Kelentang kelentong Majlis Ulama Umno


Faisal Tehrani

Presiden Umno Ahnad Zahid Hamidi menerima kunjungan Pengerusi Majlis Ulama Umno Dusuki Ahmad (kiri)) dan bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Mohd Khairuddin Aman Razali di pejabatnya semalam. – Gambar Facebook, 18 Januari 2023.

UNTUK mereka yang belajar dan mengkaji sejarah penubuhan PAS, bukanlah sesuatu yang mengejutkan terdapat satu fakta bahawa PAS itu terbit atau dilahirkan oleh sehimpunan ulama yang asal dan awalnya berkecimpung di dalam Umno. 

Maka cita-cita atau idea yang dilontarkan oleh presiden Umno untuk mengembalikan dewan, majlis atau sebuah organisasi yang terdiri daripada alim ulama, sepatutnya tidaklah terlalu menghairankan.

Cumanya, pertanyaan relevan ialah apakah jenis ulama yang akan berhimpun kelak dengan Ahmad Zahid Hamidi, Zahida Zarik Khan, Bung Moktar Radin dan Khairy Jamaluddin? 

Seketika dahulu, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan mereka – ulama yang melebat ke Umno – sebagai ulama terompah kayu.

Ia merujuk kepada bunyi bising dan bingit yang amat mengganggu terhasil apabila terompah kayu dipijak. Gegernya kelentang kelentong. Dek kerana bising dan gamatnya ia akan menarik perhatian orang dengan segera. 

Namun demikian, sayugia diingatkan; terompah kayu ini kebiasaannya dibawa ke jamban, reban ayam, atau garaj. Tugasnya sekadar menjadi lapik kaki untuk di bawa ke tempat pelimbahan, longkang, tempat buangan sampah dan lubang najis. 

Selesai tugasnya, ia dipecat dan ditinggalkan di rak kasut yang terlindung. Mungkin di luar dapur, disembunyikan di celah mana-mana dan kembali berperanan bila tuannya ingin kembali ke jamban.

Kecuali Abdul Hadi Awang dan rakan-rakannya yang sempat menjadi terompah kayu ketika bersama-sama Umno dan Bersatu dalam Perikatan Nasional selepas Langkah Sheraton; ulama seperti Fuad Hassan, Dr Abbas Ilias, Dr Burhanuddin Helmy, Yusof Rawa (yang kemudian menjadi mursyidul am pertama), Fadzil Noor dengan tegas menolak tawaran atau sebarang inisiatif untuk menjadi ‘terompah kayu’ ini. 

Untuk sekian kalinya kita melihat Umno terpaksa tunduk dengan tekanan dan pengaruh PAS. Dalam tahun 1980an, Umno bawah Dr Mahathir Mohamad terpaksa menjemput dan membawa masuk aktivis Abim seperti Anwar Ibrahim untuk mengimbangi PAS. 

Dr Mahathir kemudian menggagaskan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam, yang tujuannya untuk menyekat kemaraan PAS. 

Dalam tahun 1990an, sekali lagi Dr Mahathir melakukannya dengan kali ini mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam (yang tersendiri dan dalam acuan khas). 

Semua di atas membawa kepada evolusi umat Islam di Malaysia menjadi lebih ke arah sebuah masyarakat yang konservatif. Cukup konservatif untuk ‘mengkafirkan’ mana-mana orang Islam lain yang menghadiri perhimpunan parti Amanah, misalnya. 

Pengaruh dan pergolakan politik dunia Islam baik di Arab Saudi, Iran dan kemudian Turki memercik dan mewarnai pembudayaan aliran atau varian Islam di negara ini. Berbanding Indonesia, Islam di Malaysia adalah Islam rantingan, yang akan saya jelaskan kemudian.

Kesan dari usaha di zaman Dr Mahathir atas, limpahan agamawan yang dipupuk di Timur Tengah membanjiri sektor awam negara ini. Kesan dari di atas juga kita menyaksikan kesempitan sistem dan silibus pendidikan negara. 

Kesan dari di atas juga kita melihat budaya, seni dan semua aspek kehidupan ditujah secara mendadak, dengan tafsiran agama yang demikian sempit dan sengit. 

Apa yang Zahid lakukan ialah satu lagi ketundukan kepada tekanan dan pengaruh PAS. Demi mengimbangi kebangkitan ekstremisme PAS, maka cara untuk menanganinya ialah dengan memiliki sebuah grup tersendiri untuk menentangnya; Majlis Ulama Umno.

Dalam sejarah umat Islam, apabila Rasulullah SAW wafat dan pemerintahan Khulafa Ar Rasyidin berakhir, umat ditimpa malapetaka apabila pemerintahan monarki ala Parsi dan Rom mengambil alih. 

Kumpulan yang lebih layak iaitu Saidina Hasan bin Ali dan seterusnya Saidina Husin bin Ali dinafikan hak mereka; dan untuk menjadikan ini satu kebenaran Muawiyah dan anak serta keturunannya memproduksi hadis palsu di mimbar masjid, mencaci Saidina Ali dalam khutbah Jumaat, membuat macam-macam bid’ah yang melongokan, dan seterusnya membunuh para tabiin di Madinah dan Mekah, selain melakukan pembantaian terhadap keluarga Rasulullah saw di Karbala.

Islam Umaiyyah ini menafikan hak wanita, memesrai korupsi, mencabul hak asasi manusia, menyelewengkan perbendaharaan negara dan demi membolot lebih banyak harta dan materi memaksakan pembukaan wilayah baru atas nama dakwah, termasuklah menyebar sehingga ke Sepanyol. 

Oleh sebab tiada pengisian Islam yang benar, umat berada dalam keadaan linglung. Islam yang ditegakkan ialah Islam rantingan.

Untuk menegak dan menegaskan kedudukan dan posisi Bani Umaiyyah ini, mereka memerlukan barisan pelapik kaki yang utuh. Terompah kayu yang dapat membuat bising akan aneka slogan dan retorika Islami. Yang menumpu kepada hal-hal kecil. Yang mana jenis ulama inilah yang ditemui oleh Saidina Husin dalam perjalanannya ke Karbala. Apabila baginda ditahan oleh seorang alim yang dalam perjalanan menghala ke Mekah dan ingin tahu hal ehwal rantingan iaitu fikah haji. Padahalnya haji maknawi iaitu berkorban demi agama sedang dipimpin dan diketuai oleh cucunda Nabi, sosok tempat dia bertanya.

Apabila Islam Umaiyyah tiba ke pesisir pantai Barat negara kita, lebih tepat di negeri Melaka, umat Melayu terpesona dengan cara sembahyang saudagar Arab dari Judah ini. Berbondong-bondonglah umat Melayu menurutkan Raja untuk ikut menganut Islam. 

Ehwal pertama yang dipelajari oleh mereka ialah cara-cara bersolat, meluruskan saf, perihal membatalkan sembahyang dan merebak menjadi cara pandai mengaji dan lain-lain. Ehwal paling mendasar dalam Islam iaitu pemupukan akhlak dan yang maha penting lagi ialah kefahaman usuluddin itu diabaikan. 

Akibatnya umat Melayu menganut faham Islam Umaiyyah yang dilapisi atau dibungkus pula dengan Islam Parameswara. 

Menubuhkan gerakan terompah kayu untuk berdepan dengan gerakan Islam Tiktok yang penuh gedik, retis, sensasi dan fitnah ini akan membawa kepada pertembungan Islam ala Umaiyyah dengan Islam ala Abbasiyyah. Kedua-duanya tetap rantingan.

Ia mungkin akan glorious dan cukup madani seperti terlihat pada tamadun dan peradaban Islam di Baghdad. Pun, pembangunan prasarana dan kepesatan ilmu semata-mata bukanlah ukuran kebenaran Islam. Sila rujuk al-Quran dan ahlul bait; apakah metrik atau parameter ukuran kebenaran dalam Islam.

Di kanan ada PAS yang makin ekstrem, di kiri ada Umno yang kelentang-kelentong; sekarang, siapakah yang akan menunjukkan Umno dan PAS bahawa kedua-duanya memiliki varian Islam yang salah? – 18 Januari 2023. 

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen