White House kecam makan malam Trump bersama pelampau kulit putih


Bekas presiden AS Donald Trump menafikan kenal dengan seorang pelampau kulit putih yang turut hadir semasa makan malamnya bersama penyanyi Kanye West. – Gambar AFP, 27 November, 2022.

WHITE House semalam mengecam bekas presiden Donald Trump susulan pertemuan di estetnya di Florida dengan seorang pelampau kulit putih terkenal dan penyanyi rap Kanye West, yang terlibat dalam kekecohan berhubung kenyataan anti-Semitik dikeluarkannya.

Trump memaklumkan makan malamnya bersama West, yang kini dikenali sebagai Ye, pada malam Selasa di Mar-a-Lago, dan berkata beliau membawa bersama rakan-rakan, yang seorang daripadanya ialah Nick Fuentes, anti-Semit dan rasis yang lantang bersuara.

“Saya tidak kenal Nick Fuentes,” tulis Trump pada akaun Truth Social miliknya pada lewat Jumaat.

Timbalan Setiausaha Akhbar White House Andrews Bates mengecam pertemuan Trump dengan Fuentes.

“Ketaksuban, kebencian, dan anti-Semitisme sama sekali tidak mempunyai tempat di Amerika - termasuk di Mar-a-Lago. Penafian Holocaust adalah menjijikkan dan berbahaya, dan ia mesti dikutuk,” kata Bates kepada CNN.

Presiden Joe Biden, yang menghabiskan cuti hujung minggu di Nantucket, tidak menjawab soalan tentang makan malam Trump: “Anda tidak mahu mendengar apa yang saya fikirkan.”

Penafian mengenai Holocaust oleh Fuentes menyebabkan saluran YouTubenya digantung secara kekal pada awal 2020 kerana melanggar dasar ucapan benci platform tersebut.

Trump mengumumkan rancangannya pada pertengahan November untuk mencalonkan diri semula pada 2024, dan hubungannya dengan seorang nasionalis kulit putih tidak disenangi beberapa pegawai pentadbirannya.

David Friedman, yang merupakan bekas duta Trump ke Israel, mengecam makan malam di Mar-a-Lago.

“Malah lawatan sosial daripada antisemit seperti Kanye West dan sampah seperti Nick Fuentes tidak boleh diterima,” kata Friedman dalam salah satu daripada beberapa tulisannya di Twitter.

West, yang kini dikenali secara sah sebagai Ye, kehilangan perkongsian jenama utama dengan syarikat pakaian sukan Jerman Adidas dan Gap kerana kenyataan anti-Semitik dan kaitannya dengan pelampau baru-baru ini. – AFP, 27 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen