Kerjasama Perikatan hanya untungkan Bersatu, kata Ismail Sabri


Kata Ismail Sabri, PAS seolah-olah tidak belajar daripada pengalaman pada PRN Melaka dan Johor yang menyaksikan PN ditolak rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2022.

KERJASAMA PAS-Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) dilihat hanya menguntungkan Bersatu.

Perdana Menteri sementara, kata Ismail Sabri Yaakob berkata Bersatu dilihat tidak mempunyai akar umbi yang kuat di kebanyakan kawasan seluruh negara dan mengharapkan jentera PAS untuk memenangkan calon PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno berpandangan PAS seperti tidak belajar daripada pengalaman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang menyaksikan PN ditolak oleh rakyat dan kalah teruk pada kedua-dua PRN itu.

“Saya percaya dalam pilihan raya kali ini jika PAS berharap Bersatu masih boleh membawa kemenangan kepada mereka, mungkin ia boleh menyebabkan mereka (PAS) kecundang dan tidak menang kerusi seperti yang dijangkakan.

“Oleh sebab itu, saya menyeru kepada pengundi PAS, apabila calon mereka tak bertanding, eloklah beri undi kepada BN,” katanya sidang media selepas program Kenduri Rakyat di Kampung Bohor Baharu, Kuala Bera hari ini.

Ismail Sabri berkata perkara sama turut dilihat dalam Pakatan Harapan (PH) apabila DAP dilihat lebih cenderung mendominasi gabungan tersebut kerana memenangi lebih banyak kerusi pada PRU14 berbanding PKR dan Amanah.

“Dari segi dominasi itu kita menganggap DAP yang mendominasi (dalam PH), serupa juga dalam PN, Bersatu yang mendominasi PN, itu anggapan kitalah,” katanya. – Bernama, 8 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen