Djokovic dilarang masuk Australia selama 3 tahun


Novak Djokovic dikatakan meminta pengecualian vaksinasi Covid-19 untuk bertanding pada Terbuka Australia. – Gambar EPA, 17 Januari, 2022.

BINTANG tenis Serbia Novak Djokovic dilarang memasuki Australia selama tiga tahun selepas pembatalan visanya disahkan oleh tiga hakim Mahkamah Persekutuan pada Ahad.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Australia Scott Morrison berkata pada Isnin, Djokovic boleh dibenarkan memasuki negara itu lebih awal dalam keadaan yang sesuai, lapor agensi berita Anadolu.

Walaupun larangan itu selama tiga tahun, ada kemungkinan dia kembali dan diperiksa pada masa itu, kata perdana menteri kepada stesen radio Australia Channel Nine.

Pada 4 Januari, Djokovic berkata, dia diberikan pengecualian perubatan daripada diberi vaksin coronavirus, tetapi selepas ketibaannya, pasukan sempadan Australia membatalkan visanya kerana gagal memenuhi syarat kemasukan Covid-19.

Selepas dia dihantar ke pusat tahanan imigresen di Melbourne, mahkamah persekutuan memerintahkan dia dibebaskan.

Australia mewajibkan semua pemain diberi vaksin sepenuhnya terhadap coronavirus untuk bersaing dalam kejohanan tenis utama pertama tahun itu.

Djokovic memenangi Terbuka Australia pada 2008, 2011, 2012, 2013, 2015, 2016, 2019, 2020 dan 2021.

Kejohanan Terbuka Australia 2022, Grand Slam pertama tahun ini, bermula di Melbourne hari ini hingga 30 Januari. – Bernama, 17 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen