Mustahil Pakatan Selangor kerjasama dengan PBM dalam PRN, kata pakar


Desmond Davidson

Pemerhati politik melihat permohonan PBM untuk bekerjasama dengan PH Selangor dalam PRN sebagai sia-sia, malah secara khususnya PKR mungkin tidak akan melupakan ahlinya yang melompat parti melalui Langkah Sheraton. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2023.

HASRAT Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk bekerjasama degan Pakatan Harapan (PH) Selangor bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) mungkin tidak kesampaian, kata pemerhati politik.

Malah ia hanya akan menambah beban buat pakatan yang memerintah itu kerana ia akan berdepan cabaran sengit Perikatan Nasional (PN), kata mereka.

“Saya tak rasa mereka akan dilayan, seperti mana rayuan (bekas naib presiden PKR) Tian Chua memohon pengampunan (presiden PKR) Anwar Ibrahim,” kata Jayum Jawan, profesor sains politik Universiti Putra Malaysia (UPM).

Presiden PBM Larry Sng tiada apa-apa untuk ditawarkan bagi memperkasakan pakatan pemerintah, katanya

Sng, kata Jawan, cuma pemain kecil dan “tidak begitu penting” dalam kancah politik negara.

Sambil menyifatkan permohonan Sng sebagai “langkah oportunis”, Jawan berkata objektif utamanya hanyalah untuk mengukuhkan peluang dua Adun PBM iaitu Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya) dan Daroyah Alwi (Sementa).

Haniza dan Daroyah menang atas tiket PKR sebelum mereka dipecat kerana terlibat dalam Langkah Sheraton.

Justeru, kata Jawan, PKR tidak mungkin bersetuju dengan sebarang usaha membantu dua Adun tersebut pertahankan kerusi mereka.

“Kepimpinan PKR sedang membersihkan diri daripada ahli-ahli yang oportunis,” kata Jawan.

Beliau berkata sentimen pengundi terhadap bekas ahli PKR yang sama ada berpaling tadah atau dipecat boleh dilihat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

“Banyak nama besar (yang terlibat dalam Langkah Sheraton) telah digulingkan semasa PRU15,” katanya merujuk kepada bekas timbalan presiden PKR Mohd Azmin Ali dan bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin, antaranya.

“PKR sudah matang sekarang dengan presidennya kini perdana menteri,” katanya merujuk kepada Anwar Ibrahim.

Sabtu lepas, Sng, dalam satu hantaran di Facebooknya, berkata beliau telah menulis surat kepada pemimpin PH dan menteri besar Selangor untuk untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor nanti.

“PBM kini ada dua kerusi DUN, Sementa dan Lembah Jaya,” kata Sng.

“Saya berharap hubungan kerja baik PBM dengan rakan parti komponen di peringkat persekutuan dapat diperluaskan ke peringkat negeri juga. Ini bagi memastikan kestabilan agar negara bergerak ke hadapan.”

Pakar politik Melayu Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata jika PH bersetuju dengan cadangan itu, ia hanya akan mengurangkan peluang perkongsian antara PH dan Barisan Nasional (BN) untuk menang besar di Selangor.

“PH akan berhadapan cabaran sengit daripada PAS dan Bersatu. Permintaan Larry sukar untuk dipenuhi.

“PBM tidak ada rekod prestasi di Selangor untuk mendapat sokongan,” katanya.

Awang Azman berkata pengukuhan dan penggabungan jentera pilihan raya PH-BN merupakan langkah yang lebih logik berbanding memilih langkah yang boleh dipersoalkan.

“Lebih sesuai berdepan dengan PN kerana perkongsian PH-BN ada asas sokongan yang kuat daripada pelbagai kumpulan etnik sama ada di kerusi bandar atau separa bandar.

Seperti Jawan, Awang Azman juga berkata beliau dapati PKR tidak mungkin membantu Haniza dan Daroyah dalam mempertahankan kerusi mereka.

“Susah untuk PKR maafkan (mereka).”

Katanya, adalah lebih baik jika Sng menggunakan masa ini untuk mengukuhkan sokongan akar umbinya dan membuat persediaan menghadapi pilihan raya akan datang. – 19 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen