AS cadang sidang kemuncak bersemuka Asean pada Januari 2022


AS mencadangkan sidang kemuncak Asean secara bersemuka pada minggu ketiga Januari dan sedang berbincang mengenainya dengan anggota. – Gambar fail EPA, 29 November, 2021.

AMERIKA Syarikat (AS) dilaporkan merancang menganjurkan sidang kemuncak secara bersemuka antara Presiden Joe Biden dan pemimpin negara anggota Asean, di Washington pada Januari 2022.

Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA), memetik sumber Asean, AS mencadangkan untuk mengadakan sidang kemuncak itu pada minggu ketiga Januari dan sedang berbincang mengenainya dengan anggota Asean.

Menjelang sidang kemuncak itu, Setiausaha Negara Antony Blinken dijadual melawat beberapa negara Asean termasuk Indonesia dan Thailand, pada Disember.

Sidang kemuncak itu bakal menjadi pertemuan bersemuka pertama antara Biden dan pemimpin Asean sejak memegang jawatan pada Januari tahun ini.

Pada sidang kemuncak Asean-AS secara maya pada akhir Oktober lepas, Presiden Biden dilaporkan berkata AS akan menyediakan sebanyak AS$102 juta antara lain untuk menyokong usaha Asean dalam menangani pandemik Covid-19. – Bernama, 29 November, 2021.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen