PENGANJURAN Terbuka Australia kali ini menyaksikan ramai pemain utama menarik diri termasuk pilihan ke-11 Paula Badosa dan pemain tuan rumah Ajla Tomljanovic, lapor agensi akhbar Jerman DPA.
Sebelum ini, Carlos Alcaraz dan Venus Williams mengumumkan tidak akan menyertai kejohanan grand slam itu berikutan kecederaan manakala Naomi Osaka menarik diri susulan hamil.
Sementara itu, Roger Federer, Serena Williams dan Ashleigh Barty mengumumkan persaraan mereka tahun lalu.
Badosa dari Sepanyol mengalami kecederaan otot pinggul ketika menyertai kejohanan Antarabangsa Adelaide minggu ini manakala Tomljanovic belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut.
Sementara itu, Tomljanovic yang menewaskan Serena Williams pada Terbuka Amerika Syarikat pada musim panas lalu menaruh harapan tinggi untuk melakar kejayaan di tanah airnya selepas mara ke suku akhir pada dua grand slam terdahulu.
Tomljanovic dilihat tidak dapat menyembunyikan kekecewaan dan menahan sebak semasa sidang akhbar pada Sabtu.
“Ini mungkin detik paling sukar yang pernah saya lalui,” katanya. – Bernama, 14 Januari, 2023.
Komen