Ismail Sabri mula lawatan rasmi 4 hari ke Turkiye


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memulakan lawatan rasmi selama empat hari ke Turkiye hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob tiba di Istanbul untuk memulakan lawatan rasmi selama empat hari ke Turkiye, Selasa.

Pesawat khas yang membawa Ismail Sabri dan delegasinya mendarat di lapangan terbang Istanbul Sabiha Gokcen International Airport (ISGIA) pada pukul 8.40 pagi (1.40 petang waktu Malaysia).

Antara yang hadir bagi menyambutnya di lapangan terbang ialah Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba dan Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.

Turut berada di lapangan terbang yang dimiliki dan dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad itu ialah Gabenor Sabiha Gokcen International Airport, Halil Avsar, Pengerusi MAHB Zambry Abd Kadir dan pegawai-pegawai tinggi dari kedua-dua negara.

Majlis sambutan rasmi bagi lawatan itu dijadualkan berlangsung di Ankara pada hari Khamis.

Lawatan atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan itu bermula dengan perdana menteri meninjau ISGIA sebaik tiba.

Lapangan terbang itu merupakan salah satu daripada dua lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, yang terletak di bahagian Asia daripada dua benua di Istanbul, dan disenaraikan sebagai lapangan terbang keenam paling sibuk di Eropah serta lapangan terbang kedua paling cepat pulih di Eropah pada 2021.

Selepas melawat ISGIA, perdana menteri akan menjadi hos kepada satu majlis makan tengah hari bagi Keluarga Malaysia yang menetap di Turkiye, sebelum mengadakan mesyuarat dengan komuniti perniagaan dan syarikat-syarikat besar Turkiye, antaranya Turkish Wealth Fund and Oyak.

Semasa mesyuarat itu Ismail Sabri dijangka meneroka peluang-peluang perdagangan komoditi dua hala, dengan tumpuan kepada sekuriti makanan, di samping mengukuhkan kerjasama menerusi perkongsian teknologi.

Pada Khamis, Ismail Sabri dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Erdogan di Presidential Complex di Ankara, disusuli dengan mesyuarat delegasi Malaysia-Turkiye.

Perdana menteri turut diiringi oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad, Panglima Tentera Udara Jen Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Tentera Darat Jen Zamrose Mohd Zain, dalam lawatan rasmi ini.

Dalam lawatannya ke ibu negara Turkiye, perdana menteri dijadualkan melawat dua penggiat utama dalam industri pertahanan dan aeroangkasa di negara itu iaitu MKE Corporation dan Turkish Aerospace Industries (TAI).

Turkiye merupakan rakan kongsi perdagangan ketiga terbesar Malaysia di Timur Tengah selepas Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan jumlah perdagangan antara dua negara merekodkan RM16.97 bilion (AS$4.09 bilion) pada 2021, dan projek dilaksanakan bernilai RM444.59 juta (AS$130.91 juta).

Pada 2021, Malaysia mengeksport minyak sawit dan produk berasaskan komoditi itu yang bernilai lebih AS$1.06 bilion bagi menampung permintaan yang semakin meningkat, khususnya dalam industri makanan Turkiye serta industri penjagaan diri dan rumah. – Bernama, 5 Julai, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen