Pilihan raya kerajaan tempatan, kenapa ada lebai enggan?


Faisal Tehrani

Desentralisasi kuasa keperluan tunggak pentadbiran kerajaan tempatan bagi memastikan keberkesanan urusan pentadbiran kerajaan di samping memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2022.

BARU-BARU ini parti PAS agak melenting dengan idea pilihan raya kerajaan tempatan. Untuk keadilan ada baiknya konsep pilihan raya kerajaan tempatan ini kita fahami secara aman.

Kerajaan tempatan adalah satu bentuk desentralisasi kuasa di mana kerajaan pusat mengagihkan sesetengah kuasa dalam urusan pentadbiran kepada peringkat bawahan seperti kerajaan negeri dan kerajaan tempatan.

Desentralisasi ini menjadi keperluan tunggak kepada pentadbiran kerajaan tempatan bagi memastikan keberkesanan dalam urusan pentadbiran kerajaan di samping memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat seluruhnya.

Tidak cukup itu, dalam banyak keadaan desentralisasi sangat perlu dilaksanakan kerana ia mempercepatkan proses pembuatan keputusan dan menyegerakan pelaksanaan polisi.

Ini kerana dalam pelaksanaan struktur kerajaan, pembuatan keputusan yang cekap dan tepat adalah penting bagi memenuhi keperluan serta kehendak seluruh rakyat.

Hal inilah yang barangkali amat menakutkan PAS, membuat keputusan cekap di peringkat paling unit dan asas dalam masyarakat.

Ini kerana demi memastikan pembuatan keputusan yang cekap ini dapat diketengahkan, nilai desentralisasi di setiap peringkat sama ada di peringkat kerajaan pusat, kerajaan negeri mahupun kerajaan tempatan harus dilaksanakan secara telus.

Ketelusan adalah satu yang amat menipis sejak PRU14.

Bahkan pelaksanaan desentralisasi akan memastikan kuasa politik tidak dipunyai sepenuhnya oleh kerajaan pusat yang mana ia boleh menjadikannya terlalu berkuasa dalam urus tadbir terutama dalam proses pembuatan keputusan.

PAS misalnya tidak lagi boleh mengalih dan mencipta alasan bahawa pembangunan lembab di Kelantan ekoran dianaktirikan Putrajaya. Nota ingatan: meskipun pernah berkuasa di peringkat kerajaan pusat, PAS tetap gagal membetulkan banyak kelemahan di katakan, Kelantan.

Memang kerajaan tempatan ialah kerajaan yang tidak berdaulat. Pun, ia diperlukan supaya dapat memudahkan kerajaan pusat menyalurkan peruntukan pembangunan ke setiap negeri dan kawasan melalui kerajaan tempatan khusus dalam mencapai matlamat pembangunan sosial dan ekonomi negara.

Katakan duit royalti minyak Kelantan, Sarawak dan Sabah; ia dapat diagihkan ke wilayah memerlukan dan dipantau oleh anggota masyarakat atau pengundi itu sendiri.

Bagaimana caranya?

Tasneem Sikander dalam “A Theoretical Framework of Local Government” pada 2015 menyatakan bahawa institusi kerajaan tempatan membenarkan penyertaan dan penglibatan orang tempatan dalam urusan mereka.

Justeru, terdapat peluang yang lebih besar untuk mencapai pertumbuhan ekonomi jika institusi kerajaan tempatan menyediakan penyertaan yang popular, kepimpinan tempatan dan desentralisasi kuasa.

Bahkan kerajaan tempatan adalah paling langsung mempengaruhi kehidupan sehari-hari individu. Ia membabitkan pengurusan sampah sarap, longkang tersumbat (yang mengakibatkan banjir kilat), ketiadaan lampu dan kemudian peningkatan kadar jenayah, kesesakan lalu lintas (ekoran tadbir lampu isyarat yang tidak munasabah) atau hal pangkas memangkas pokok di tebing jalan.

Fahamlah kita kenapa sesetengah parti politik amat khuatir dengan pilihan raya kerajaan tempatan. Ini kerana prestasi dan kebolehan mereka yang paling asas akan terdedah di mata pengundi.

Mendesentralisasi tadbir urus inilah yang membolehkan orang ramai untuk mengambil bahagian secara langsung dalam proses tadbir urus dan dapat memperkasakan anggota masyarakat yang sebelum ini dikecualikan daripada membuat keputusan.

Ia juga akan membuka jalan ke arah pemahaman yang lebih baik antara warganegara dan pegawai atau penjawat awam.

Sudah tiba masanya pilihan raya kerajaan tempatan diperkenalkan kembali lantas memberi peluang kepada penduduk untuk mengambil bahagian dalam pengurusan kawasan yang didiami mereka.

Penduduk Pengkalan Chepa misalnya boleh memilih untuk terus menadah air kotor di dalam baldi, mengeruk tanah demikian dalam-dalam untuk membina boring atau memilih wakil kerajaan tempatan yang cekatan.

Pendek kata,  hal ehwal pengurusan harus ditadbirkan oleh orang yang tinggal di kawasan itu sendiri. Bukan ahli politik atau penjawat awam di Putrajaya, atau dalam konteks Kelantan di Kota Darul Naim yang tidak tahu menahu masalah mereka.

Pilihan raya kerajaan tempatan dimansuhkan sejak pada 1960-an lagi. Kini, ahli majlis dilantik kerajaan negeri. Namun begitu, jika pilihan raya di peringkat kerajaan tempatan diadakan, penduduk dapat melibatkan diri mereka dalam pemilihan ahli majlis yang akan melakukan pembaharuan di kawasan mereka.

Ahli majlis pula akan berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang baik kepada penduduk untuk memastikan mereka dilantik dalam pilihan raya yang akan datang. Meskipun tidak dinafikan, proses pilihan raya di peringkat kerajaan tempatan akan meletihkan kerana ia akan menghangatkan suhu politik, pembaziran masa, tenaga dan wang.

Saya tidak faham mengapa PAS semacam liat menerima idea pilihan raya kerajaan tempatan. Padahal ketika PRU12, parti pembangkang, dalam gabungan Pakatan Rakyat, berjaya menguasai beberapa negeri termasuklah Selangor.

Sayugia diingatkan dalam gabungan ini terdapat parti DAP yang sekarang di bawah gabungan Pakatan Harapan, dan juga PAS yang sekarang berada dalam Perikatan Nasional.

Salah satu janji Pakatan Rakyat di Selangor (yakni PAS dan DAP juga PKR) adalah mengusahakan pilihan raya kerajaan tempatan seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Rakyat untuk PRU12.

Akan tetapi terdapat banyak faktor yang menjadi kekangan utama menyebabkan kegagalan mengembalikan semula demokrasi di peringkat kerajaan tempatan di Malaysia, khususnya di Selangor.

Antaranya ialah kekangan perundangan, kekangan daripada kerajaan Persekutuan, keengganan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menguruskan PRKT dan kekangan kewangan.

Di samping itu, konsensus ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat, PAS-DAP-PKR dalam isu ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada usaha mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan di Selangor.

Pemansuhan pilihan raya kerajaan tempatan selepas 1965 dikaitkan dengan sebab musabab kononnya lantaran konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia, masalah dalaman pihak berkuasa tempatan, ancaman merosotnya sokongan pengundi terhadap parti Perikatan dan juga sentimen perkauman.

Akan tetapi sejak pemansuhan tersebut kita melihat isu akauntabiliti yang serius dalam kalangan ahli majlis yang dilantik, ketelusan dan kecekapan, kekeliruan kerajaan persekutuan dan campur tangan politik dalam hal ehwal kerajaan tempatan.

Kerajaan tempatan menyumbang hanya 1% daripada KDNK dan tidak adil untuk membebankan kerajaan pusat sepenuhnya. Terdapat 144 pihak berkuasa tempatan dibahagikan kepada bandar (pusat pentadbiran dan komersial utama), majlis perbandaran (kawasan bandar lain), dan daerah (terutamanya kawasan luar bandar).

Kuasa eksekutif terletak bersama dengan datuk bandar (bandar) yang disokong dan atau diawasi oleh suatu sistem jawatankuasa.

Pada masa ini, majlis tempatan di Malaysia tidak dipilih: ahli majlis dilantik kerajaan negeri untuk tempoh tiga tahun (dengan pilihan untuk melantik semula) dan dalam kebanyakan kes datang dari gabungan pemerintah.

Dalam erti kata lain, ada ahli Majlis yang memang tidak cekap, makan gaji buta, dan tiada kebolehan sama sekali.

Saya mengenali bekas seorang ahli majlis yang merupakan seorang ustaz yang cemerlang di mimbar masjid di sekitar Bangi dan Kajang. Tetapi bakat dan kemampuan beliau mengurusi pihak berkuasa tempatan amatlah lemah.

Jika hal seperti ini terdedah kepada pengundi tentulah ia tidak membantu rekod politik mereka.

Penyertaan komuniti dalam aktiviti membuat keputusan, seperti pilihan raya, adalah amalan biasa di negara demokrasi. Pilihan raya biasanya dilaksanakan di tiga peringkat kerajaan: persekutuan, negeri dan tempatan.

Sebetulnya ketiadaan ketelusan pentadbiran di peringkat daerah ekoran pemansuhan pilihan raya kerajaan tempatan membuka jalan kepada kembang biaknya gejala rasuah.

Menurut Enida Daud, Low Hock Heng dan Ahmad Muhyuddin Hassan (2019) dalam “Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Niat Untuk Melakukan Rasuah Di Kalangan Penjawat Awam Pihak Berkuasa Tempatan”, terdapat banyak faktor yang mempengaruhi niat untuk melakukan rasuah di kalangan penjawat awam iaitu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Baru-baru ini kita mendengar masalah ini berleluasa di Selangor. Iaitu dalam kalangan penjawat awam. Akibatnya parti yang menguasai kerajaan negeri dipersalahkan. Padahal gabungan parti Pakatan Harapan amat terbuka dan menyokong idea untuk memilih kerajaan tempatan menerusi pilihan raya sejak lama lagi.

Jika kita serius ingin memberdayakan rakyat, dan telus; idea pilihan raya kerajaan tempatan harus disokong, Memang bandar seperti Bangi yang konservatif misalnya mungkin akan memilih parti yang lebih agama sentrik.

Mungkin sekali pusingan pilihan raya kerajaan tempatan lagu nasyid dan gelek di TikTok akan membantu. Tetapi lama kelamaan ahli masyarakat akan sedar perlahan-lahan tatkala melihat agamawan tidak cekatan mentadbir mungkin akan membuatkan pengundi berfikir berulang kali.

Pengundi memerlukan lebih dari dalil ayat suci untuk mengangkut sampah berlalat, pasar basah yang kumuh dan busuk, parit yang asyik tersumbat, pemaju taman perumahan yang tidak menyediakan laluan keluar masuk, banjir kilat dan macam-macam lagi.

Ini kerana urusan kerajaan tempatan adalah urusan duniawi. Maka untuk urusan dunia, kita memerlukan pilihan raya kerajaan tempatan.

Kita boleh faham mengapa ada lebai enggan. – 6 Disember, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen