India minat pertingkat hubungan dagang dengan Asean


Hubungan perdagangan dan pelaburan antara India dan Asean berkembang sejak sedekad lalu menerusi Dasar Pandang Ke Timur India. – Gambar EPA, 11 Oktober, 2022.

INDIA menandatangani 13 perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan rakan dagangannya termasuk negara anggota Asean dalam usaha untuk meningkatkan hubungan perdagangan antarabangsa.

Asean merupakan antara kawasan tumpuan bagi India dengan kedua-dua pihak berkongsi banyak persamaan dari segi budaya dan agama.

Hubungan perdagangan dan pelaburan antara India dan Asean berkembang sejak sedekad lalu menerusi Dasar Pandang Ke Timur India, lapor Agensi Berita Vietnam.

Perdagangan dua hala meningkat kepada AS$110.4 bilion pada 2021-2022 hasil daripada beberapa perjanjian penting yang ditandatangani antara kedua-dua pihak.

India dan Asean menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Kerjasama Ekonomi Komprehensif pada  2003 semasa Sidang Kemuncak Asean-India kedua, mewujudkan premis bagi kedua-dua pihak untuk berunding dan menandatangani FTA mengenai barangan, perkhidmatan dan pelaburan termasuk Perjanjian Perdagangan Barangan Asean-India (AITIGA) dan perjanjian perdagangan Asean-India dalam pelaburan serta perkhidmatan.

Sejak AITIGA berkuat kuasa pada Januari 2010 perdagangan antara Asean dan India meningkat dengan ketara menyaksikan eskport menokok sebanyak 23% manakala import mencatat 55% sepanjang dekad yang lalu. Import meningkat terutamanya dari Kemboja, Singapura dan Vietnam. – Bernama, 11 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen