KONSENSUS Lima Perkara (5PC) akan kekal sebagai titik rujukan dalam mencari penyelesaian bagi krisis di Myanmar dan harus dilaksanakan secara keseluruhan, kata para pemimpin Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) pada Jumaat.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas Sidang Kemuncak Asean ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja para pemimpin memaklumkan Asean juga akan mempertimbangkan untuk meneroka pendekatan lain yang dapat menyokong pelaksanaan 5PC dalam usaha memulihkan keamanan dan kestabilan di Myanmar.
“Memandangkan keadaan di Myanmar masih kritikal dan mudah bergolak, dengan keganasan semakin meningkat menjadi kebimbangan utama yang bukan sahaja menjejaskan Myanmar tetapi juga usaha membina Komuniti Asean, justeru Asean komited untuk membantu Myanmar mencari penyelesaian yang aman dan kukuh kepada krisis semasa.
“Dengan sedikit kemajuan yang dicapai dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, maka menjadi tanggungjawab Angkatan Bersenjata Myanmar untuk mematuhi komitmen yang dibuat kepada Pemimpin-pemimpin Asean,” menurut kenyataan itu.
Terdapat keperluan bagi pelan pelaksanaan itu menggariskan petunjuk kukuh, praktikal dan boleh diukur dengan garis masa khusus untuk menyokong 5PC.
“Kami telah menugaskan Menteri-menteri Luar Asean untuk membangunkan pelan pelaksanaan berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Para pemimpin turut bersetuju agar Asean meminta semua pihak yang berkenaan untuk mematuhi dan melaksanakan 5PC serta bagi Asean untuk melibatkan semua pihak berkepentingan tidak lama lagi, manakala penglibatan akan dilakukan secara fleksibel dan tidak formal, yang akan dilakukan oleh Duta Khas Pengerusi Asean mengenai Myanmar.
Mengenai isu mengekalkan perwakilan bukan politik Myanmar ke Sidang Kemuncak Asean dan Mesyuarat Menteri Luar Asean, para pemimpin menugaskan Majlis Penyelaras Asean untuk mengkaji semula mengenai hal itu pada mesyuarat blok serantau.
“Kami mengesahkan Sidang Kemuncak Asean adalah badan pembuat keputusan tertinggi, justeru akan membuat keputusan muktamad mengenai pelaksanaan 5PC, termasuk apabila konsensus itu tidak dapat dicapai, selaras dengan Piagam Asean,” menurut kenyataan itu.
Pemimpin Asean juga menggesa semua pihak yang berkaitan di Myanmar untuk meredakan ketegangan dan menghentikan tindakan keganasan, pihak berkenaan harus bertanggungjawab secara adil atas keganasan yang dilakukan, lagipun Angkatan Bersenjata Myanmar adalah satu-satunya pasukan tentera terbesar di Myanmar.
Mereka turut menyeru semua pihak di Myanmar untuk memudahkan tugas Setiausaha Agung Asean dan Pusat AHA dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan di Myanmar tanpa diskriminasi.
“Setiausaha Agung Asean dan Pusat AHA harus diberi sedikit kuasa autonomi untuk memudahkan bantuan kemanusiaan di Myanmar.
“Keputusan itu akan dikaji semula dalam sesi akan datang dan memberi mandat kepada Menteri Luar untuk memantau kemajuan dan melaporkannya kepada Sidang Kemuncak Asean,” kata Pemimpin Asean.
5PC yang dipersetujui pada April 2021 berikutan rampasan kuasa tentera yang menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi pada 1 Feb tahun lepas, termasuk menghentikan keganasan, mengadakan dialog dengan semua pihak berkepentingan utama, pelantikan utusan khas untuk memudahkan pengantaraan, membenarkan delegasi untuk melawat dan bertemu dengan pihak berkepentingan di Myanmar dan membenarkan Asean menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Myanmar. – Bernama, 12 November, 2022.
Komen