Generasi kedua Felda sambut baik janji Pakatan selesaikan hutang peneroka 


Amin Iskandar

Pakatan Harapan berjanji akan memansuhkan hutang tidak wajar dan dipaksakan kepada peneroka dalam masa 100 hari memerintah. Janji itu disambut baik pertubuhan generasi kedua peneroka Felda hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2018.

JAWATANKUASA Bertindak Suara Generasi Kedua Felda menyambut baik janji Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan “hutang tidak wajar dan dipaksakan terhadap peneroka”.

Penasihatnya Zulkefli Nordin berkata peneroka Felda bukanlah mahu mengelak daripada membayar hutang tetapi kebanyakan daripada mereka masih tidak mendapat penyata yang memperincikan hutang tersebut.

“Betul tu! Itulah yang kita mahu,” kata Zulkefli kepada The Malaysian Insight merujuk kepada janji PH dalam manifesto mereka untuk dilaksanakan dalam masa 100 hari memerintah sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Tetapi selagi tiada perincian maka matlamat tidak akan tercapai.”

Jawatankuasa Bertindak Suara Generasi Kedua Felda sejak pertengahan tahun lalu seringkali membangkitkan isu penyata hutang yang tidak diberikan kepada peneroka untuk mengetahui perincian hutang mereka. 

Zulkefli berkata sehingga kini masalah berhubung penyata hutang ini masih belum diselesaikan Felda.

“Felda dan Felda Technoplant Sdn Bhd (FTP) perlu menyelesaikan dulu kemelut cacamarba penyata hutang. Perincian yang tidak difahami peneroka malah ianya amat meragukan.

“Felda dan FTP perlu memperincikan kembali penyata hutang dengan perincian yang mudah difahami oleh peneroka Felda. Bila mereka mudah memahami maka mereka boleh membuat semakan sama ada itu hutang sebenar mereka atau tidak,” katanya.

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) turut menyambut baik usaha PH untuk menghapuskan hutang yang tidak wajar dan dipaksakan terhadap peneroka Felda.

Pengerusi Anak Mazlan Aliman berkata selain itu, PH juga perlu melakukan sesuatu untuk generasi baharu Felda.

“Suatu mekanisme baru perlu dibuat untuk memastikan mereka yang menguruskan kebun ibu bapa mereka memperoleh rumah di bawah skim pinjaman mudah,” katanya.

Isu bebanan hutang peneroka Felda ini dijangka akan menyebabkan undi golongan itu di seluruh skim tanah rancangan di 54 kawasan Parlimen luar bandar di Semenanjung Malaysia yang selama ini berpihak kepada Barisan Nasional (BN) beralih arah.

Isu utama yang dihadapi peneroka Felda adalah hutang mereka yang antaranya mencecah ratusan ribu ringgit ekoran pengurusan ladang diserahkan kepada anak syarikat Felda, FTP.

Sebanyak 53 kerusi Parlimen di Semenanjung mempunyai kawasan Felda yang mana sejak sekian lama merupakan deposit tetap pilhan raya untuk Barisan Nasional (BN).

Menyedari kepentingan undi peneroka, Bersatu yang dipengerusikan Dr Mahathir Mohamad diberi tanggungjawab menggempur Felda untuk PH apabila bertanding di 27 kerusi sementara PKR 13, Amanah lapan, dan DAP lima kerusi. – 7 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen