Nadal lakar sejarah raih Grand Slam ke-21


Rafael Nadal mencium trofi Norman Brookes Challenge Cup selepas mengatasi pemain Rusia, Daniil Medvedev di Melbourne, Australia hari ini. – Gambar AFP, 30 Januari, 2022.

RAFAEL Nadal bangkit daripada ketinggalan dua set untuk memenangi pertarungan hebat lima set ke atas Daniil Medvedev sekali gus meraih rekod kejuaraan Grand Slam lelaki ke-21 pada final tenis Terbuka Australia pada Ahad.

Pemain hebat Sepanyol itu kelihatan lemah dan kaku ketika pemain nombor dua dunia dari Rusia itu menang dua set pertama tetapi Nadal merakam kebangkitan terhebatnya 2-6, 6-7 (5/7), 6-4, 6-4, 6-4 dalam masa 5 jam 24 minit di Arena Rod Laver, Melbourne.

Nadal muncul juara dalam persaingan fizikal untuk mendahului pesaing era Novak Djokovic dan Roger Federer dalam senarai pemenang utama lelaki sepanjang zaman.

Djokovic terlepas peluang untuk menokok sembilan kejuaraan Terbuka Australia apabila dia diusir kerana isu vaksinasi menjelang kejohanan, manakala Federer cedera.

Ia satu daripada kemenangan gelaran terhebat bintang Sepanyol berusia 35 tahun itu pada final Grand Slam ke-29 buatnya untuk memenangi Terbuka Australia kali kedua, 13 tahun selepas kemenangan pertamanya pada 2009.

Nadal juga muncul pemain lelaki keempat untuk memenangi setiap empat kejuaraan Grand Slam dua kali dan lelaki ketiga tertua pada era Terbuka untuk menjuarai gelaran Grand Slam, di belakang Ken Rosewall dan Federer.

Ia kali keempat dalam karier gemilangnya Nadal bangkit untuk menang daripada kekalahan dua set pertama dan kali kedua Nadal menafikan Medvedev pada final Grand Slam, memenangi pertarungan epik lima set pada Terbuka AS 2019. – AFP, 30 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen