Selamat hari pilihan raya


Izmil Amri

Rakyat Malaysia mengundi hari ini untuk memilih sebuah kerajaan baharu yang lebih stabil selepas kemelut politik panjang sejak pilihan raya umum bersejarah empat tahun lepas yang menyaksikan tiga perdana menteri dalam masa empat tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2022.

SEBELUM masuk waktu Subuh hari Khamis lalu, saya tiba di Masjid Negeri Pulau Pinang. Ruang solat masih kosong, lampu baru pasang. Bilal pun mungkin baru sampai. Selesai solat tahiyatul-masjid, saya bersandar ke dinding yang menjadi tempat kami mencuri lena ketika zaman bersekolah di Al-Mashoor, di seberang jalan sana.

Saya ambil gambar mimbar dan suasana masjid yang kosong itu. Saya kongsikan ke media sosial seraya memberitahu bahawa pada hari itu, saya akan cuba mematikan fitnah bahawa negeri Pulau Pinang yang ditadbir ketua menteri dari DAP sejak 2008 tidak membenarkan seruan azan.

Kontroversi azan di Pulau Pinang ini bukan benda baharu. Bahkan sudah beberapa kali dinyatakan palsu. Tetapi entah apa sebab, di musim pilihan raya ini, ia kembali menggila. 

Hilang akal agaknya mereka yang percaya dengan dakwaan kelakar ini. Mana mungkin DAP sedemikian bodoh untuk melarang azan berkumandang. Tetapi ada juga si bodoh yang boleh percaya.

Di media sosial, tular rakaman video selebriti dan perkongsian ‘influencer’ kononnya azan sudah tidak berkumandang di Pulau Pinang. Atau paling tidak, DAP akan melarang azan dilaungkan ‘satu hari nanti’. Salah seorangnya Jamal Abdillah, namun beliau sudah memohon maaf.

Hairan kita dibuatnya. Saban minggu orang ramai menderu mencari nasi kandar di Pulau Pinang, trafik sesak sampai penduduk tempatan menyampah merayu supaya orang berhenti melancong ke Pulau Pinang. Tetapi masih ada orang tidak pernah mendengar azan di sini? Hairan sekali.

Maka Khamis lalu, pada kelima-lima waktu solat, saya rakamkan suara azan berkumandang. Subuh di Masjid Negeri, Zohor di surau Hospital Besar Pulau Pinang, Asar di masjid jamek As-Soghir Taman Pekaka belakang USM, Maghrib di Masjid Kelawai dan Isyak di Masjid Terapung. 

Saya kongsikan semua rakaman itu ke Twitter. Semoga fitnah kononnya tak dengar azan di Pulau Pinang sudah boleh dihentikan.

Kalau tak dengar juga, jemputlah ke sini. Saya akan bawa ke tempat makan yang tak sedap, kemudian saya ikat tangan kaki saudara ke tiang masjid bersebelahan pembesar suara.

Namun soalnya, kenapa fitnah sedemikian merepek boleh menjadi makanan ruji di musim pilihan raya begini? 

Hari ini, ketika semua orang berpusu-pusu keluar melaksanakan tanggungjawab mereka di peti undi, fitnah apa lagi yang dijadikan senjata menipu umat supaya kelompok tertentu dapat kembali berkuasa dan menjarah kekayaan negara? Hairan kita dibuatnya.

Kerentanan Melayu

Sambil kita semua mengundi hari ini, mari kita ambil sedikit masa untuk memahami kenapa dan bagaimana orang Melayu itu begitu mudah percaya dengan fitnah dan dongeng tak berasas.

Bangsa Manusia adalah spesis makhluk yang unik berbanding yang haiwan yang lain kerana ia mempunyai kebolehan bertutur. Al-insanu hayawanun-naatiq, kata Al-Ghazali; manusia adalah haiwan yang berkata-kata. Dalam bahasa Arab, akar kata naatiq ini adalah daripada kalimat ‘nataqa’, fiil mudhari’ ‘yantiqu’, yakni kemampuan berfikir dan berartikulasi dengan lisan.

Dalam sejarah Greek, ada seorang dewi yang kurang disebut orang bernama Hestia, dewi penjaga tempat api. Titik temu semua orang di rumah atau di tempat berkhemah setelah seharian bekerja, berburu, berkebun dan sebagainya, sebelum ada televisyen untuk dihalakan segala perabot.

Di sinilah manusia mendapatkan perlindungan dari gelap malam, haiwan liar dan angin sejuk. Tempat ia menyiapkan makan minum, duduk melingkung dan bercerita tentang hal-hal siang tadi. Siapa berburu apa, siapa menikah, beranak pinak, balik dari berperang, bertemu sumber air dan sebagainya.

Takkan nak cerita benda yang sama setiap hari. Maka tukang cerita pun mengarang fiksyen, setelah kemabukan barangkali, dan berilusi tentang benda yang bukan-bukan lalu dijadikanlah cerita itu perkongsian pada malam hari. Di keliling api, sambil makan-makan.

Cerita-cerita ini kemudiannya dikongsi dengan kampung sebelah. Diubah suai dengan budaya lain, diberikan nama-nama berbeza. Dengan sedikit inovasi ia kemudian menjadi wayang kulit, pementasan dengan pelakon-pelakon manusia, dan akhirnya menjadi industri perfileman berbilion dolar.

Semuanya kerana manusia cepat bosan dan dahagakan hiburan daripada penglipur lara, dalam apa jua bentuk dan sifat: lisan, wayang kulit, teater, filem.

Lalu di tengah fitrah manusia yang sedemikian kita temukan umat Melayu. Dan tentu sekali umat Melayu itu lebih beragam ceritanya. Daripada kisah keturunan raja-raja yang lahir dari muntah lembu, laksamana yang membunuh saudaranya kerana taat kepada raja, sultan yang mangkat dijulang kerana zalim membelah perut perempuan untuk melihat bayi dalam kandungan memakan nangka, kisah manusia dengan kesaktian seekor cicak dan segala macam kisah cinta antara dua darjat yang ditayang petang-petang di kaca televisyen.

Melayu memang sejak lahir sudah dimomokkan dengan benda-benda yang tidak ia ketahui dan takut untuk mencari tahu. “Eh jangan main di luar senja-senja begini, nanti disorok dek hantu tetek.” Tak pernah pun dia jumpa si hantu tetek. Namun takutnya bukan kepalang.

Maka apabila tiba musim pilihan raya, dan DAP dijadikan bahan momokan dengan segala macam cerita rekaan yang karut marut, kita tidak hairan kenapa begitu ramai orang Melayu jatuh percaya tanpa sebarang usul periksa. Lalu di sini ditemukan kerentanan umat Melayu yang menjadi modal manipulasi politik sejak sekian lama.

Dijajanya cerita ‘kalau DAP jadi kerajaan, habislah raja-raja Melayu dihapuskan. Azan pun nanti dilarang, anak cucu kita habis Kristian semua’. Dan orang Melayu pun percaya bulat-bulat.

Yang peliknya, apabila diberikan fakta tentang skandal mega 1MDB misalnya, orang Melayu mengambil masa yang cukup panjang untuk mempercayai. Meski orang yang menjadi dalang skandal itu sudah pun disumbat ke penjara. Amat menghairankan sekali.

Oleh yang demikian itu pada PRU ke-15 ini, barangkali sudah cukuplah kerentanan Melayu yang baik hati dan cepat percaya itu dimanipulasi. 

Barangkali menjelang esok hari, tidak ada lagi kerajaan yang mengaku Islam-Melayu tetapi mentadbir negara dengan menggunakan kaki.

Selamat hari mengundi. – 19 November, 2022. 

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen