Bersih gesa PM10 benarkan pembangkang tubuh kabinet bayangan


GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim membenarkan pembangkang membentuk kabinet bayangan.

Jawatankuasa pemandu Bersih berkata ia perlu dilaksanakan dengan gaji, sumber dan akses maklumat yang setimpal untuk menteri-menteri dalam kabinet bayangan tersebut.

“Setiap kementerian akan diteliti oleh seorang menteri bayangan yang akan dibayar separuh daripada gaji menteri dan sediakan kakitangan dasar.

“Untuk kukuhkan lagi penelitian, bagi setiap kementerian, perlu ada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) yang diisi oleh penyokong kerajaan dan pembangkang, dengan kakitangan dasar mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Bersih mahu melihat mekanisme semak dan imbang yang berkesan untuk melindungi kepentingan awam ketika Anwar memulakan kepimpinannya sebagai perdana menteri ke-10 di bawah kerajaan perpaduannya.

Ia juga berkata Anwar tidak sepatutnya memegang jawatan menteri kewangan kerana ia akan menghapuskan sebarang bentuk semak dan imbang dalam ruang dalaman kabinetnya sendiri.

“Apakah kita tidak belajar daripada kesilapan bekas perdana menteri Najib Razak yang dipenjarakan?”

Bersih juga memuji Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin kerana menolak tawaran Anwar untuk bersama dalam kerajaan perpaduannya.

Ini akan membolehkan PN memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa untuk mengangkat suara rakyat ke Parlimen dan memastikan tadbir urus yang berintegriti dan bebas rasuah.

Pembaharuan lain yang Bersih mahu Anwar laksanakan ialah meluluskan Akta Perkhidmatan Parlimen seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Ia juga harus disegerakan supaya sumber bagi jawatankuasa tambahan dan kabinet bayangan ini boleh datang terus daripada Parlimen dan bukannya Kementerian Kewangan.

Selain reformasi parlimen, Bersih berkata institusi utama seperti badan kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bebas daripada pengaruh eksekutif.

Bagi Peguam Negara, Bersih berkata individu tersebut harus kekal sebagai lantikan kerajaan dan tidak sepatutnya memegang peranan sebagai pendakwa raya, satu pembaharuan yang dijanjikan oleh PH dan BN. – 26 November, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen