Yang muda dan tak berapa tahu apa


Izmil Amri

Hasrat aktivis, Fahmi Reza mengadakan syarahan tentang demokrasi di universiti awam dikatakan dihalang pihak universiti. – Gambar Twitter, 14 November, 2022.

FAHMI Reza, seorang “punk tua” tidak berparti, bebas serta tidak memihak sesiapa selain dirinya sendiri dihalang berucap di tiga institusi pengajian tinggi setakat ini.

Setelah berjaya bersidang di UIA, Fahmi dihalang mengadakan syarahan ajar demokrasinya di UKM, UiTM dan kemudian di UM. Ketika rencana ini ditulis, Fahmi sepatutnya berucap di USM Pulau Pinang. Kesudahannya sudah boleh kita teka.

Dihalang bersyarah bukan benda baharu bagi seorang Fahmi Reza. Satu dekad lalu, Fahmi turut dihalang mengadakan siri syarahan Student Power beliau di kampus utama seluruh negara.

Dari sekadar sesi pembentangan di Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor, syarahannya tentang sejarah kesatuan mahasiswa dan kesannya terhadap PRU 1969 dihalang keras pihak berkuasa universiti.

Sama halnya seperti yang sedang terjadi sekarang.

Dari kampus utama, sampai ke Perlis khabarnya, Fahmi terus membuktikan sebenarnya pihak yang mempunyai kuasa sebenarnya tidak mahu anak muda mahasiswa menyedari dan mengetahui hakikat politik Malaysia.

Lebih mudah dan bermanfaat untuk puak kuasawan Umno terutamanya, jika anak muda kekal duduk dalam gelap pembodohan, dan hanya hangguk bila disuruh hangguk.

Itu barangkali tujuan syarahan Fahmi; bukan sangat mahu mengajarkan konsep politik dan demokrasi serta realiti parti di Malaysia, tetapi untuk menayangkan kepada seluruh populasi anak muda mahasiswa aparat universiti akan berusaha seboleh mungkin untuk menghalang pembelajaran yang tidak dipersetujui pentadbiran universiti.

Lalu setiap kali dihalang, muncul perkongsian di media sosial menunjukkan Fahmi dihalau polis bantuan universiti.

Orang ramai pun berinteraksi memberi komen, dan yang akan nampak bodoh pengecut adalah pihak universiti.

Dan sebenarnya di situlah kekuatan Fahmi, seorang pengamal komunikasi massa. Grafik itu mungkin cuba hobi bagi beliau.

Apa yang lebih penting ialah mesej yang mahu beliau sampaikan. Mesej itu selalunya tidak boleh dihalang meski dicuba bersungguh-sungguh.

Mesej menggugat

Beberapa ketika selepas PRU 2008, nama Fahmi muncul di arus perdana dengan dokumentari 10 Tahun Sebelum Merdeka. Mereka yang pernah menonton dokumentari tersebut akan menyedari bahawa sejarah negara ini ditulis dan dipasarkan dengan naratif orang yang menang.

Dokumentari tersebut menghidangkan jalan cerita yang tidak dibincangkan di sekolah. Ia menggugat naratif status quo, lalu membuka jalan kepada audiensnya untuk menimbulkan lebih banyak persoalan lanjutan.

Mesejnya bukan sangat tentang kisah hartal dan Perlembagaan Rakyat yang menjadi tema besar 10 Tahun Sebelum Merdeka, tetapi perihal sejarah yang tidak dibincangkan secara tuntas.

Kemudian daripada itu, Fahmi memulakan pula siri syarahan Student Power. Ini tentulah lebih menggugat lagi.

Pembentangan Fahmi tentang sejarah UMSU serta kesan langsung jelajah kesatuan mahasiswa dengan bas mereka sendiri bukan sangat soal watak dan cerita tentang kuasa autonomi mahasiswa. Bahkan apa yang Fahmi bangkitkan ialah kenapa kemudian daripada itu, mahasiswa tidak lagi dibenarkan terlibat dalam aktivisme politik.

Mereka yang hadir dan mengikuti siri syarahan terbabit tentunya kemudian terinspirasi untuk ikut beraktivisme, menghadirkan beliau ke kampus masing-masing supaya biji butir syarahannya yang begitu menarik dapat dikongsi bersama kawan mahasiswa yang lain.

Saya yang ketika itu sekadar menulis blog peribadi sebagai sebuah diari, langsung beralih arah daripada pemikiran yang tersangat Umno pada waktu itu. Pasca pendedahan Fahmi, dunia tiba-tiba jadi luas. Timbul kesedaran baharu, dan bertemu pula dengan keberanian baharu.

Kebetulan sewaktu itu turut meletup kes UKM4. Gerakan mahasiswa melawan pentadbiran yang ditunggangi Umno tambah rancak, dan kemudian berkemuncak dengan Perhimpunan Mahasiswa Negara pada Januari 2011.

Semuanya ini, sebenarnya adalah hasil pencerahan seorang “punk” yang pakai beret hitam, cermin mata “old-skool” dan baju ala kadet remaja sekolah.

Meski saya ini orangnya yang pernah ikut berbaiah dengan jemaah kampus dengan fikrah PAS, merapati PKPIM, Sekolah Politik Institut Kajian Dasar dan kemudiannya Sekolah Demokrasi anjuran DAP, kesan yang paling mendalam terhadap percambahan sudut pandang politik saya adalah hasil syarahan Fahmi.

Jadi mungkin inilah kenapa pihak berkuasa takut betul dengan seorang Fahmi Reza. Dengan bersendirian berbekalkan sekeping papan putih, pendidikan politik yang beliau berikan berjaya menggugat status quo.

Pendidikan politik

Baru saja beberapa hari lalu saya meluangkan masa berbual dengan beberapa anak muda dan bertanyakan pendapat mereka tentang proses politik negara ini, serta apakah faktor yang akan memujuk sokongan mereka di peti undi.

Jawapan yang saya terima pelbagai, antaranya membuatkan saya sedikit pening kepala.

Ada yang mengukur pencapaian parti politik melalui isu yang mereka perjuangkan, ada pula yang menilai logo.

“Logo Harapan adalah untuk orang yang membaca,” dia kata. “Yang PAS punya bulat seketul saja. Itu untuk orang malas tak membaca.” Saya tepuk dahi.

Ada yang hadir ke ceramah tanpa mempedulikan sangat intipati ceramah. Yalah, ceramah pun kadang kala hanya mengulang modal sama: kalau undi dia, negara akan rosak. Tetapi dia perhatikan khalayak yang datang; apa jenis demografi mereka, pakaiannya seperti apa, tua atau muda, dan sebagainya.

Ada seorang tu, Rafizi Ramli dan Fahmi Fadzil pun dia tak kenal. Kita ingatkan dua nama itu sudah cukup popular. Ternyata sangkaan itu meleset.

Generasi pengundi muda seperti ini mungkin akan keluar mengundi dan mengundi apa yang disuruh keluarga masing-masing. Lagikan makan pakainya pun masih mak ayah yang belikan, inikan pula kalau disuruh undi kerajaan.

Atau lebih meresahkan, mereka langsung tidak akan keluar mengundi dan terus tercicir daripada kanta hidup bermasyarakat.

Ada ramai lagi anggota masyarakat yang tidak peduli siapa dapat apa dan bagaimana (seperti definisi politik Lasswell). Malah majoriti sebenarnya hanya mahu terus hidup dengan apa yang mereka mampu kecapi.

Tetapi hakikatnya inilah simptom kegagalan pendidikan politik negara. Ramai yang tidak tahu dan tidak mahu ambil peduli.

Namun persoalannya, kenapa mutu pendidikan politik di negara ini begitu teruk sekali? Apakah yang diajarkan di sekolah sehingga begitu terhad pemahaman anak muda terhadap sistem dan proses politik negara?

Kepercayaan kononnya jika parti tertentu menang pilihan raya, maka Raja-raja Melayu akan dihapuskan sebenarnya boleh dipatahkan dengan hanya merujuk Perlembagaan Persekutuan.

Begitu juga halnya dengan fitnah konon jika parti tertentu menang, maka laungan azan akan dihentikan. Eh, benda ni boleh fikir sendiri sebenarnya.

Tetapi kenapa mentaliti rakyat negara ini begitu mudah dibohongi dengan perkara asas sedemikian?

Itu belum dicampur kesedaran orang ramai tentang bidang tugas wakil rakyat mereka di Parlimen, Dewan Negeri dan Majlis Kerajaan Tempatan.

Semua ini sebenarnya boleh diselesaikan dengan pelaksanaan pendidikan politik yang baik, supaya orang ramai sedar dan tahu tentang proses pentadbiran negara serta bagaimana sesebuah kerajaan berfungsi.

Parti politik terutamanya, perlu menjalankan fungsi mendidik masyarakat dan memberikan kefahaman politik yang jelas.

Takkanlah ini pun nak harapkan Fahmi Reza? – 14 November, 2022.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen