Washington teliti langkah tambahan kembalikan demokrasi di Myanmar


Situasi di Myanmar akan menjadi tumpuan pada Pemukiman Menteri-Menteri Luar Asean di Kemboja bulan depan yang dijangka bakal membincangkan komitmen dan pencapaian mengenai Konsensus Lima Perkara. – Gambar EPA, 15 Disember, 2021.

SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Antony J. Blinken berkata Washington akan meneliti tindakan dan langkah tambahan yang perlu diambil bagi memberi tekanan kepada rejim Myanmar supaya mengembalikan semula demokrasi di negara itu.

Beliau juga menggesa rejim itu melaksanakan dan mematuhi Konsensus Lima Perkara yang disepakati pemimpin Asean untuk menamatkan krisis politik di Myanmar, sambil menambah di sebalik usaha ini keadaan di negara itu semakin teruk.

“Saya fikir adalah penting dalam beberapa minggu atau bulan akan datang, kita perlu lihat apakah tindakan atau langkah tambahan yang boleh kita ambil secara individu, secara kolektif untuk menekan rejim supaya mengembalikan semula demokrasi, termasuk bebaskan tahanan politik, tamatkan keganasan dan (beri) akses kepada petugas dan bantuan kemanusiaan,” katanya.

Blinken berkata demikian pada sidang akhbar bersama Menteri Luar Saifuddin Abdullah di pejabatnya di Kuala Lumpur, Rabu.

Sementara itu, Saifuddin berkata perkembangan situasi di Myanmar akan menjadi tumpuan pada Pemukiman Menteri-Menteri Luar Asean di Kemboja bulan depan yang dijangka bakal membincangkan komitmen dan pencapaian mengenai Konsensus Lima Perkara.

“Kita perlu lihat kepada langkah seterusnya, kenal pasti pencapaian sebenar yang sudah dibuat. Kita ada Konsensus Lima Perkara tetapi kita tidak benar-benar kenal pasti caranya dan bilakah satu-satu perkara itu perlu dicapai.

“Jadi menggariskan langkah dan pencapaian sebenar mengenai tarikh dan hasilnya akan menjadi keputusan penting di mesyuarat itu nanti,” katanya.

Saifuddin berkata secara keseluruhan Asean perlu mencari jalan untuk menentukan bagaimana badan serantau itu mahu bertindak dalam melaksanakan konsensus berkenaan.

Beliau berkata walaupun Asean berbangga mempertahankan prinsip tidak campur tangan, tetapi ia tidak boleh kekal selama-lamanya.

“Asean juga harus melihat prinsip tidak campur tangan kerana apa yang berlaku di Myanmar sebenarnya bukan setakat dalam negara sahaja tetapi turut memberi kesan di luar negara itu,” katanya, merujuk kepada krisis Rohingya yang menyaksikan Malaysia kini menerima hampir 200,000 pelarian Rohingya.

“Mungkin ada Pelan A, Pelan B atau Pelan C. Anda tidak boleh berpegang pada satu sahaja dan jika  pelan itu tidak menjadi dan anda tetap berpegang pada pelan itu,” katanya. – Bernama, 15 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen