Undi percaya dan perangai ahli Parlimen


Mohd Fudzail Mohd Nor

SAYA tidak berminat untuk menonton sidang Parlimen kerana sebelum ini asyik dengan percakaran antara ahli Parlimen atau YB atau MP. Lagipun hanya kebelakangan ada siaran langsung namun saya tidak peduli untuk mengikuti. Cuma kali ini dengan perdana menteri ke-10 ada minat dan teruja untuk melihat dengan kerajaan perpaduan.

Selalunya melihat perbahasan di Dewan Rakyat barangkali kerajaan perlu memperkenalkan semula mata pelajaran Sivik sebagai subjek wajib di sekolah. 

Ada insiden yang menyaksikan segelintir ahli Parlimen mengeluarkan kata-kata kurang ajar, kurang sopan, lucah dan berkelakuan yang tidak sepatutnya. 

Saya sangat dukacita dengan perangai buruk. 

Ada juga yang sengaja menjadikan isu kecil untuk mencetuskan pertikaman lidah antara satu sama lain dan terjadi pergaduhan.

Semua rakyat mengimpikan amalan demokrasi matang berlandaskan prinsip kesopanan dan kesusilaan yang harus berada di Parlimen. Ini termasuk membabitkan perbahasan yang nampak komitmen sepatutnya tanpa ada niat di sebaliknya.

Lantas saya menonton sepenuh sesi Parlimen di hari pertama melalui laptop sambil menulis. Dengan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Johari Abdul yang dipilih sebagai Yang DiPertua Dewan Rakyat, menggantikan Azhar Azizan Harun.

Rakyat selalunya mengikuti persidangan dan perbahasan di Parlimen yang menjadi badan perundangan bertanggungjawab melulus dan meminda undang-undang, Perlembagaan serta dasar kerajaan.

Untuk itu, Parlimen Malaysia terbahagi kepada Dewan Rakyat yang anggotanya dipilih pada pilihan raya dan Dewan Negara dengan anggotanya dilantik berdasarkan Fasal (1) Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan.

Rakyat memilih wakil rakyat di mana sebelum sesuatu rang undang-undang diluluskan menjadi undang-undang, dibahaskan di kedua-dua Dewan sebelum perkenan Yang Di-Pertuan Agong. Perbahasan berpandukan Peraturan Majlis Mesyuarat.

Perbahasan di Dewan Rakyat sering dikritik sejak beberapa tahun kerana kualiti yang rendah dan terus menurun. Dengan bahasa dan tingkah laku YB tidak menggambarkan profesionalisme sebagai wakil rakyat yang sepatutnya  berhemah tinggi.

Antara  teguran dan kritikan terhadap sebahagian YB ialah penggunaan bahasa kasar dan kesat. Memanggil dengan nama tidak sesuai dan layak. Ada pula langsung tidak menghormati peraturan sidang Parlimen dan suka mengganggu sewaktu seseorang YB sedang bercakap dengan tidak senonoh.

Dengan tingkah laku dan sikap segelintir  tidak menghormati peraturan memberikan imej tidak baik kepada masyarakat yang menonton. Pelajar turut menonton perbahasan siaran secara langsung. Sikap tidak profesional dengan penggunaan bahasa tidak sopan membawa reaksi negatif untuk kesemua YB yang berada di dalam dewan.

Memang ramai mengeluh, tidak berpuas hati dan kecewa dengan tingkah laku sebahagian YB yang seolah-olah langsung tidak menghormati kedudukan Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi.

Boleh dikatakan sikap, kelakuan dan tingkah laku YB turut mencerminkan kualiti keperibadian seseorang wakil rakyat yang dilantik oleh rakyat. Sudah tentu rakyat meletakkan harapan tinggi kepada wakil selepas memilih untuk memperjuangkan isu yang berkait dengan rakyat.

Masyarakat amnya sangat dekat dengan antaranya pengangguran, kemiskinan, peningkatan kadar jenayah, peluang pekerjaan, kenaikan kos sara hidup, bantuan kepada B40 dan rumah mampu milik. Paling tidak rakyat inginkan YB untuk membahaskan isu sebegini demi menjaga kepentingan mereka.

Paling sengkek apabila perbahasan ditonton lebih kepada perkara remeh temeh. Dengan memperlihatkan kelakuan, tingkah laku dan sikap tidak profesional. Rasanya rakyat tentu frust, kecewa dengan YB yang dipilih.

Walau bagaimanapun, majoriti ahli Parlimen telah menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan baik ketika berbahas.

Ramai YB membuat persiapan dan kajian  rapi sebelum mengemukakan soalan dan membentangkan dengan profesional.

Kita pasti mutu soalan dan perbahasan sudah tentu menonjolkan imej yang baik dan dapat diikuti dengan segar kepada negara jiran yang boleh memahami bahasa Melayu.  

Sudah tentu rakyat mahukan YB menunjukkan kualiti perbahasan yang baik seperti yang saya tonton di New Zealand, Australia, Perancis, Jerman, Britain, Amerika Syarikat dan Eropah. Para YB mereka berbahas secara profesional dan beretika dengan sopan dan lancar.

Tidak seperti Hong Kong, Taiwan, India, Sri Lanka dan Korea Selatan dengan senario perbahasan sehingga melempar kerusi, bergaduh dan bercakaran sesama sendiri. Dijauhkan dan dihindari.

YB perlu mengemas kini maklumat sendiri supaya setiap soalan diajukan dan pandangan diberi berdasarkan ilmu pengetahuan, kajian, penyelidikan dan pengalaman. Memberi pandangan dan mengemukakan soalan perlu dengan nada dan ucapan berhemah dan jujur. Seharusnya YB mengikut peraturan sidang supaya  berjalan teratur, kemas, lancar dan tiada insiden tidak diingini berlaku.

Melihat YB yang dipilih pada PRU15 terdiri daripada kalangan yang mempunyai latar belakang, pendidikan berbeza dengan pelbagai pengalaman politik. Tentunya para YB berpengalaman dapat memberi contoh dan teladan baik kepada YB yang muda dengan efisien.  

YB senior atau YB junior turut sama terbabit dalam perbahasan dengan mengemukakan soalan, kritik dan pandangan berkualiti melalui tingkah laku berhemah dan sopan.

Paling berhemah untuk YB dalam perbahasan menilai semula tindakan dan tingkah laku sewaktu bersidang. Paling utama dengan tidak menganggap apa yang YB lakukan sewaktu berbahas tidak memberikan kesan negatif.

YB perlu sedar dan insaf yang menyedari setiap tindakan ditonton umum biarpun selalunya masyarakat tidak menyuarakan secara terbuka kehampaan dan kekecewaan, namun sekarang tidak lagi. Cara, kelakuan dan tingkah laku tidak sopan dan profesional sebahagian kecil YB terus didedahkan untuk tidak mengulang perbuatan yang sama dan berterusan.

Bukan mudah untuk mendapat perhatian dengan pujian dan ramai juga YB boleh dikategorikan sebegini berhemah. Namun, kelakuan yang tidak sesuai boleh memberi kesan negatif. Aspirasi generasi muda untuk terbabit dalam politik sebagai pewaris kepemimpinan pada masa depan harus diberi perhatian.

Dalam sidang Parlimen yang pertama buat kerajaan perpaduan dan terakhir tahun 2022, saya ingin melihat tingkah-laku YB yang bersidang kerana sudah lama tidak mengikuti dan tiada apa untuk dipolemikkan. Ada YB muda dan yang warga emas termasuk PM. Perbedaan ini cukup ketara. Begitupun saya ingin juga melihat kawan satu batch dan senegeri, YB Tengku Zulpuri Shah Bin Raja Puji dari Pakatan Harapan.

Saya juga pernah terlibat dengan politik tetapi tidak lama kerana meluat dengan rasuah walau ditaja. Politik bukanlah bidang saya yang lebih suka menulis daripada membuang masa dengan masalah rakyat dan untuk mencari untung sendiri.

Isu pertama yang didebatkan ialah titahYang di-Pertuan Agong kepada pembentukan kerajaan, yang dinamakan kerajaan perpaduan. Isu nama perpaduan juga dipersoalkan dan dibangkitkan.

Saya mula melihat betapa dangkalnya perdebatan sebahagaian dari YB dan masih tidak berubah dengan kelakuan. YB ini langsung tidak menyentuh perkara dasar, iaitu kestabilan politik yang mahu dibentuk dan objektif penubuhan kerajaan PM Anwar Ibrahim. 

Kerajaan telah terbentuk daripada perdamaian yang dibuat melalui kewujudan persefahaman bersama. Dengan memasukkan persetujuan kepada perkara-perkara pokok dalam pembentukan kerajaan. Semuanya ini termeterai di dalam perjanjian persefahaman (MoU), maka persoalan sama ada namanya perpaduan atau perdamaian atau gabungan adalah bentuk bukannya bahan.

Kemudian isu kedua yang dibangkitkan ialah Para 4 dalam MoU, iaitu pengundian secara blok oleh parti-parti yang bergabung. MoU itu terhasil daripada persetujuan parti-parti yang terlibat, dalam bentuk persefahaman, bukannya suatu yang mengikat secara ketat didalam perundangan. Sebagaimana dijelaskan oleh YB Azalina Othman Said yang selari dengan semangat undang-undang antilompat parti.

Saya langsung tidak suka melihat YB bertelingkah dengan pelbagai perangai yang tidak ubah satu sarkis yang menampakkan kelakuan buruk. Tertanya sendiri bilakah akan mendapat YB yang lebih berwibawa dan berhemah sebagai pembuat undang-undang. Terasa perhabasan di padang sekolah atau di kedai mamak tanpa titik kesudahan. 

Alangkah baik tiga jam yang tersisa untuk banyak memberi faedah dan manafaat kalau difokuskan, ditumpukan kepada permasalahan pokok negara dan rakyat. Apa yang berlaku apabila kualiti YB yang dipilih tidak mencerminkan tata susila yang boleh menjadi contoh dan teladan kepada masyarakat.

Isu pokok sebenarnya yang menjadi usul adalah kepercayaan kepada PM untuk diberi undi. Jika tiada maka berilah undian tidak percaya yang dihujung perdebatan akhirnya, usul diterima sebulat suara tanpa ada bangkangan. 

Kita tidak mahu bersuara di sidang Parlimen hanya menjadi medan demi bersuara, bukannya medan untuk menambah-baik dan membentuk sistem yang lebih baik dari sebelumnya.

Permulaan sidang Parlimen sebegini merupakan tanda-tanda buruk dengan YB yang tidak memberikan kualiti yang baik. Semuga diperbaikkan dan perbahasan yang membina didalam sesi-sesi yang akan datang seperti capai tahap profesionalisme ahli Parlimen di House of Commons di England.

 Saya berharap Johari Abdul boleh bertindak tegas mengawal tingkah laku YB agar dewan yang mulia tidak menjadi dewan yang mengaibkan. 

 Saya kasihan melihat ramai YB yang masih tidak berupaya berucap dengan baik dan sempurna. Sebaliknya hanya mampu melontarkan kata-kata yang kurang sopan  untuk mengganggu YB lain meneruskan ucapan atau hujah mereka. YB bermasalah  mungkin sudah lupa asas etika dan adab.

Persoalannya apakah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sekarang sudah cukup kuat untuk menangani masalah YB yang degil dan tidak mampu mempamerkan tingkah laku yang sopan dan beradab?

Mengikut Peraturan 41(e), apabila ada seorang YB sedang berucap, ahli-ahli lain hendaklah diam dan tidak boleh mengganggu dengan cara kurang adab. Malangnya, di kaca televisyen perkara sebaliknya yang berlaku.

Dalam peraturan 42 ada menyatakan apabila seorang YB ditegur oleh speaker mengenai suatu peraturan mesyuarat, YB yang sedang bercakap itu hendaklah duduk dan Majlis Mesyuarat atau Jawatankuasa hendaklah diam supaya cakap speaker boleh didengar dengan tidak terganggu.

Malangnya seperti ditonton kelmarin,  speaker membuat teguran, YB terbabit suka membantah dan menjawabnya balik.

Mustahak kerana speaker ada kuasa pengusiran.

Di bawah Peraturan 44(2), speaker hendaklah memerintah mana-mana ahli Parlimen yang berkelakuan tidak senonoh atau melakukan perbuatan yang menghina Majlis Mesyuarat atau terus tidak mengendahkan kuasa speaker untuk keluar daripada Majlis Mesyuarat bagi tempoh tidak melebihi sepuluh hari dan ahli tersebut hendaklah dengan serta-merta keluar daripada Majlis Mesyuarat.

Istilah hendaklah itu bermakna speaker tidak ada pilihan. Ahli Parlimen yang bermasalah itu mestilah diusir keluar Dewan.

Di bawah Peraturan 44(3), speaker ada kuasa memulakan prosedur untuk menggantung perkhidmatan seseorang ahli Parlimen.

Bagi saya perangai buruk sesetengah YB itu sebenarnya bertujuan mendapatkan populariti murah. Sebenarnya perbuatan YB itu mencerminkan keperibadian yang tidak matang, berhemah dan beradab.

Kesimpulannya,lebih baik saya menulis, membaca dan mengaji daripada mengikuti sidang Parlimen yang banyak membuang masa. – 20 Disember, 2022. 

* Mohd Fudzail Mohd Nor pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan lebih 31 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia,11 Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Novel Berita Harian, Hadiah Cerpen Selangor, Terengganu, Johor dan lain . Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar serta pengarah e-Dompet Nigeria dan penerbitan sendiri.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen