Selepas rakyat mengundi, kini ahli Parlimen tentukan kerajaan


G Manimaran

Pengundi beratur menunggu giliran bagi membuang undi bagi PRU15 di sebuah sekolah di Selangor Sabtu lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2022.

SATU lagi lipatan sejarah tercipta. Ini kali pertama dalam sejarah, pengumuman keputusan majoriti kerusi Pilihan Raya Umum (PRU), melepasi jam 12 tengah malam. Empat jam selepas tengah malam hari pengundian. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan sidang media sekitar 4 pagi semalam untuk membentangkan hasil keputusan bagi sebanyak 219 kerusi. 

Dari satu sudut ia telah dijangkakan ekoran peningkatan jumlah pengundi dan parti dan gabungan yang bertanding kali ini.

Keputusan bagi dua kerusi masih dinantikan. Ini termasuklah Padang Serai perlu mengadakan semula pilihan raya. 

Ia akan berlangsung awal bulan depan, 7 Disember. Pengundian bagi Parlimen Padang Serai di Kedah ditangguhkan ekoran kematian calon Pakatan Harapan (PH), M. Karupaiya pada Rabu lalu. 

Baram juga ditangguhkan pengundian. Berharap kita akan ada keputusannya dalam beberapa hari lagi.

Mengikut apa yang diumumkan oleh SPR, tiada mana-mana parti yang memperoleh 50%  daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertandingkan atau majoriti mudah dalam PRU ke-15 (PRU15) yang dilangsungkan kelmarin. 

Berdasarkan keputusan rasmi sehingga 4.30 pagi tadi, PH memenangi sebanyak 76 kerusi manakala parti gabungannya DAP di Sarawak mendapat lima kerusi dan Muda menang satu kerusi, menjadikan keseluruhan 82 kerusi Parlimen diperoleh oleh PH. 

Perikatan Nasional (PN) dan PAS pula memperoleh 73 kerusi selepas masing-masing menang 51 dan 22 kerusi. 

Dalam pada itu, Barisan Nasional (BN) memperoleh 30 kerusi diikuti Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (satu) dan calon Bebas (dua).

Peratusan bagi pengundian Parlimen adalah 73.89% tanpa mengambil kira tiga kerusi yang tidak diumumkan hasil pertandingan. Dari awal lagi, saya telah menjangkakan peratusan keluar adalah antara 70 hingga 75%. 

Kemungkinan, disebabkan oleh gelombang rakyat luar biasa kali ini, dan mengambil kedudukan Padang Serai dan Baram yang masih belum diketahui hasilnya, kemungkinan peratusan keluar mengundi akan meningkat sedikit.

Dalam pada itu menurut SPR tiada mana-mana parti berjaya membentuk kerajaan negeri baharu di Pahang kerana tidak mendapat majoriti lebih 50% di Dewan Undangan Negeri (DUN). 

PN memenangi 17 kerusi dan diikuti oleh BN (16) dan PH (lapan). Terdapat satu bahagian yang tidak dapat diumumkan iaitu Tioman berikutan kematian seorang calon. 

Situasi sama berlaku di Perak. PN memenangi sebanyak 26 kerusi DUN diikuti PH dengan 24 kerusi dan BN (sembilan) daripada keseluruhan 59 yang dipertandingkan. 

Jumlah rakyat yang keluar mengundi bagi Pahang ialah 70.48% manakala Perak 66.71%.

Pendek kata tiada parti yang mendapat kerusi terbanyak. Pun begitu tumpuan menghala ke arah PH dan PN. Dua gabungan yang memperoleh kerusi terbanyak. 

Kedudukan itu diikuti oleh BN 30 dan GPS yang menguasai 22 kerusi, kesemuanya di Sarawak.

PN, BN, PH dan GPS serta GRS mempunyai lebih satu dozen parti dalam gabungan, yang masing-masing menyumbangkan antara satu dan 49 kerusi. 

Sebagai parti individu PAS, komponen PN dan turut bertanding menggunakan logo sendiri di Kelantan dan Terengganu, memiliki 49 kerusi. 

Terbanyak bagi mana-mana parti individu. Ia diikuti oleh DAP (40), PKR (31), Umno (26), MCA (dua), MIC (satu), PBRS (satu), Bersatu (24), STAR Sabah (satu), PBB (14), SUPP (dua), PRS (lima), PDP (satu), Amanah (lapan), UPKO (dua), Warisan (tiga), PBM (satu), PBS (satu), Bebas (dua), dan Sabah Bersatu (empat).

Daripada segi jumlah undi yang diperoleh, PH dilaporkan menerima 5.8 juta, PN 4.7 juta, BN 3.4 juta, GPS (644,202), GRS (178,180), GTA (111,510) dan Bebas (109,626).

Sementara usaha awal sedang berlangsung untuk membentuk kerajaan, siri formula pembentukan kerajaan diletakkan oleh pelbagai pihak. Spekulasi mengenai perkara ini sudah mula bertunas. Sebagaimana spekulasi mengenai tarikh pilihan raya dan bakal keputusan selama ini.

Adakah kerajaan sebelum ini akan kembali mentadbir negara dalam keadaan parlimen tergantung dan keadaan tidak menentu berterusan? Ada yang meramalkan formula PN+BN+GPS+GRS. Ada yang menjangkakan kemungkinan PH+BN+GPS. Spekulasi ini berterusan.

Pokoknya tiada gabungan dan parti yang mempunyai kuasa besar atau muktamad dalam menentukan angka akhir. 

Di sebalik segala kemungkinan ini, jika ada mana-mana gabungan tidak bersetuju, sama ada di Semenanjung, Sabah atau Sarawak, usaha membentuk kerajaan kemungkinan akan berakhir dengan jalan buntu.

Pemimpin-pemimpin gabungan utama sudah pun menyatakan pendirian mereka. Malah ada yang sudah meletakkan syarat-syarat tertentu. 

Ada yang hanya mahukan gabungan dan parti tertentu. Ada yang menolak pemimpin tertentu dalam gabungan, tetapi sanggup menerima gabungan atau parti komponen.

Keadaan ini pernah berlaku di negara-negara yang mempunyai sistem pilihan raya demokrasi. Jadi tidak mustahil untuk berlaku di Malaysia.

Kita sudah ada undang-undang melarang antilompat parti di peringkat persekutuan. Di peringkat negeri belum menjadi kenyataan. 

Usaha untuk membawa bersama BN, yang kalah teruk dalam sejarah pilihan raya, sejak ia dibentuk lima dekad yang lalu, ke dalam gabungan-gabungan lain yang wujud, masih terbuka. 

Meskipun BN mengalami kemerosotan undi dan kerusi, tetapi ia masih kekal sebagai ‘king maker’. Peranan GPS sebagai ‘king maker’ dari Sarawak tidak dapat ditolak sama sekali. 

Nampaknya dari segi parti individu majoriti adalah ‘king maker’. PAS, GPS, BN, PKR dan DAP adalah kuasa penentu.

Apakah kesudahan semalam akan membawa kepada gabungan baharu dibentuk? Ia satu lagi persoalan menarik untuk dilihat.

Jika tiada kesudahan dalam usaha mencari penyelesaian besar demi rakyat dan negara, adakah rakyat perlu kembali dalam menentukan mandat baharu? Apakah langkah terakhir ini boleh membawa penyelesaian lebih konkrit? 

Jika kita telah menyaksikan banyak detik-detik bersejarah dan yang kali pertama berlaku dalam landskap pilihan raya semasa PRU15 ini, rakyat kemungkinan akan disajikan dengan PRU16.

Kemungkinan itu ada. Tidak mustahil.

Apa pun kita boleh mengelak daripada mengadakan PRU16 dalam tempoh terdekat ini, dan membelanjakan RM1 bilion lagi untuk menguruskan PRU baharu bagi menyelesaikan kemelut semasa.

Rakyat sudah penat.

Sebenarnya rakyat telah membuat pilihan terbaik. Daripada sejumlah “makanan terbaik” yang telah disediakan di atas meja, rakyat telah memilih yang terbaik mengikut citarasa mereka.

Jadi, wakil rakyat dan parti perlu membuat pilihan terbaik demi rakyat. Usah bebankan rakyat. Utamakan negara. Ketepikan ego dan status masing-masing.

Kita tahu bahawa PRU15 ini merupakan pilihan raya paling kotor ketika tempoh berkempen. Satu amalan melampau dan keterlaluan.

Amalkan kematangan berpolitik yang lebih jitu.

Kini keputusan akhir di tangan wakil rakyat dan parti. – 21 November, 2022.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen