Australia batal visa Djokovic sekali lagi


Pembatalan visa itu bermakna Novak Djokovic tidak boleh memasuki Australia selama tiga tahun. – Gambar EPA, 14 Januari, 2022.

KERAJAAN Australia membatalkan visa Novak Djokovic buat kali kedua pada Jumaat ketika mereka bercadang menghantar pulang bintang tenis itu selepas dia hadir di negara itu tanpa vaksin Covid-19.

Menteri Imigresen Alex Hawke berkata, beliau bertindak atas “alasan kesihatan dan ketenteraman demi kepentingan awam.”

Kerajaan Perdana Menteri Scott Morrison “tegas komited untuk melindungi sempadan Australia, terutamanya berkaitan dengan pandemik Covid-19,” kata Hawke dalam satu kenyataan.

Pembatalan itu bermakna Djokovic tidak boleh memohon visa baharu Australia selama tiga tahun, kecuali dalam keadaan tertentu.

Keputusan mengenai visa itu menyebabkan impian pemain nombor satu dunia dari Serbia itu untuk merangkul kejuaraan Terbuka Australia kali ke-10 dan rekod Grand Slam ke-21 punah.

Djokovic adalah pilihan utama kejohanan dan berlatih di gelanggang Melbourne Park beberapa jam sebelum itu.

Pemain bintang itu tiba di lapangan terbang Melbourne pada 5 Januari menuntut pengecualian vaksin kerana keputusan ujian PCR yang positif pada 16 Disember.

Ejen sempadan menolak permintaannya, mengoyakkan visanya dan menempatkannya selama empat malam di pusat tahanan Melbourne.

Pasukan perundangan Djokovic secara dramatik berjaya mengubah keputusan visa itu kerana pegawai sempadan di lapangan terbang gagal memberinya masa mencukupi untuk memberi jawapan.

Sesetengah pemain tenis menyatakan Djokovic patutnya dibenarkan bermain tetapi tidak semua menyokongnya.

Pemain nombor empat dunia Stefanos Tsitsipas mengkritik tingkah lakunya.

“Pastinya dia bermain mengikut peraturannya sendiri,” kata Tsitsipas dalam temu bual dengan penyiar India WION.

Hampir setiap orang di Terbuka Australia sudah mendapatkan vaksin, kata Tsitsipas. Namun yang lain “memilih mengikut cara mereka sendiri yang menyebabkan majoriti kelihatan seperti mereka semua bodoh”. – AFP, 14 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen