Masalah 'tidak pernah berlaku' punca stesen LRT ditutup, kata Prasarana 


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah (tengah) pada sidang media yang turut disiarkan menerusi Facebook hari ini.– Gambar Facebook, 9 November, 2022.

ENAM belas stesen LRT terpaksa ditutup berikutan kerosakan yang dikesan dalam sistem kawalan kereta api automatik (ATC) Sabtu lepas, kata Prasarana Malaysia Berhad hari ini.

Presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulannya Mohd Azharuddin Mat Sah berkata kerosakan seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

Beliau berkata jurutera mereka sedang meneliti perkara itu dan setakat ini tidak dapat mengenal pasti punca gangguan itu.

“Kami memutuskan bahawa tindakan terbaik adalah menghentikan sementara perkhidmatan kereta api demi keselamatan penumpang.

“Kami masih cuba mengenal pasti punca sebenar gangguan itu. Pasukan RapidKL kini dibantu oleh pakar pengeluar peralatan asal untuk mengenal pasti penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang,” katanya dalam sidang media yang disiarkan di Facebook hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 73 bas pengantara telah digunakan ke lima laluan berbeza di sepanjang laluan Kelana Jaya untuk membawa penumpang ke destinasi mereka sebagai penyelesaian sementara, dan lebih banyak lagi akan ditambah kemudian.

Bagi memudahkan penumpang, bas akan berada di dua laluan antara stesen LRT Ara Damansara dan stesen LRT Pasar Seni dan stesen LRT Ara Damansara dan stesen LRT Kelana Jaya.

Bas juga akan berhenti di setiap stesen dari Kelana Jaya ke Pasar Seni; Pasar Seni ke Masjid Jamek; dan Masjid Jamek ke Damai.

Anggaran kekerapan bas pengantara adalah antara 15 dan 20 minit.

Sementara itu, Azharuddin berkata sistem itu perlu dinaik taraf dan RM150 juta telah diluluskan untuk fasa pertama.

“Laluan LRT Kelana Jaya telah beroperasi hampir 25 tahun. Ia adalah sistem lama yang memerlukan semua bahagian, kereta api dan sistemnya diganti.

“Sudah tiba masanya kita menukarnya dan kita mempunyai rancangan untuk menukarnya,” katanya. 

Beliau menambah bahawa kumpulan itu juga sedang bersiap sedia untuk menambah kereta api baharu pada Julai 2023. – 9 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • memang la isu ni tak pernah berlaku akan tetapi isu isu kecil sebelum isu besar ni apa yg kamu buat - I myself got stuck for hours during peak period once which lasted almost 2 hours, those to me are early signs of the problem faced today. cost cutting on maintenance preventive and we the commuters faced the music. Are you and your management team will to take a pay cut or better still resign from your post???

    Dimuat naik 1 tahun yang lalu oleh Teruna Kelana · Ulasan