk susulan industri itu tidak dapat beroperasi akibat pandemik Covid-19. – Gambar EPA, 25 November, 2020.

KONGLOMERAT India, Tata Group akan menyuntik AS$50 juta dalam AirAsia India Ltd, menambah pegangannya daripada 51% pada mas ini, lapor Hindustan Times.

Memetik sumber, akhbar itu berkata pembiayaan kecemasan itu, digambarkan sebagai gabungan pelbagai hutang dan ekuiti, akan membantu AirAsia India meneruskan operasinya.

Rakan kerjasama dari Malaysia, AirAsia Group Bhd yang mempunyai 49% pegangan, dilaporkan sudah tidak lagi membiayai AirAsia India memandangkan ia turut berdepan masalah kewangan susulan industri penerbangan terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Sumber memberitahu Hindustan Times, Tata Group berhasrat untuk terus berada dalam AirAsia India dan mungkin mencari rakan kerjasama yang sesuai sebagai pelabur bersama.

“Tata Group percaya pasaran penerbangan domestik akan kembali kukuh dalam penggal pertengahan dan ada ruang yang mencukupi untuk pasaran penerbangan tambang murah domestik,” kata sumber dipetik sebagai berkata.

AirAsia Group berkata ia akan menyemak semula pembabitannya dalam AirAsia India di mana ia menambah tekanan kewangan kepada kumpulan itu.

AirAsia India memulakan operasi pada 2014. Pada Mei dan Jun tahun ini, ia memotong gaji juruterbang sehingga 40%. – 25 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen