Anwar tiada pilihan pegang jawatan menteri kewangan, kata pemerhati politik


Noel Achariam

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau terpaksa menggunakan pendekatan memulihkan keyakinan terhadap ekonomi serta komuniti perniagaan dan pelabur asing. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Disember, 2022. 

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim tidak mempunyai pilihan selain mengambil peranan sebagai menteri kewangan kerana kedudukan itu dilihat menjadi subjek pertelingkahan di dalam kerajaan perpaduan, kata pemerhati politik.

Mereka berkata walaupun ini mungkin membawa kepada penamatan perebutan jawatan yang diidamkan, ia juga boleh membawa kepada tadbir urus yang buruk seperti kali terakhir jawatan itu dipegang oleh Perdana Menteri Najib Razak ketika itu.

Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UiAM) berkata Anwar tidak sepatutnya memegang jawatan menteri kewangan kerana beliau mempunyai banyak isu yang perlu diberi tumpuan.

“Saya rasa Anwar perlu menggunakan kuasanya untuk menghalang orang yang melobi jawatan itu daripada mendapatkannya,” katanya.

Beliau merasakan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli adalah ideal untuk tugas itu kerana beliau mempunyai kepakaran dan pengetahuan dalam perniagaan dan kewangan serta pemimpin tertinggi dalam PKR.

Rafizi diberi portfolio menteri hal ehwal ekonomi di bawah Kabinet yang baru ditubuhkan.

Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata dalam keadaan ekonomi semasa ia akan memudahkan Anwar mencapai objektifnya untuk meningkatkan ekonomi.

“Beliau sebelum ini seorang menteri kewangan yang mempunyai reputasi yang baik dan sebagai perdana menteri beliau mempunyai hak untuk melantik semua orang termasuk dirinya sendiri,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata terdapat beberapa calon baik seperti Rafizi yang boleh menjawat jawatan itu.

Profesor Pengajian Asia Universiti Tasmania James Chin bagaimanapun percaya Anwar melakukan kesilapan kerana beliau tidak sepatutnya mengambil peranan sebagai menteri kewangan kerana ini boleh membawa kepada tadbir urus yang buruk.

“Bagaimana Anwar boleh menjadi perdana menteri melaksanakan dasar besar dan pada masa sama mempunyai kuasa untuk meluluskan perbelanjaan kerajaan?

“Seperti yang dilakukan Najib (bekas perdana menteri Najib Razak yang dipenjarakan) dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Tidak sepatutnya memberi terlalu banyak kuasa kepada perdana menteri,” katanya.

Anwar semalam berkata beliau tidak berminat untuk memegang portfolio menteri kewangan tetapi terpaksa menggunakan pendekatan untuk memulihkan keyakinan terhadap ekonomi serta komuniti perniagaan dan pelabur asing.

“Saya fikir pada peringkat permulaan ini biar saya teruskan,” katanya dan menambah di Kementerian Kewangan beliau akan dibantu oleh pasukan mantap yang terdiri daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, penjawat awam serta para penasihat yang tidak membebankan kewangan kerajaan.

Beliau berkata urusan kerajaan di Kementerian Kewangan yang diterajuinya akan dibantu oleh beberapa penasihat yang tidak akan mengambil upah dan akan diketuai oleh Penasihat Petronas Mohd Hassan Marican.

Pada 25 November lalu Anwar dilaporkan berkata beliau tidak akan mempertimbangkan untuk memegang portfolio kewangan tetapi bagaimanapun akan melihat segala kemungkinan sebelum membuat keputusan muktamad. – 3 Disember, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen