Calon muka baharu strategi untuk tarik pengundi muda, kata penganalisis


Angie Tan

Parti-parti politik yang bertanding pada pilihan raya kali ini menampilkan lebih ramai calon muda, bagi menarik minat serta keyakinan enam juta pengundi kali pertama berusia 18 hingga 21 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2022.

CALON muka baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang mungkin tidak akan mencetus kontroversi, apalagi kekecohan besar, kata penganalisis politik.

Parti-parti politik yang bertanding pada pilihan raya kali ini menampilkan lebih ramai calon muda, bagi menarik minat serta keyakinan enam juta pengundi kali pertama berusia 18 hingga 21 tahun.

Kalau mengikut falsafah politik lama, kebiasaannya calon muka baharu yang diketengahkan ini adalah mereka yang telah dipersiapkan untuk meneraju parti di masa hadapan, kata penganalisis politik Tang Ah Cai kepada The Malaysian Insight.

“Sudah jadi tradisi. Meremajakan parti dengan mengetengahkan lebih ramai calon muda. Tetapi kita tahu hakikatnya ramai wakil rakyat berusia yang masih tidak mahu berundur memberi laluan kepada yang muda.

“Secara teorinya muka baharu ini pada mulanya telah dilatih sebagai pembantu kepada wakil rakyat atau pemimpin parti sebelum dipilih untuk menjadi calon pilihan raya,” ujarnya.

Pertambahan bila­ngan pengundi muda selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemas kini daftar pemilih baharu secara automatik menyebabkan perubahan besar pada landskap politik negara, sekali gus memberi cabaran kepada parti politik untuk menampilkan lebih ramai calon muda bagi menarik undi.

Sejak Undi18 dan pelaksanaan daftar automatik dimulakan pada 15 Disember tahun lalu, jumlah pengundi baharu bertambah sebanyak 5.8 juta orang, dengan 1.2 juta orang pengundi berusia 18 hingga 20 tahun manakala 4.6 juta berumur 21 tahun ke atas.

“Sudah tentu jumlah pengundi muda meningkat dengan ketara. Kita akan melihat lebih enam juta pengundi kali pertama, dan yang paling ramai adalah mereka yang berumur 18 hingga 29 tahun.

“Yang berumur bawah 30 tahun kebanyakannya masih belajar, baik di sekolah menengah, kolej atau universiti. Dan tidak semestinya mereka ini mengambil kisah tentang perkembangan politik.

“Malah penyokong tegar parti politik juga bimbang dengan generasi baharu pengundi muda ini,” katanya.

Mengambil kira perkembangan ini, parti-parti politik menampilkan muka baharu seperti Hooi Mi Suet, 29, dengan harapan calon itu mampu menarik undi pengundi kali pertama, tambah Tang.

Beliau merujuk kepada calon mewakili parti Warisan yang bertanding di DUN Simpang Pulai di Perak, calon muka baharu yang kini mendominasi media sosial.

Pandangan serupa turut dikongsikan Liew Wui Chern, pensyarah di Jabatan Komunikasi Massa di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

“Parti-parti politik meletakkan calon muda dengan harapan untuk menarik undi pengundi muda.

“Pengundi kali pertama ini mungkin tidak kenal wakil rakyat tua. 

“Ditambah pula dengan sikap golongan muda yang tidak berminat dengan politik, yang mungkin menyebabkan mereka tidak tahu siapa dan parti mana yang harus dipilih. Jadi sebab itulah calon muda ditampikan untuk tarik minat mereka,” katanya. 

Parti-parti politik yang bertanding pada pilihan raya kali ini menampilkan lebih ramai calon muda, bagi menarik minat serta keyakinan enam juta pengundi kali pertama berusia 18 hingga 21 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2022.

Liew turut menekankan tiada yang pasti dalam pilihan raya umum kali ini.

Menurutnya dengan faktor yang pelbagai, pemimpin parti sudah pasti akan cuba mengambil pendekatan konservatif dan memilih untuk tidak melakukan perubahan drastik.

“Sesetengah parti hanya akan meletakkan calon muka baharu di kawasan kelabu atau hitam dengan harapan mereka akan berjaya di situ.

“Sebab itulah parti mengekalkan muka lama di Pagoh, Seremban atau Bagan Datuk,” jelas Liew.

Adakah strategi ini akan berhasil?

Semuanya bergantung kepada keunikan di kawasan yang terlibat, kata Tang.

Menurutnya, stategi meletakkan muka baharu mungkin berjaya jika pencabar adalah penyandang atau wakil rakyat yang tidak popular atau sudah terlalu lama berkhidmat di kawasan mereka bertanding.

“Sebaliknya pula jika penyandang di kerusi yang dipertandingkan telah berkhdimat dengan baik dan sangat disenangi pengundi, maka ini akan menyukarkan calon muka baharu.” – 11 November, 2022.   

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen