4 calon PRU15 dikesan mainkan isu kaum, agama


Empat calon PRU15 dikesan memainkan isu agama dan kaum ketika berkempen. – Gambar #KamiNampak Twitter, 8 November, 2022.

SATU inisiatif belia yang digelar #KamiNampak mengesan empat calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang memainkan isu perkauman dan agama ketika berkempen.

Mereka adalah Siti Zailah Mohd Yusoff (Perikatan Nasional-Rantau Panjang), V Ganabatirau (DAP-Klang) Fazli Mohammad (Gerakan Tanah Air-Balik Pulau) dan Priscilla Lau (Parti Sarawak Bersatu-Lanang).

Siti Zailah dikatakan memuat naik video di media sosial 6 November lalu yang menyentuh soal kewajipan orang Islam dalam memastikan bukan Islam tidak akan menjadi pemimpin kerana ia akan merosakkan agama.

Sementara Priscilla Lau pula susulan video TikTok video yang dikongsi ke akaun Facebooknya.

Dalam video itu, beliau berkata, “berikan undi kepada kami dan kami tak akan benarkan orang luar uruskan hal kita. Mereka dah buktikan mereka tak boleh buat.”

Dalam pada itu Ganabatirau dalam temu bualnya dengan Selangor TV yang disiarkan 6 November lalu dilaporkan berkata, “kebanjiran orang asing sangat teruk di sini. Saya bimbang Pasar Meru Klang akan jadi seperti Pasar Selayang tak lama lagi.”

Manakala bagi Fazli pula susulan catatan terkininya di Facebook, semalam yang berbunyi, “keluh resah dan kerisauan mereka tentang orang Melayu semakin hari semakin mengecil jumlahnya di Parlimen Balik Pulau katanya Dun Bayan Lepas bakal hilang dari tangan majoriti orang Melayu pada PRU16 nanti akibat projek-projek perumahan kondominium mewah yang orang Melayu hanya mampu tengok dan tak mampu beli.”

Koordinator # KamiNampak, Jason Wee berkata pihaknya menuntut semua calon untuk berkempen tentang dasar dan amalan daripada menggunakan isu agama dan kaum sebagai bahan kempen.

Katanya, penggunaan kaum dan agama sebagai bahan kempen hanya merosakkan kepercayaan antara komuniti majmuk di Malaysia.

# KamiNampak mempunyai lebih 60 sukarelawan yang memantau akaun media sosial Facebook, Twitter, TikTok, Instagram dan Youtube berkait kempen calon bagi 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen