Jangan panggil saya pengkhianat, kata Zuraida 


Ravin Palanisamy

Calon kerusi Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin berkata beliau tiudak sepatutnya dilabel sebagai pengkhianat yang menyebabkan kejatuhan Pakatan Harapan pada Februari 2020.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 November, 2022.

ZURAIDA Kamaruddin berkata beliau tidak sepatutnya dilabel sebagai pengkhianat kerana menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020, sebaliknya menuding jari ke arah pakatan itu sendiri.

Beliau berkata PH menggali kuburnya sendiri dengan tidak menyokong perdana menterinya ketika itu Dr Mahathir Mohamad, yang membawa kepada keruntuhan pentadbiran mereka selepas hanya 22 bulan memerintah.

Calon kerusi Parlimen Ampang itu juga berkata dia dipecat daripada PKR sebelum berpindah ke Bersatu semasa Langkah Sheraton, sambil menambah adalah tidak adil untuk dia dilabel sebagai pengkhianat.

“Sebenarnya saya dipecat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Saya rasa mereka mudah mahu melabel seseorang sebagai pengkhianat. Adakah kita mengkhianati negara atau pengundi? Mereka perlu ingat, sebagai ahli Parlimen, saya setia kepada pengundi saya.

“Kesetiaan saya adalah kepada pengundi saya, bukan parti. Dalam tiga penggal sebagai ahli Parlimen (Ampang), saya telah melakukan kerja yang baik untuk kawasan saya dan untuk rakyat di sini,” katanya sambil bersedia untuk mempertahankan kerusinya dalam pertandingan sembilan penjuru pada 19 November.

Bekas partinya PKR bekerja keras untuk memenangi kerusi ini, mengatakan bahawa ia telah diambil secara tidak adil daripada parti dengan pembelotan Zuraida bersama 11 wakil parti lain pada 2020.

Bekas naib presiden PKR itu bagaimanapun berkata, beliau menyerahkan kepada Tuhan untuk menghakiminya.

Sebelum ini Zuraida dilaporkan dipecat oleh PKR, bersama timbalan presiden parti Mohamed Azmin Ali, sehari selepas mereka menghadiri majlis makan malam bersama pemimpin parti lawan di Hotel Sheraton, Petaling Jaya hanya beberapa hari sebelum kejatuhan kerajaan PH.

Sembilan ahli Parlimen PKR yang lain, bersama Zuraida dan kemudian timbalan presiden PKR Azmin Ali, kemudian menyokong kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Bersatu yang turut mempunyai Umno dan PAS di dalamnya.

Beberapa bulan kemudian mereka semua menyertai Bersatu, kecuali Baru Bian yang memutuskan untuk menjadi wakil rakyat bebas.

Zuraida juga merupakan menteri dalam dua kerajaan selepas pentadbiran PH.

Pada September tahun ini, Zuraida menyertai parti baharu, Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Kejatuhan Dr Mahathir

Menjelaskan kejatuhan kerajaan PH, Zuraida melabel PH sebagai pengkhianat sebenar kerana tidak menyokong Dr Mahathir sebaliknya melemparkan sokongan mereka kepada Anwar Ibrahim.

“Dr Mahathir mengharapkan mandat yang lebih besar untuk merombak kabinet tetapi malangnya apabila menghadap (Yang di-Pertuan) Agong, beliau meletakkan jawatan dan secara automatik kerajaan tumbang. Kalau perdana menteri letak jawatan, seluruh kabinet tumbang.

“Apabila Dr Mahathir meletakkan jawatan, kami semua menyokong beliau (menjadi perdana menteri semula). Beliau gembira kerana mendapat hampir 100% sokongan dan beliau berkata beliau mahu membentuk kerajaan perpaduan.

“Beliau juga menyatakan hasrat untuk melantik menteri berdasarkan merit dan bukan atas jawatan politik, malah menggariskan hasrat melantik golongan profesional.

“Apabila mendengar ini, ahli Parlimen PH tidak menyokong Dr Mahathir. Mereka terus menyokong Anwar. Jadi, bekas perdana menteri itu tidak boleh menjadi perdana menteri lagi kerana beliau hanya menerima 65 undi berbanding Anwar 90 undi.

“Jadi siapa pengkhianat di sini? PH,” katanya.

Zuraida, yang dilantik sebagai presiden untuk PBM, berkata beliau telah menyokong Dr Mahathir hanya untuk Dr Mahathir menarik diri, membenarkan mereka mengundi penggantinya Muhyiddin Yassin.

“Apabila tiba untuk pengundian kedua, Dr Mahathir sudah memberi laluan kepada Muhyiddin. Jadi, kami bersetuju untuk menyokong Muhyiddin.

“Namun, pada awal pagi (sebelum Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri), saya menerima panggilan mengatakan Dr Mahathir telah muncul sebagai calon perdana menteri PH.

“Apa yang perlu kita lakukan kemudian? Kita telah pun memberikan akuan berkanun kita menyokong Muhyiddin,” katanya.

Tanda-tanda ketidakstabilan dalam kerajaan PH

Zuraida juga mendakwa PH sudah menunjukkan tanda-tanda ketidakstabilan dengan pentadbiran mereka, malah tewas beberapa pilihan raya kecil walaupun menjadi kerajaan ketika itu.

Beliau menggariskan beberapa sebab, termasuk “rungutan” berterusan presiden partinya ketika itu untuk menjadi perdana menteri.

“Kenapa kerajaan (PH) gagal? Kerana mereka tidak ada perpaduan, tidak sehaluan, mereka masih mempunyai pemikiran pembangkang. Mereka tidak tahu bagaimana menjadi kerajaan.

“Ketika itu mereka kalah dalam beberapa PRK. Malah rakyat sendiri yang memilih mereka menjadi kerajaan (pada 2018) tetapi kita terus kalah. Maknanya orang Melayu, Cina, India (sudah) tidak suka. kita pada masa itu.

“Selain itu kita mempunyai seorang lagi manusia yang sentiasa mahu menjadi perdana menteri.

“Itu mengganggu tumpuan (sesetengah) kami yang pertama kali berada dalam kerajaan. Kami tidak pernah menjadi menteri sebelum ini dan kami mahu belajar tetapi (rungutan berterusan) menyukarkan kami,” katanya merujuk kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Zuraida, yang memenangi tiga pilihan raya sebelum ini di bawah tiket PKR, akan bertanding di bawah kain rentang PBM pada pilihan raya umum (PRU15) akan datang.

Beliau akan berdepan lapan calon lain. Mereka ialah Rodziah Ismail (Pakatan Harapan), Ivone Low Yi Wen (Barisan Nasional), Sasha Lyna Abdul Latif (PN), Dr Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang), Lai Wai Chong (Warisan) dan tiga calon Bebas – M, Raveendran, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos dan Tan Hua Meng.

Parlimen Ampang merupakan kerusi kedua paling ramai calon pada PRU15, dengan sembilan calon, dengan yang pertama ialah Parlimen Batu (pertandingan 10 penjuru).

Zuraida yakin label pengkhianat itu tidak akan menjejaskannya dalam kempen untuk mengekalkan kerusi Ampang buat kali keempat.

“Pengundi melihat itu sebagai sesuatu yang peribadi. Apa yang sebenarnya dilihat oleh pengundi ialah prestasi saya kepada kawasan pilihan raya dan khidmat yang saya lakukan untuk mereka,” katanya.

Zuraida juga berkata bahawa “penjenamaan"nya yang kukuh di Ampang akan melonjakkannya kepada kemenangan pada PRU15. – 10 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen