Harapan penyewa Ampang Park hancur, kerja meroboh akan diteruskan


Low Han Shaun Asila Jalil

Ampang Park yang dibina pada 1973 akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan MRT Ampang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 Jun, 2017.

SELAMA 44 tahun, kompleks beli-belah Ampang Park menjadi rumah kedua kepada 39 penyewanya dan ramai pelanggan seluruh dunia. Tetapi, selepas keputusan mahkamah semalam, kompleks itu kini menghitung hari sebelum ia ditutup.

Jason Kumar, 29, dari kedai Jason’s Men Shop berkata dia sedih kerana terpaksa keluar mengosongkan kedainya.

“Ia sangat menyedihkan, tidak ada apa lagi yang hendak dikatakan. Saya rasa sangat kecewa dengan cara pihak berkuasa mengendalikan keadaan ini,” katanya.

Malah, pelanggannya dari seluruh dunia turut datang untuk menggunakan perkhidmatan jahitannya bagi kali terakhir.

“Kami akan berpindah ke pusat beli-belah lain, dan akan mengambil masa serta usaha lagi untuk mengembalikan kegemilangan kedai saya,” katanya.

Bapanya, Pritam Ranai, 65, berkata dia tidak menjangkakan keadaan seperti ini berlaku kepada keluarganya.

“Kami pernah digelar Kingsmen Shop pada 1973, ia diturunkan dari generasi ke generasi. Saya tidak sangka ia berlaku pada generasi anak saya.

“Jika ada satu perkara anda boleh buat, tolong beritahu pelanggan kami, ia sangat membanggakan dapat berkhidmat kepada mereka, dan kami harap dapat menjahit pakaian untuk mereka lagi tidak lama lagi,” katanya.

Tapak pembinaan MRT dilihat daripada dalam Ampang Park. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 Jun, 2017.

Pemilik Haby & Wools, Lee Chooi Ping, 53, berkata dia kecewa dengan sistem kehakiman Malaysia kerana tidak melindungi hak mereka, dan terpaksa menanggung kerugian kerana terpaksa berpindah rumah dan tempat berniaga.

“Kami di sini sejak 1973 ketika pusat beli-belah ini dibuka, datuk saya membeli kedai ini dan diturunkan dari generasi ke generasi,” katanya.

Lee berkata beberapa ejen pusat beli-belah ada menemuinya dan menawarkan dia berpindah ke tempat lain, tetapi katanya keadaan tidak akan sama lagi.

“Mereka kata saya perlu buka pada 10 pagi hingga 10 malam jika menyewa di tempat mereka. Saya tidak boleh buat begitu. Ia berbeza sekarang kerana anda tidak mampu lagi membeli kedai seperti dulu,” katanya.

Pemilik butik pakaian Muslimah, Norhalisa Anoar dia tidak suka Ampang Park dirobohkan kerana tidak ada lagi pusat beli-belah yang mengekalkan reka bentuk asal zaman 1970-an seperti itu.

“Kebanyakan pengunjung kalangan warga emas dan sering mengenang memori indah ketika Ampang Park sedang gemilang.

“Ia sangat menyedihkan kerana ia akan dirobohkan bersama banyak kenangan sentimental yang tercipta di sini,” kata Norhalisa.

Hubungan rapat antara penyewa pelbagai bangsa di situ juga aspek paling penting bagi Norhalisa, 31.

Dia juga percaya barang yang dijual di situ jarang ditemui dan kebanyakan penyewa berpegang teguh kepada budaya dan identiti Melayu. Terdapat banyak baju tradisional dan aksesori Melayu boleh didapati di setiap sudut pusat beli-belah itu, di mana faktor penting itu tidak didapati di pusat beli-belah baharu.

Norhalisa berkata dia tidak merancang memindahkan kedainya ke tempat lain.

“Saya ada pelanggan tetap dan jika Ampang Park dirobohkan, saya tidak tahu lokasi mana yang sempurna seperti di sini,” katanya.

Ampang Park dijadualkan dirobohkan untuk membolehkan MRT Corp membina stesen MRT Ampang. Laluan itu yang akan dibina bawah tanah, memerlukan pusat beli-belah itu dirobohkan.

Pada 8 Januari tahun lalu, 39 pemilik perniagaan dan penyewa di Ampang Park memfailkan tindakan undang-undang untuk membatalkan kelulusan bagi perobohan pusat beli-belah itu.

Bagaimanapun, permohonan mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 30 Jun tahun lalu dan sekali lagi pada 18 Januari tahun ini. Keputusan itu menyebabkan mereka perlu berpindah keluar sebaik saja pejabat tanah mengesahkan tarikh roboh. – 3 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen