PEMIMPIN dunia mengecam insiden letupan di Istiklal Avenue Istanbul semalam yang menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang maut manakala 81 yang lain cedera, lapor Agensi Anadolu.
Menurut Gabenor Istanbul Ali Yerlikaya letupan itu berlaku sekitar 4.20 petang waktu tempatan manakala polis dan pegawai kecemasan mengepung lokasi kejadian.
“Kejadian itu berkemungkinan serangan pengganas,” kata Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dalam sidang media sebelum berlepas ke Bali, Indonesia bagi menghadiri sidang kemuncak G20.
Naib Presiden Fuat Oktay yang melawat lokasi kejadian berkata seorang penyerang wanita bertindak meletupkan bom dan tindakan itu dianggap sebagai perbuatan pengganas.
“Saya bersedih mengenai kejadian letupan di Istiklal Avenue di tengah-tengah Istanbul.
“(Kerajaan) dan rakyat Pakistan merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Türkiye atas kehilangan nyawa dan mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih,” menurut ciapan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif di Twitter.
Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev berkata dalam satu kenyataan bahawa Baku “sangat terkesan” dengan berita itu sambil menambah: “Saya mengucapkan takziah kepada anda, keluarga dan mereka yang kehilangan orang tersayang, serta berharap mereka yang cedera cepat pulih.”
Perdana Menteri Sweden Ulf Kristersson “sangat terkejut dengan berita mengenai letupan di tengah-tengah Istanbul.”
“Ingatan kami bersama-sama mangsa, dan mereka yang kehilangan orang tersayang. Kami bersama Türkiye,” menurut ciapannya di Twitter.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menulis dalam ciapannya bahawa beliau “sangat hiba” dengan berita itu dan mengucapkan takziah kepada mangsa, dan mendoakan pemulihan kepada mereka yang cedera.
“Kesakitan rakyat Turkiye adalah kesakitan buat kami,” kata Zelenkskyy.
Presiden Serbia Aleksandar Vucic berkata kejadian itu bukan sahaja mengejutkan penduduk Istanbul, tetapi seluruh dunia.
Ucapan takziah turut dihantar ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU) Josep Borrell, Presiden Majlis Eropah Charles Michel, Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier dan Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni.
“Terkejut dan sedih dengan kejadian letupan di Istanbul, Türkiye petang tadi yang mengakibatkan ramai terkorban.
“Takziah saya ucapkan kepada keluarga mangsa dan orang tersayang. Doa yang ikhlas untuk mereka yang cedera supaya cepat sembuh,” kata Menteri Luar Macedonia Utara Nikola Dimitrov.
Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg berkata: “Insiden yang mengejutkan dari Istanbul. Ucapan takziah kepada semua yang terjejas & kepada rakyat Turkiye. #NATO bersolidariti dengan Ally Türkiye.”
Kementerian luar Pakistan, Jordan, Mesir, Arab Saudi, Jerman, India, Bosnia dan Herzegovina serta Greece turut mengucapkan takziah. – Bernama, 14 November, 2022.
Komen