Anwar kecam gerakan tidak galak rakyat mengundi 


Anwar Ibrahim berkata jika rakyat tidak mengundi, mereka tidak akan dapat memilih individu yang akan mengurus dan bertanggungjawab terhadap masa depan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2022.

ANWAR Ibrahim menyelar pihak di sebalik “Parti Aku Malas Undi”, sebagai tidak bertanggungjawab terhadap usaha mereka untuk tidak menggalakkan pengundi muda keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketika ditanya pemberita hari ini mengenai gerakan itu, beliau juga berkata usaha itu adalah cubaan “menghalang kemajuan orang Melayu”.

“(Ia) satu tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana ia bermakna (mereka) menafikan hak (seseorang) untuk menentukan hala tuju negara.”

Anwar berkata jika orang ramai tidak mengundi, maka mereka hanya mengorbankan kepentingan mereka kerana tidak memilih individu yang akan mengurus dan bertanggungjawab terhadap masa depan mereka.

“Sama ada anda mengundi atau tidak, dasar itu akan memberi kesan kepada anda, ibu bapa dan anak-anak anda. Oleh itu, penting untuk anda menggunakan hak anda,” kata Anwar, yang akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun. – 8 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen