Najib akan beri 'khabar gembira' buat rakyat Sabah, kata Anifah


Anifah yakin kerajaan di bawah kepimpinan Najib akan mengotakan janji yang sering dibangkitkan oleh pemimpin nombor satu negara itu dalam banyak kunjungannya ke Sabah sebelum ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Mac, 2018.

RAKYAT Sabah akan menerima “khabar gembira” daripada Perdana Menteri Najib Razak dalam masa terdekat khususnya mengenai tuntutan hak negeri ini yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dakwa Menteri Luar Anifah Aman.

Beliau yakin kerajaan di bawah kepimpinan Najib akan mengotakan janji yang sering dibangkitkan oleh pemimpin nombor satu negara itu dalam banyak kunjungannya ke Sabah sebelum ini.

“Oleh kerana ini adalah janji perdana menteri, saya katakan saya yakin kepada Allah S.W.T, saya percaya kepada beliau…yang penting marilah kita bagi sokongan yang padu pada kepimpinan Datuk Seri Najib dan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai  pengumuman kerajaan Sarawak baru-baru ini berhubung hak negeri itu yang dituntut daripada kerajaan persekutuan.

Katanya, Sabah lebih cenderung menggunakan pendekatan konsultasi, dialog dan berunding dalam menyuarakan sebarang tuntutan termasuk mengenai MA63 dan setakat ini perbincangan berjalan lancar.

“Apa yang Sarawak dapat, kita akan dapat, tetapi kita mempunyai kelebihan yang termaktub (dalam MA63) bahawa kita berhak mendapat 40% daripada hasil Sabah yang Sarawak tidak ada,” kata Anifah yang juga ahli Parlimen Kimanis.

Mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang kini mengetuai gerakan pembangkang dan pengerusi Pakatan Harapan mengenai MA63 dalam pelancaran Manifesto Pakatan Harapan baru-baru ini, Anifah berpendapat ia lebih kepada retorik politik berbanding usaha yang dijalankan oleh beliau (Anifah) bersama beberapa lagi menteri dari Sabah sejak tahun 2015.

“Saya cuma dukacita kerana beliau (Dr Mahathir) sepatutnya menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan bangsa tapi sekarang beliau memecahbelahkan rakyat Malaysia… saya sedih,” katanya.

“Bagaimanapun kita masih hormat dengan Tun Dr Mahathir, tetapi rakyat masih lagi mahu BN untuk menerajui kerajaan dan negara kita,” katanya. – Bernama, 10 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Dedak gred a satu

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan

  • manifesto BN jelas dan sesuai dengan situasi semasa tapi tidak bagi PH, manifesto mereka hanya mengleirukan rakyat dengan beberapa perkara seperti penangguhan PTPTN dan isu mansuhkan gst dan gantikan dengan cukai baru.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan