Pakatan masih belum ada calon MB untuk Perak


Amin Iskandar

Pakatan Harapan berhasrat menawan semula Perak daripada BN pada PRU14 tetapi masih belum ada calon menteri besar yang jelas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 Mac, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) Perak masih belum ada calon menteri besar yang jelas biarpun ia berhasrat mahu menawan semula negeri itu daripada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Kebanyakan pemimpin PH Perak menyuarakan keyakinan mereka pakatan pembangkang itu mempunyai peluang yang cerah untuk menang di negeri itu pada pilihan raya umum akan datang ini, namun apabila ditanya siapakah calon menteri besarnya, mereka hampir tiada jawapan.

Sebaliknya mereka menegaskan keutamaan sekarang memastikan PH menang dulu pilihan raya menumbangkan BN di Perak pada PRU14.

“Kami tak bincang tentang isu ini, kita perlu menang terlebih dulu,” kata Pengarah Penerangan PH Perak Chang Lih Kang kepada The Malaysian Insight.

“Keempat-empat parti komponen akan putuskan siapa calon menteri besar selepas menang PRU14.”

Menuju PRU14, Bersatu dipertanggungjawabkan untuk memimpin kempen PH di Perak dengan pengerusi negerinya, Ahmad Faizal Azumu menggalas tugas sebagai pengerusi PH negeri.

PH Perak juga sudah sepakat mengenai usaha mahu memenangi majoriti daripada 59 kerusi dewan undangan negeri (DUN) itu melalui pengagihan kerusi negeri yang akan ditandingi oleh empat parti dalam gabungan berkenaan.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, DAP akan bertanding 18 kerusi, Bersatu 15, PKR 14 dan Amanah 12.

Pakatan Harapan Perak sepakat mengenai usaha memenangi majoriti daripada 59 kerusi DUN melalui pengagihan kerusi negeri yang akan ditandingi empat parti dalam gabungan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2018.

Pada masa ini, DAP mempunyai 18 wakil di DUN Perak, PKR 5, Amanah 1 sementara PAS, yang berpisah daripada pakatan pembangkang itu hampir tiga tahun lalu, mempunyai 4 kerusi. BN menguasai DUN dengan 31 kerusi.

Chang, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, bagaimanapun berkata calon menteri besar PH bukanlah secara automatik datang daripada parti yang menang kerusi paling banyak dalam kalangan komponen gabungan itu.

“Selain daripada jumlah kerusi yang dimenangi, kena lihat kepada kelayakan calon juga,” kata Chang yang juga naib pengerusi PKR Perak.

Beliau merujuk pada kejayaan pembangkang menumbangkan BN di Perak pada 2008.

Pada pilihan raya itu, DAP mempunyai bilangan kerusi paling banyak dalam kalangan pembangkang di DUN Perak. DAP menang 18 kerusi, PKR 7 dan PAS 6.

DAP bagaimanapun tidak memajukan wakil rakyatnya sebagai calon menteri besar kerana undang-undang tubuh negeri mensyaratkan menteri besar hendaklah seorang Melayu yang beragama Islam.

Disebabkan itu, Mohammad Nizar Jamaluddin dari PAS dipilih sebagai menteri besar walaupun parti Islam itu mempunyai kerusi negeri paling sedikit dan PKR tidak mempunyai calon berkelayakan.

Faktor istana

Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan PH Perak Dr Muhaimin Sulam berkata pengerusi kepada setiap parti komponen berpotensi untuk menjadi menteri besar kecuali DAP.

“Ahmad Faizal Azumu sebagai pengerusi Bersatu adalah calon MB. Asmuni Awi sebagai pengerusi Amanah Perak juga calon MB. Begitu juga Dr Muhammad Nur Manuti sebagai pengerusi PKR adalah calon.

“Dan kita juga tidak boleh menafikan Nizar sebagai calon MB atas kapasiti pengalaman beliau sebagai MB dalam Pakatan Rakyat. Semua ini calon MB yang kuat dan berketerampilan,” kata Muhaimin yang juga naib pengerusi Amanah Perak.

Muhaimin berkata Majlis Pimpinan PH Perak tidak membincangkan soal bagaimana untuk menentukan menteri besar.

Ahli Majlis Pimpinan PH Perak Dr Muhaimin Sulam berkata pengerusi kepada setiap parti komponen berpotensi untuk menjadi menteri besar kecuali DAP. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 Mac, 2018.

“Keperluan masa kini ialah menentukan trend pengundian kepada PH. Namun secara asasnya, kami bersetuju bahawa sebarang keputusan yang kritikal seperti ini, kami akan menggunakan saluran perbincangan bersama dengan semangat PH.

“Perlu diingatkan juga faktor istana tidak boleh dipandang ringan dan PH Perak sangat bimbang dalam perkara ini. Tuanku Sultan Nazrin Shah sebagai empunya negeri tentulah baginda memiliki kebijaksanaan untuk memperkenankan mana-mana Adun yang boleh menjadi MB bagi negeri baginda,” katanya.

Sementara itu, penganalisis berpandangan PH wajar dan perlu mengumumkan calon menteri besar agar pengundi dapat menilai personaliti, kepimpinan, visi, integriti, trek rekod dan sebagainya agar pengundi lebih yakin.

“Calon yang sudah tunjuk prestasi tinggi ialah mantan menteri besar Nizar Jamaluddin.

“Namun nama pengerusi Bersatu Perak, Ahmad Faizal Azumu juga disebut-sebut kerana mempunyai latar belakang politik keluarga yang kuat.

“Ayahnya bekas senator manakala Faizal juga menantu bekas wakil rakyat Umno yang dilihat mampu mengumpulkan pengaruh dan sokongan daripada akar umbi Umno untuk berhijrah mengundi pembangkang,” kata Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya kepada The Malaysian Insight.

“Faizal juga dikatakan mampu menyatukan pembangkang PH di Perak.”

Nizar bersedia

Nizar sementara itu bersedia untuk dicalonkan semula untuk meneruskan “kerja-kerja tertangguh”, selepas kerajaan pimpinannya ditumbangkan pada 2009.

Timbalan pengerusi Amanah Perak itu bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada sokongan daripada parti komponen PH sekiranya berjaya mendapat majoriti kerusi DUN selepas PRU14.

“Kalau semua wakil rakyat yang menang PRU14 menyokong saya, maka saya tidak keberatan untuk menerimanya.

“Yang keduanya, perlu juga mengambil faktor keraian yang diberikan Sultan Perak, sebabnya pelantikan itu datang daripada dia secara rasmi.

“Jadi maknanya dua-dua faktor ini kenalah selari. Barulah saya boleh menyatakan ya saya bersedia untuk meneruskan apa yang saya terhenti untuk buat lebih kurang 10 tahun lepas,” kata Nizar dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight.

Bekas menteri besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin yang berpengalaman luas di negeri itu berkata beliau sedia dicalonkan semula untuk meneruskan kerja tertangguh, selepas kerajaan pimpinannya ditumbangkan pada 2009. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 Mac, 2018.

Nizar berkata terdapat banyak yang ingin dilakukan tetapi “terputus di tengah jalan, tak sempat nak habiskan” apabila kerajaan pimpinannya tumbang.

“Jadi kalau diberi sekali lagi peluang, saya dah tahu apa nak buat, saya dah tahu kelemahan dan kekuatan pada ketika itu, maka saya ada kekuatan untuk meneruskan kerja yang tidak selesai itu,” kata pengarah pilihan raya PH Perak itu.

Nizar merupakan menteri besar Perak dari Mac 2008 hingga Februari 2009. Pada 4 Februari, 2009 kerajaan PR Perak yang dianggotai DAP, PKR dan PAS tumbang selepas empat Adun mengisytiharkan mereka meninggalkan gabungan itu.

Empat yang meninggalkan PR itu termasuk Adun Bota Nasarudin Hashim yang kembali menyertai Umno selepas menyertai PKR pada 25 Januari, 2009.

Tiga yang lain mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas dan menyokong BN dari luar. Mereka ialah Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang); Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang).

Nizar berkata rakyat di Perak masih mengingatinya sebagai seorang bekas menteri besar walaupun peristiwa “rampasan kuasa itu” sudah hampir 10 tahun berlalu.

“Kalau saya pergi ke mana-mana khususnya masyarakat Cina, dia akan ingat muka saya sebagai bekas menteri besar.

“Kalau saya pergi ke kenduri orang Melayu sekalipun, juruacara biasanya akan umum, ‘mengumumkan ketibaan Yang Berhormat’. Dia tak sebut wakil rakyat Changkat Jering, tetapi dia akan sebut, bekas menteri besar,” katanya. – 7 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • xde jawapan laa sebab diorang xde sapa yang boleh naik jadi MB. pastu cakap nk menang. sedangkan management ke jalan ke apa pon xsusun atur lagi. siapa yang jadi itu ini pon xde. lagi ada hasrat nk tumbangkan kerajaan semasa ke??

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan