Kemiskinan tegar di Terengganu akan dihapuskan menjelang Julai, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata setakat 2 Mei lalu terdapat 1,663 keluarga di negeri ini masih dalam golongan miskin tegar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2024.

PUTRAJAYA berazam untuk membasmi kemiskinan tegar di Terengganu dalam tempoh dua bulan akan datang, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata setakat 2 Mei lalu terdapat 1,663 keluarga di negeri ini masih dalam golongan miskin tegar, menurut laporan Bernama.

Sehubungan itu beliau berkata agensi kerajaan pusat diarah bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan kemiskinan tegar di Terengganu dapat dibanteras dalam tempoh yang ditetapkan.

“Takkanlah dengan kekayaan seluruh agensi, (dan) kementerian tidak boleh tolong lebih 1,000 keluarga ini supaya selamat daripada miskin tegar. Maknanya tidak cukup makan, tidak ada pakaian untuk anak-anak dan susah untuk beli uniform (pakaian seragam) untuk anak-anak ke sekolah.

“Dengan syarat Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu bekerjasama sepenuhnya untuk menoktahkan kemiskinan tegar ini,” katanya ketika melawat negeri ini semalam.

Anwar turut menyeru rakyat khususnya di Terengganu supaya menolak tohmahan kononnya kerajaan pusat tidak mempedulikan negeri itu kerana ditadbir oleh pembangkang.

Malah katanya kerajaan pusat sentiasa memberi keutamaan dan perintah supaya projek-projek untuk manfaat rakyat di negeri ini termasuk tebatan banjir, pendidikan, kesihatan, keselamatan dan infrastruktur disegerakan.

“Jika tidak, Madani tidak ada makna jika keutamaan tidak diberikan kepada kebajikan rakyat,” katanya.

Anwar berkata kerajaan pusat juga sentiasa memantau bagi memastikan projek di Terengganu seperti tebatan banjir dijalankan mengikut jadual. – 10 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen