Pertikaian senarai pimpinan punca PH lewat daftar RoS


Zulkifli Sulong Amin Iskandar

Senarai keanggotaan Majlis Presiden menjadi isu paling hangat di kalangan parti dalam Pakatan Harapan kerana dianggap 'Kabinet Bayangan' pihak pembangkang kepada Barisan Nasional.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2017.

PAKATAN Harapan (PH) masih belum menghantar pendaftaran mereka sebagai sebuah gabungan sah kepada Pendaftar Pertubuhan (Ros) kerana terdapat pertikaian berhubung senarai keanggotaan Majlis Presiden, menurut sumber.

Senarai keanggotaan Majlis Presiden menjadi isu paling hangat di kalangan parti dalam PH kerana ia dianggap “Kabinet Bayangan” atau “Pasukan Impian” bagi gabungan pembangkang sebagai alternatif kepada Barisan Nasional (BN).

PH dianggotai PKR, DAP, Amanah dan terbaru Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

The Malaysian Insight difahamkan, mesyuarat Majlis Presiden PH di Putrajaya pada 31 Mei gagal membuat keputusan akhir berhubung senarai keanggotaan kerana pertikaian mengenai jawatan pengerusi yang sebelum ini dicadangkan diberi kepada Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pertikaian berlaku kerana sesetengah kumpulan dalam PH berpandangan, menamakan Wan Azizah sebagai pengerusi bukanlah tindakan bijak apatah lagi dalam wawancara bersama Al-Jazeera baru-baru ini, beliau mengakui hanyalah “pemanas” kerusi kepada suaminya, Anwar Ibrahim.

Kumpulan tersebut berpandangan, jika Wan Azizah dinamakan sebagai pengerusi, ia akan menyukarkan PH untuk meyakinkan rakyat yang mereka alternatif terbaik kepada BN.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, kumpulan itu berpendapat jika jawatan pengerusi diberikan kepada Bersatu, lebih mudah bagi PH meraih keyakinan rakyat Malaysia untuk menawan Putrajaya.

“Semua keputusan perlu dibuat pada mesyuarat akan datang pada 9 Jun. Senarai keangotaan Majlis Presiden PH akan diselesaikan dalam mesyuarat tersebut,” kata sumber kepada The Malaysian Insight, dengan syarat tidak dinamakan.

Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 31 Mei diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya dan hampir kesemua pemimpin utama PKR, DAP, Amanah dan Bersatu dilihat hadir.

Awal Mei lalu, mesyuarat Majlis Presiden PH memutuskan agar Dr Mahathir Mohamad menjadi penasihat dan Wan Azizah sebagai pengerusi kepada gabungan itu.

Anwar yang merupakan ketua umum PKR juga dipersetujui untuk menjadi penasihat tetapi tidak dinamakan dalam pendaftaran RoS kerana masih berada di dalam penjara.

Sementara itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu memaklumkan, mesyuarat Majlis Presiden PH pada 31 Mei berjalan lancar dan persetujuan mengenai logo sudah dapat dicapai.

“Kami ambil masa agak panjang untuk pilih logo daripada 12 yang disenaraipendekkan daripada 330 cadangan yang diterima.

“Kami sudah setuju pilih satu dan gunakan perkataan ‘Harapan’ ke atasnya,” katanya yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu kepada The Malaysian Insight.

Mohamad berkata, reka bentuk logo yang dipersetujui sudah diserahkan kepada pereka grafik untuk diperkemaskan sebelum diumumkan selepas mesyuarat pada 9 Jun akan datang.

Berhubung kekeliruan di kalangan pemberita mengapa sidang media tidak dilakukan selepas mesyuarat sebagaimana yang dijanjikan dalam jemputan, Mohamad menjelaskan ia berlaku kerana waktu berbuka puasa tiba selepas mesyuarat selesai.

“Bila waktu berbuka dah masuk, masing-masing berebut untuk berbuka, sehingga terlupa kepada wartawan yang menunggu.

“Bagi pihak PH, saya memohon maaf kepada semua wartawan yang hadir,” katanya. – 2 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen