Dari mana datangnya kuasa


Izmil Amri

DARI mana datangnya cinta? Dari mata turun ke hati. Dari mana datangnya kuasa? Dari takhta daulat monarki.

Anwar Ibrahim kini sah bergelar perdana menteri Malaysia yang ke-10. Atau disebut “PMX” oleh generasi masa kini. Seperti iPhone X. Macam-macam betul budak-budak sekarang.

Seluruh negara dilaporkan bertangguh ke tandas, menanti saat dan ketika semuanya selesai, dan Istana Negara mengeluarkan kenyataan rasmi pelantikan Anwar sebagai PM.

Terlebih dahulu sudah ada media yang menyiarkan berita kononnya Anwar dilantik sebagai PM sementara, namun kemudian memadamkan laporan mereka. Semuanya teruja dan tidak sabar-sabar lagi.

Rakaman beberapa kenalan di pejabat Anwar yang berderai air mata sebaik menerima khabar gembira dari istana turut beredar. Habis hilang macho masing-masing. Gembira tentunya.

Kegembiraan yang serupa sudah pernah saya saksikan, dua tahun lalu; di tingkat paling atas bangunan ibu pejabat PKR, di Tropicana.

Pada hari itu saya menemani saudara Liew Chin Tong ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH). Kami baru sahaja hilang kerja, ekoran Langkah Sheraton dan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad beberapa hari sebelumnya.

Jadi dengan pakaian santai, selipar jepun, kemeja-T kempen Iskandar Puteri, saya membawa laptop dan menumpang kereta Chin Tong, yang merupakan bos saya ketika itu, untuk menjadi jurutulis mesyuarat.

Itu bukan kali pertama saya ke pejabat Anwar di “HQ Tropicana” tentunya. Sejarah saya bersama PKR ini bukanlah baru sebentar cuma.

Namun pada hari itu, suasana sangat berbeza.

Naik turun tangga

Sampai ke aras pejabat presiden PKR, kelihatan begitu ramai orang sedang gembira bergelak ketawa. Kelihatan staf Anwar keluar dari pejabat, saling bersalaman mengucapkan tahniah. Gembira pastinya. Anwar kemudian menyusul, dengan teman-teman rapat atau gerombolan yang sedang cuba merapat; lalu turun ke bilik Majlis Pimpinan Pusat.

Saya ikut turun sama dan terus menghampiri meja hadapan. Ada Nik Nazmi di situ, sedang menanti sidang media Dr Mahathir, “perdana menteri sementara” yang diberi tempoh seminggu untuk kembali ke Istana Negara dengan sebuah struktur kerajaan baharu.

Dr Mahathir dijangka mengumumkan kedegilannya untuk meneruskan agenda Kabinet teknokrat, melantik menteri di luar kerangka parti politik, dan mengenepikan agenda PH secara total.

Anwar menghampiri kami ketika sidang media itu berlangsung. Beliau memandang tepat ke mata saya, seraya berkata, “Dia nak buat jugak.”

Sidang media majlis presiden ditangguh, dan kami mendaki tangga semula ke aras puncak, dan masuk ke bilik mesyuarat. Media terpaksa dibiar menunggu. Ada kenyataan yang perlu ditulis. Dan sayalah yang menulisnya.

Apa yang dibincangkan dalam mesyuarat itu tidak bolehlah saya kongsikan. Namun tidak sedikit masa diambil untuk merangka kenyataan itu, dengan mengambil kira pendapat semua pimpinan. Saya turun ke pejabat am, cetak kenyataan dan hantarkan salinan ke ruang sidang media di tingkat paling bawah.

Yang awal tadi berpeluk bersalaman mengucapkan tahniah sudah tidak lagi kelihatan gembira.

Wajah-wajah mencuka ini juga saya temukan beberapa hari kemudian di hotel Eastin.

“End Game already lah”

Seperti juga suasana di ibu pejabat PKR, lobi hotel Eastin tidak kalah meriah dipenuhi penyokong Anwar dan juga pengamal media. Majlis Presiden berkampung di bilik mesyuarat, dalam rangka menyediakan respons kepada cadangan Kabinet teknokrat Mahathir. Kenyataan media itu tidak disiarkan, meski drafnya berulang alik melalui email dan aplikasi Whatsapp.

Yang menjadi tumpuan hari itu adalah perbualan telefon dengan beberapa pihak. Saya tidak menyibuk mahu mendengar. Cuma saya menghampiri pimpinan parti saya sendiri dan bertanyakan keadaan mereka. Masing-masing tenang, sambil berkata, “If like that, end game already lah.” Kalau begitu, selesai sudah permainan ini.

Mundar mandir, keluar masuk; saya ketemu staf Anwar di luar. Sambil bersalam-salam, saya bacakan sepotong ayat Al-Quran, dari surah Al-An’am ayat 115 yang bermaksud:

“Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat merubah kalimat-Nya dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Takdir menentukan, usaha untuk mendapatkan cukup bilangan pada ketika itu juga tidak berjaya. Atau barangkali sudah sangat terlewat.

Angka yang dimiliki Anwar pada hari terakhir di hotel Eastin itu tidak mencukupi. Apa sebab tidak cukup, tidak perlulah kita ungkit kembali.

Pun begitu, keesokan paginya pimpinan PH pergi ke rumah Dr Mahathir; memberikan sokongan terhadap beliau sebagai calon PM, yang kemudiannya mencukupkan bilangan 114 kerusi dengan Baru Bian sebagai ahli Parlimen terakhir yang memberikan perakuan bersumpahnya. Gambar angka 114 itu turut diabadikan dalam sebuah karya seni tampak.

Namun Muhyiddin Yassin tetap mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan, setelah Dr Mahathir memberitahu gerombolan ahli Parlimen yang menemuinya di pejabat bahawa pihak Istana Negara sudah membuat keputusan muktamad. End game.

Istana

“Game” istana adalah suatu permainan yang menarik dalam konteks demokrasi berparlimen serta raja berperlembagaan.

Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa mutlak kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri. Ini pula perlu dibaca bersama Perkara 43(2)(a), di bawah tajuk Jemaah Menteri.

Perkara 43(2)(a) ini sebenarnya sangat menarik kalau dicerakin sepatah demi sepatah.

“Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai perdana menteri untuk mempengerusikan jemaah menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.”

Bahasa “pada hematnya” dan “mungkin mendapat kepercayaan majority” dalam versi Inggerisnya mengguna pakai frasa “in his judgment” dan “likely to command the confidence of the majority”.

Apakah mekanisme “judgment” dan “hemat” dan bagaimana pula YDPA mengukur “mungkin mendapat kepercayaan majority” terutamanya dalam keadaan Parlimen tergantung seperti sekarang ini, dengan tiada satu parti mempunyai angka sakti satu-lebih-separuh daripada bilangan kerusi Dewan Rakyat?

Di sinilah kita menemukan permainan dan percaturan di luar batas kuasa demokrasi rakyat yang sudah pun menjalankan tanggungjawab mereka di peti undi.

Sepertimana juga kita tidak lagi punya daya untuk menolak pelantikan mereka yang kalah untuk menganggotai Kabinet kerajaan campuran ini.

Percaturan keanggotaan Kabinet bukanlah permainan kita rakyat marhaen yang baru minggu ini menemukan telur berpapan-papan setelah sekian lama tak jumpa. Penuh misteri. Seperti juga halnya permainan daulah yang tidak terlibat dalam proses demokrasi yang kasatmata.

Inilah dia politik feudal yang kita tak boleh ikut serta. Inilah dia tuan puan sekalian, politik Melayu. Politik balairung istana. Politik Umno, tentunya. Kerana akhirnya Umnolah yang menang dalam PRU15 ini, walaupun BN hanya ada 30 kerusi.

Hebat bukan? – 3 Disember, 2022.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen