Harapan OKU untuk PM ke-10


Mohd Fudzail Mohd Nor

Golongan OKU merangkumi 15% daripada keseluruhan rakyat Malaysia dan tidak sewajarnya dipinggirkan dalam usaha pembangunan negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2022.

PERDANA menteri yang ke-10 telah mengangkat sumpah dan harapan baru diletakkan kepadanya untuk Malaysia yang lebih stabil dan sejahtera, selain kompetitif di peringkat global. Anwar Ibrahim adalah perdana menteri untuk semua rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan agama.

Sebagai orang kurang upaya (OKU) saya ingin memperjuangkan hak untuk OKU dengan menyeru agar Akta Orang Kurang Upaya 2008 dan undang-undang yang berkaitan dikaji semula untuk kebaikan.

Golongan OKU merangkumi 15% daripada keseluruhan rakyat Malaysia dan tidak sewajarnya dipinggirkan dalam usaha pembangunan negara. Biarpun berdepan dengan halangan fizikal dan mental, golongan OKU berhak memainkan peranan dalam bidang sosial, ekonomi, politik, sukan dan lain-lain.

Saya turut menggesa penubuhan “Suruhanjaya Kemasukan Orang Kurang Upaya”, yang mempunyai kuasa penguatkuasaan dan penggubalan “Akta Diskriminasi Orang Kurang Upaya”.

Adanya undang-undang baharu sepatutnya menyediakan tindakan undang-undang dan tindakan hukuman bagi ketidakpatuhan untuk saksama. Suruhanjaya  memantau dan memastikan kejayaan pelaksanaan dasar dan pelan tindakan untuk menegakkan hak semua OKU.

Akta Orang Kurang Upaya 2008 tidak berkesan sejak penubuhannya dengan tidak berjaya membuat perubahan yang diperlukan untuk menegakkan hak OKU. Yang dinyatakan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak OKU secara universal.

Saya berpendapat undang-undang baharu dan penubuhan suruhanjaya harus berada dalam bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan seorang OKU yang lebih faham untuk mentadbir. Sudah sampainya masa jabatan OKU tidak lagi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan orang normal mentadbir.

Untuk menghormati hak asasi manusia melibatkan golongan OKU, adalah wajar pelantikan pesuruhjaya OKU di dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) direalisasikan, kalau tidak JPM. Pelantikan pesuruhjaya OKU dapat membantu dalam melindungi hak-hak OKU dan mencegah segala bentuk diskriminasi terhadap golongan OKU secara terangan.

Dengan meningkatkan penyediaan kemudahan dan pengangkutan awam yang mesra OKU dan memastikan projek pembangunan menepati rekabentuk sejagat untuk kebaikan bersama. Waktunya telah tiba untuk memperakui keperluan OKU terhadap kemudahan dan pengangkutan awam tidak boleh diabaikan semudahnya oleh orang ramai.

Apalagi memastikan agenda pendidikan OKU menjadi teras keutamaan yang perlu diperjuangkan secara berterusan. Dengan memulihkan ekosistem kecekapan penyampaian sistem pendidikan OKU dalam latihan guru, pembinaan infrastruktur untuk kelengkapan kelas dan menambah bilangan kelas.

Suruhanjaya mesti terus bertanggungjawab kepada Perdana Menteri dalam usaha untuk berjaya menyepadukan dasar dan undang-undang di semua Kementerian yang berkaitan dengan ketidakupayaan. Ini termasuk kebolehcapaian dan reka bentuk sejagat yang memaparkan usaha OKU untuk berdikari.

Saya berharap kepimpinan tenaga penggerak yang diperlukan dalam mentransformasikan Malaysia ke hadapan dan dalam mencapai peluang kesaksamaan penuh untuk OKU yang sentiasa berharap.

Menjelang 2030, OKU dan warga emas akan membentuk 30% daripada populasi dengan isu-isu seperti perumahan, ruang dan kemudahan awam, pengangkutan, pendidikan, pekerjaan, penjagaan kesihatan dan aspek kehidupan masyarakat dan sosial perlu ditangani segera.

Selain itu  isu-isu aksesibiliti yang selalu ditempuhi dalam rutin harian OKU dengan mengangkat isu aksesibiliti alam bina yang berkait rapat dengan hak OKU. Untuk OKU bermasalah mobiliti berhadapan dengan pintu masuk bangunan yang bertangga, kecerunan ramp yang terlalu curam bagi pengguna berkerusi roda dan ketiadaan blok sentuhan bagi kemudahan OKU penglihatan.

Peluang pekerjaan, perniagaan, pembelajaran dan sebagainya menjadi munasabah dilakukan secara maya yang mana turut memudahkan OKU sewaktu pandemik. Namun aksesibiliti secara fizikal masih merupakan keutamaan dalam mereka bentuk bangunan dan ruang awam di Malaysia.

Bila dikaitkan aksesibiliti dengan OKU, perlu dilihat maksud ketidakupayaan dari model berbeza. Antara model ketidakupayaan yang dinyatakan adalah dari model kebajikan, model perubatan, model sosial dan model moral serta keagamaan.

Model moral merupakan model tertua yang melihat ketidakupayaan itu adalah dari tuhan dan terdapat juga kepercayaan yang kecacatan sebagai balasan terhadap sesuatu perbuatan yang individu atau keluarganya telah lakukan. Manakala dua model paling utama dan hangat dibincangkan adalah model perubatan dan model sosial.

Model perubatan melihat ketidakupayaan berpunca dari individu yang mengalami kemerosotan nilai dan individu terbabit yang perlu dipulihkan. Model sosial pula melihat yang masyarakat dan persekitaran yang membuatkan seseorang individu itu berupaya dan tidak berupaya untuk melakukan sesuatu.

Menurut model sosial, masyarakat jugalah yang perlu memperbaiki keadaan untuk mengupayakan dan memberdayakan OKU.

Ada tujuh prinsip reka bentuk sejagat berserta contoh-contoh aplikasinya di dalam kehidupan seharian, yang bukan sahaja khusus untuk reka bentuk bangunan. Tujuh prinsip reka bentuk sejagat merangkumi penggunaan saksama; fleksibiliti dalam penggunaan; penggunaan mudah dan intuitif; toleransi untuk kesilapan; usaha fizikal yang rendah; saiz dan ruang untuk pendekatan dan penggunaan.

Arkitek seharusnya mempunyai kesedaran yang tinggi untuk mengambil kira kepelbagaian pengguna dalam mereka bentuk sesuatu ruang dan bangunan dengan berkesan. Pengertian yang benar terhadap konsep reka bentuk sejagat dapat disimpulkan sebagai satu kaedah yang patut diguna pakai untuk mereka bentuk alam bina yang lebih mesra untuk semua.

Ini bukan sahaja bagi kepentingan OKU, namun bagi kegunaan masyarakat dari kepelbagaian keupayaan, tahap kesihatan dan bentuk fizikal seperti ibu mengandung, kanak-kanak dan warga emas.

Saya melihat senario yang perlu dicermat bersama dengan meninjau isu fundamental. Kerajaan telah menetapkan dasar kuota 1% jawatan di sektor awam untuk OKU bagi memastikan OKU mempunyai tempat di pasaran kerja malangnya, inisiatif ini masih belum dapat menarik untuk mengambil OKU sebagai pekerja.

Saya masih tidak berpuas hati dengan penempatan dan peluang kerjaya untuk OKU dengan cabaran stigma masyarakat dan persepsi negatif majikan terhadap OKU secara fizikal. Cabaran OKU untuk bersaing mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan golongan masyarakat normal.

Apalagi berhadapan dengan stigma masyarakat yang negatif terhadap kemampuan OKU menyebabkan golongan OKU terpinggir dalam mendapatkan pekerjaan dan terus ketinggalan.

Saya mendapati OKU yang berisiko tinggi seperti, masalah pembelajaran, gangguan kefungsian pemerhatian dan hiperaktif (ADHD), dan gangguan emosi cenderung kurang untuk menerima sokongan sosial dan hidup berdikari.

OKU lebih cenderung untuk mengalami kesusahan kewangan, ramai terlibat dalam jenayah. Dengan dianggap sebagai ancaman dan mempunyai efikasi kendiri akademik lebih rendah berbanding dengan pelajar tipikal lain dalam sesuatu bidang.

OKU sering kali mengalami kesukaran untuk berdepan dengan vokasional, ekonomi dan sosial yang menyukarkan. Kita perlukan penempatan pendidikan secara komprehensif bagi OKU. Bilangan kategori OKU dengan masalah pembelajaran lebih besar dari tempat yang ditawarkan.

Lagi penting rumah mampu milik bagi OKU dengan status ekonomi OKU adalah jauh lebih rendah, ramai OKU yang berkeluarga tidak mampu memiliki rumah sendiri dan terus menyewa. Dari sudut pelan pembangunan OKU dari tempoh tertentu masih samar dan bagaimana program boleh diimplementasikan biarpun JKM ada mengeluarkan secara ringkas tetapi ternyata terlalu simplistik dengan kerangka mudah.

Untuk kerajaan, sistem pendidikan bagi OKU perlu menjurus kepada keupayaan dan kesedaran vokasional sebagai persediaan golongan OKU untuk bekerja dengan majikan dalam kemahiran-kemahiran terbabit. Ini dengan mengambil kira OKU masalah pembelajaran sebagai struktur yang terbesar dan kewajaran bagi pendidikan khas masalah pembelajaran memperuntukkan pendedahan kerjaya sepanjang persekolahan.

Program vokasional pendidikan khas perlu dikembangkan dengan tenaga pengajar yang lebih terlatih bukan hanya tertumpu di sekitar kawasan tertentu sahaja.

Peruntukan kuota 1% pekerjaan kepada OKU di sektor awam perlu diteliti kembali dan dikemaskan bagi memastikan kerajaan dan juga sektor swasta berkeyakinan untuk mengambil OKU bekerja tanpa stigma negatif yang mendorong pengangguran.

Kita memerlukan sistem perumahan mampu milik khas kepada keluarga OKU bawah skim perumahan Negara. Mungkin bawah pemaju swasta dengan biayaan dan seliaan oleh kerajaan. Memandangkan ramai OKU berstatus ekonomi rendah yang tidak mempunyai slip gaji akan pasti mempunyai kesukaran membuat pinjaman perumahan bank. Untuk itu, pinjaman perumahan OKU dibuka bawah kerajaan.

Diskusi ilmu yang membentuk polisi kerajaan dengan dialog, forum, wacana, persidangan dan apa jua kempen perlu dilakukan oleh semua pihak. Tidak kira sama ada NGO, aktivis, parti politik dan kerajaan untuk membentuk suasana kesedaran masyarakat yang lebih terbuka terhadap OKU.

Usaha harus berterusan untuk membuang tanggapan negatif terhadap OKU sekiranya wujud dan tidak mustahil terus kedapatan. Terlalu sedikit dijalankan oleh yang bertangungjawab  melainkan hanya sebahagian kecil atas dasar kesedaran dan amanah.

Semua NGO, aktivis, ahli-ahli akademik, persatuan-persatuan kebajikan, dan semua pihak perlu bercakap dengan laras nada yang sama untuk mewujudkan kesejahteraan kepada OKU yang lengkap perlu dilakukan bersama.

Saya menaruh harapan yang tinggi dalam usia yang semakin tua untuk melihat OKU di pandang dengan positif di kalangan masyarakat. OKU bukan mengharapkan hanya bantuan tetapi simpati untuk bekerja secara normal dengan kemudahan di pejabat mahupun secara maya.

Oleh itu, setiap kementerian, bukan hanya JKM atau jabatan di Jabatan Perdana Menteri perlu ada jabatan yang menjuarai OKU agar suara golongan OKU tidak ditersampingkan. Kita mahu  OKU dilibatsamakan dalam pembangunan negara seperti orang normal dan kebanyakan.

Setiap jabatan berperanan membawa dasar-dasar berkaitan kesejahteraan golongan OKU  ke hadapan. Perlu ada perubahan sistemik dalam memperkasakan OKU seperti mengubah naratif perspektif terhadap golongan itu yang selama ini sering dilihat dari lensa simpati dan kebajikan sahaja.

Bagaimana menjadikan OKU sebagai satu keutamaan merentas kementerian dan bagaimana mahu pastikan suara OKU didengari ketika pilihan raya dan tidak dilupakan?

Mungkin OKU bertanding untuk kerusi politik dan pastikan calon politik menyampaikan maklumat yang lebih mudah diakses supaya OKU dapat mengundi dan menyumbang kepada demokrasi secara lebih berkesan.

Begitupun, memerlukan perubahan sistemik yang diinstitusikan dan masih terlalu jauh untuk OKU di Malaysia walaupun sudah mencapai 15% dari penduduk, dengan harapan besar kepada perdana menteri ke-10! – 28 November, 2022.

* Mohd Fudzail Mohd Nor pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan lebih 31 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia,11 Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Novel Berita Harian, Hadiah Cerpen Selangor, Terengganu, Johor dan lain . Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar serta pengarah e-Dompet Nigeria dan penerbitan sendiri.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen