Kakitangan awam terus jalan tugas demi rakyat, negara, kata KSN


Rakyat Malaysia selesai memilih semalam namun sehingga kini masih tiada keputusan susulan tiada gabungan politik yang mencapai majoriti mudah. – Gambar dfail The Malaysian Insight, 20 November, 2022.

ANGGOTA perkhidmatan awam memberi jaminan akan terus menyempurnakan tugas diamanahkan dengan penuh dedikasi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan tidak terjejas kepada rakyat dan pemegang taruh, pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Mohd Zuki Ali berkata ia juga bagi menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan pembentukan kerajaan selepas pilihan raya umum itu.

“Anggota perkhidmatan awam terus komited mendukung konsep berkecuali dan kerajaan hari ini berlandaskan kedaulatan undang-undang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mohd Zuki juga berkata anggota perkhidmatan awam sentiasa bersiap sedia dan berpegang teguh kepada prinsip dan ikrar perkhidmatan awam demi rakyat serta negara.

PRU15 semalam menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi, Perikatan Nasional (73) manakala Barisan Nasional (30).

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi. – Bernama, 20 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen