Tajuddin letak jawatan apabila Umno arah, kata Najib


Najib berkata, dalam perbualan telefon dengan Tajuddin, ahli Parlimen Pasir Salak itu berjanji akan meletak jawatan apabila diarahkan Umno. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Mei, 2021.

TAJUDDIN Abdul Rahman menyesali sikap tidak prihatin ditunjukkan semasa sidang media semalam dan akan meletak jawatan pengerusi Prasarana, kata bekas presiden Umno Najib Razak.

Najib berkata, dalam perbualan telefon dengan Tajuddin, ahli Parlimen Pasir Salak itu berjanji akan meletak jawatan apabila diarahkan Umno.

“(Tajuddin) berjanji akan letak jawatan sebaik sahaja (Majlis Kerja Tertinggi) Umno arahkan semua ahli meletak jawatan pada masa yang sesuai seperti keputusan (Perhimpunan Agung Umno) Umno beberapa bulan lepas.”

Tajuddin yang juga pengarah pilihan raya Umno pada April lalu menyatakan kesediaan meletak jawatan sewaktu mengumumkan parti itu akan menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) selewat-lewatnya Ogos.

Katanya Umno akan bertindak demikian walau Parlimen masih tidak dibubarkan ketika itu dan menggesa menteri dari parti berkenaan turut meletak jawatan pada tarikh tersebut.

Mengulas lanjut, Najib berkata Tajuddin turut mengakui membuat kesilapan semasa sidang media mengenai kemalangan melibatkan pertembungan dua tren LRT tersebut dan menerima tegurannya.

Tajuddin dalam satu perbualan telefon dengannya berjanji akan meminta maaf atas pengendalian sidang media tersebut yang menunjukkan ahli Parlimen Pasir Salak itu berseloroh.

“Dia akui, dia tak sepatutnya mengendalikan sidang media sebegitu rupa. Dia sendiri akui, sidang media itu sepatutnya dikendalikan dengan lebih baik dan penuh empati serta maklumat,” kata Najib.

Gurauan itu merujuk kepada kenyataan Tajuddin dalam sidang media itu yang menyebut dua tren berkenaan hanya “bercium” dalam kejadian tersebut.

Walhal, kemalangan serius yang pertama kali berlaku dalam sejarah perkhidmatan tersebut menyebabkan lebih 200 penumpang cedera dan 47 parah – tiga di antaranya mengalami pendarahan otak.

Selain itu, Tajuddin juga akan meminta maaf kepada wartawan yang hadir dalam sidang media itu, terutama wakil dari Phoenix TV, kata Najib. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 Mei, 2021.

Selain itu, Tajuddin juga akan meminta maaf kepada wartawan yang hadir dalam sidang media itu, terutama wakil dari Phoenix TV, kata Najib.

Tajuddin juga berjanji akan memohon bantuan kewangan lebih tinggi berbanding kadar RM1,000 yang diumumkan pengerusi Prasaranan itu semalam kepada mangsa kemalangan terbabit.

Najib berkata, jumlah yang lebih munasabah akan diumumkan sebagai bantuan kecemasan dan bukan pampasan kepada mangsa.

Selain itu, Tajuddin akan mengumumkan bantuan kepada mangsa untuk menuntut pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan insuran.

Tajuddin juga akan memastikan punca tragedi itu disiasat sepenuhnya dan tidak akan menyorok sebarang maklumat atau melindungi mana-mana pihak, dan mempertingkat keselamatan, katanya.

Kementerian Pengangkutan ketika mengumumkan hasil siasatan awal menyebut kemalangan berpunca dari kecuaian pemandu salah sebuah kereta api yang bertembung.

Dapatan itu bagaimanapun dipertikai bekas ketua pengarah eksekutif Prasarana Ridza Abdoh Salleh yang berkata siasatan juga perlu ditumpukan dan dijalankan di pusat kawalan. – 26 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen