Kerjasama TNB, Prasarana bekal elektrik LRT Shah Alam


LRT Laluan Shah Alam yang dahulunya dikenali LRT3 dijangka beroperasi serta dibuka kepada orang ramai menjelang 2025. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2022.

TENAGA Nasional Bhd (TNB) menjalin kerjasama strategik dengan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) bagi membekalkan bekalan elektrik bervoltan tinggi kepada tiga stesen suis utama di sepanjang Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua syarikat berkata, kerjasama itu akan bermula pada akhir 2022.

Menurut kenyataan itu, LRT Laluan Shah Alam yang dahulunya dikenali sebagai LRT3 dijangka beroperasi serta dibuka kepada orang ramai menjelang 2025.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB Baharin Din berkata syarikat utiliti itu bersedia memberi kerjasama kepada Prasarana dalam membangunkan lagi industri pengangkutan di Malaysia, terutamanya dari segi menyediakan bekalan elektrik berdaya harap dan stabil kepada bekalan rel sepanjang LRT Laluan Shah Alam.

“TNB beriltizam untuk menyegerakan peralihan tenaga yang merangkumi usaha meningkatkan nilai perusahaan portfolio penjanaan, memperluas fokus pasaran untuk mengembangkan portfolio tenaga boleh baharu, pelaburan untuk grid masa depan dan pembangunan ekosistem kenderaan elektrik,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan CEO Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah berkata kepakaran dan kemampuan  TNB untuk menyalurkan bekalan elektrik berdaya harap amat kritikal dalam memastikan Prasarana mampu melaksanakan mandat pengangkutan awam organisasi itu.

“Projek LRT Laluan Shah Alam merupakan sebahagian daripada Pelan Bersepadu Pengangkutan Awam untuk Greater Klang Valley dan Prasarana diberi mandat memberi kemudahan dan mengetengahkan serta menerapkan sistem pengangkutan awam darat yang terancang, selamat, responsif, efisien dan mampan,” katanya.

Majlis penyerahan perjanjian pembekalan elektrik diadakan bulan lalu.

Menurut kenyataan itu, jajaran LRT Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer menyasarkan jaringan perhubungan untuk dua juta penduduk di Koridor Barat Lembah Klang iaitu dari Bandar Utama ke Johan Setia, Klang melalui tiga kawasan pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Klang.

Sebanyak 20 stesen termasuk dua stesen integrasi MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang di Bandar Utama serta stesen integrasi LRT Kelana Jaya di Stesen Glenmarie 2 merangkumi jajaran itu, katanya.

Selain itu, menurut kedua-dua pihak, projek itu berjaya mewujudkan peluang pekerjaan sepenuh masa kepada lebih 5,900 orang pekerja.

Sejak 1996, TNB menyediakan bekalan elektrik bervoltan tinggi kepada Prasarana untuk LRT 1 (Laluan Ampang dan Sri Petaling) sepanjang 45km dengan bekalan 29.32 megawatt (MW), LRT2 atau Laluan Kelana Jaya (46.4km, 58.35 MW) sejak 1997 dan monorel (8.6km, 7.16 MW) sejak 2001.

Sejak 2016 pula, TNB menyediakan bekalan elektrik kepada MRT1 atau Laluan Kajang sepanjang 51km untuk bekalan elektrik 80.6 MW dan MRT2 atau Laluan Putrajaya (57.7km, 36.81 MW) sejak 2019. – Bernama, 2 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen