Anwar tidak boleh guna polis diamkan pengkritik, kata kumpulan peguam


Lawyers for Liberty berkata kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mesti mengelak mengulangi tindakan kerajaan terdahulu jika mahu memperkasakan kebebasan bersuara dan budaya demokrasi. – Gambar Jabatan Penerangan, 30 November, 2022.

ANWAR Ibrahim tidak boleh menggunakan kuasa polis terhadap mereka yang mengkritiknya, kata Lawyers for Liberty (LFL) hari ini.

Pengarah LFL Zaid Malek dalam satu kenyataan berkata tindakan sedemikian oleh kerajaan baharu yang menjanjikan pembaharuan sama sekali tidak boleh diterima.

“Perdana menteri tidak mempunyai status istimewa di sisi undang-undang, dan tidak boleh mengarahkan polis untuk mempertahankan reputasinya.

“Adalah satu penyalahgunaan kuasa bagi perdana menteri untuk mengarahkan siasatan polis terhadap individu yang membuat tuduhan terhadapnya, kerana beliau adalah pihak yang berkepentingan,” kata Zaid.

Beliau merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil pada Isnin yang Anwar mengarahkan polis membuka siasatan terhadap individu yang membuat tuntutan fitnah atau keterlaluan terhadap perdana menteri.

Zaid berkata Anwar, yang dilantik sebagai perdana menteri ke-10 negara pada 24 Nov, boleh memfailkan saman fitnah di mahkamah sivil jika berasa tidak puas hati dengan komen buruk.

“Tugas polis adalah untuk mencegah jenayah, bukan untuk melindungi perdana menteri daripada penghinaan atau kritikan,” tambahnya.

Zaid menegaskan sejak kenyataan Fahmi, polis memanggil Ahli Parlimen Baling Hassan Saad untuk disoal siasat kerana didakwa menuduh Anwar ejen Israel.

Beliau disiasat antara lain di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Ini malah bertentangan dengan janji Pakatan Harapan sendiri dalam manifestonya untuk memansuhkan Seksyen 233. Hakikat yang siasatan polis nampaknya atas perintah Anwar adalah tidak wajar dan berpotensi menyalahi undang-undang.”

Beliau menambah kerajaan Anwar mesti mengelak mengulangi tindakan kerajaan terdahulu jika mahu memperkasakan kebebasan bersuara dan budaya demokrasi. – 30 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen