Wakil rakyat pemalas, kaki ponteng Parlimen


Faisal Tehrani

SAYA betul menyampah dengan Melayu malas. Saya benci dengan Melayu yang hidupnya bertenggek atas pemberian orang.

Saya amat tidak boleh menerima mana-mana orang — khusus Melayu — kalau mereka malas. 

Ada ramai orang yang rajin di luar sana. Mereka mengharung hujan dan bahang panas menjadi penghantar makanan misalnya.

Mereka melakukan dua tiga kerja mendepani kos sara hidup, inflasi, atau masalah ketiadaan kerja di ibu kota. 

Mereka menunggu sehingga malam menyiapkan tugasan yang diberi majikan dengan harapan gaji dinaikkan meski tak kunjung tiba.

Mereka membanting tulang pagi menoreh, tengahari berkebun, dan malam berniaga. 

Akan tetapi mereka yang kerja kuat ini, maksud saya rajin, setiap kali ada pilihan raya, akan kekal memilih mereka yang pemalas ke Parlimen sebagai wakil mereka. Wakil rakyat pemalas. 

Wakil-wakil rakyat pemalas ini tidak datang ke pejabat mereka iaitu Dewan Rakyat apabila ada sidang. Hilang. Saya tak faham mengapa kita yang rajin menghantar wakil pemalas.

Kalau kita yang kuli-kuli ini tidak datang bekerja sudah tentulah kita akan diberi amaran, kemudian kalau berterusan memonteng, akan dibuang kerja.

Akan tetapi wakil rakyat pemalas di negara kita sudah serupa scammer

Kita sebagai bos atau majikan yang memperbaharui kontrak mereka lima atau empat tahun sekali setiap kali pilihan raya umum (PRU), akan tetap memilih si pemalas ini sebagai wakil kita.

Saya betul-betul tidak faham mengapa kita begitu bodoh mengundikan pemalas-pemalas ini.

Siapakah wakil-wakil rakyat pemalas ini? Satu laporan portal berita April 2022 menganalisis jumlah kehadiran ahli-ahli Parlimen ini.

Oleh sebab ahli Dewan Rakyat harus berfungsi di Dewan Rakyat (pejabat mereka), sesiapa yang memiliki jumlah kehadiran rendah bolehlah kita katakan sebagai tidak hadir bekerja.

Jika tidak hadir bekerja tanpa sebab, kita anggap mereka pemalas.

Rekod kehadiran buruk dalam kalangan pemimpin tertinggi parti jatuh di atas pundak Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan presiden Bersatu.

Beliau sekali lagi dicalonkan oleh PN yang mengaku mereka bersih dan maksum ini sebagai perdana menteri seterusnya.

Muhyiddin yang mengaku dirinya “abah” rakyat Malaysia hanya hadir di Dewan Rakyat sebanyak 17 daripada 71 yang dikira.

Jika beliau gagal hadir sebagai ahli Dewan Rakyat, maka saya tidak nampak sebabnya beliau harus dihantar ke Dewan Rakyat sekali lagi. Apatah lagi menjadi perdana menteri. 

Masakan kita rakyat yang rajin belaka harus menanggung gaji seorang perdana menteri yang tidak berdaya datang ke pejabat.

Ahli-ahli Parlimen lain yang kerap tidak hadir ke pejabat mereka iaitu Dewan Rakyat adalah:

1. Mahdzir Khalid (Umno - Padang Terap) — hadir 23 hari daripada 71 hari

2. Abdul Hadi Awang (PAS – Marang) — 21 hari daripada 71 hari

3. Mohd Shafie Apdal (Warisan – Semporna) — 20 hari daripada 71 hari

4. Hamzah Zainudin (Bersatu – Larut) — 20 hari daripada 71 hari

5. Reezal Merican Naina Merican (Umno – Kepala Batas) — 18 hari daripada 71 hari

6. Muhyiddin Yasin (Bersatu – Pagoh) — 17 hari daripada 71 hari dan;

7. Michael Teo Yu Keng (PKR – Miri) — 13 hari daripada 71 hari

Jika kita melihat jumlah dan senarai nama di atas, kita mendapati sebahagian besar ahli parlimen yang tidak bekerja di “pejabat” mereka ini adalah dari parti PN dan Barisan Nasional.

PN hanya mencapai 50.7% kehadiran setakat laporan di atas dikemukakan.

Di sekolah atau universiti, mereka yang gagal mencapai jumlah kehadiran tertentu, selalu akan menerima peringatan, dan dalam banyak keadaan tidak dibenarkan masuk ke dewan peperiksaan. 

Dalam hal ini ahli-ahli Dewan Rakyat ini sedang diperiksa oleh kita pengundi iaitu majikan sebenar yang boleh menentukan apakah mereka terus layak makan gaji dari cukai pendapatan dan hasil mahsul negara.

Kumpulan ahli Dewan Rakyat yang nampaknya rajin terdiri daripada:

1. Nor Azrina Surip (PKR – Merbok)

2. Wong Chen (PKR - Subang)

3. Wilfred Madius Tangau (Upko - Tuaran)

4. Wong Hon Wai (DAP - Bukit Bendera)

5. Wong Kah Woh (DAP - Ipoh Timur)

6. Thomas Su Keong Siong (DAP - Kampar)

7. Nga Kor Ming (DAP - Teluk Intan)

8. Hannah Yeoh Tseow Suan (DAP - Segambut)

9. Fong Kui Lun (DAP - Bukit Bintang)

10. Anthony Loke Siew Fook (DAP - Seremban)

11. Alice Lau Kiong Yieng (DAP - Lanang)

12. Mohd Anuar Mohd Tahir (Amanah - Temerloh)

13. Khalid Abdul Samad (Amanah - Shah Alam)

14. Hasan Bahrom (Amanah - Tampin)

Presiden Upko (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu) Madius Tangau mempunyai rekod kehadiran tertinggi dalam kalangan pemimpin sesebuah parti.

Semua pemimpin di atas adalah daripada gabungan parti Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan slogan Kita Boleh.

Saya melihat kali ini, dalam PRU15 terdapat ramai ahli Dewan Rakyat yang kurang sihat telah digantikan.

Antara lain ialah Sivarasa Rasiah (PKR) di Sungai Buloh, Hanipa Maidin (Amanah) di Sepang dan Mohd Anuar Tahir (Amanah) di Temerloh. 

Yang nampaknya mengambil kesedaran ini ialah parti PH. Saya percaya ia dilakukan supaya rakyat yang diwakili di sana mendapat khidmat terbaik dari ahli Parlimen.

Yang dikatakan tidak begitu sihat tetapi masih dicalonkan antara lain ialah Abdul Hadi Awang (Marang); Dr Mahathir Mohamad (Langkawi) dan Muhyiddin Yassin (Pagoh).

Mereka adalah dari gabungan parti PN terdiri daripada PAS dan Gerakan Tanah Air iaitu Pejuang. 

Ketiga-tiga mereka juga memiliki rekod kehadiran di Parlimen yang agak buruk.

Kalau selalu jatuh sakit, saya fikir eloklah tidak usah bekerja. Itu hukum normal dan fitrah seluruh dunia.

Betul-betul, saya berasa hairan jika kita rakyat yang rajin bekerja, sungguh gigih melakukan bermacam-macam untuk menampung hidup akan memberikan sang pemalas atau sang uzur di atas untuk mewakili kita pada 19 November ini. Takkanlah kita bodoh sangat? 

Saya percaya, kaki ponteng, pemalas dan orang sakit ini perlu dinyahkan dari pejabat iaitu dewan yang mulia — Parlimen Malaysia.

Negara kita memerlukan pimpinan dan ahli parlimen terbaik sekarang ini memandangkan kita perlu bersaing dengan tetangga dan perlu mendepani ribut badai perubahan iklim, krisis ekonomi dan keperluan reformasi pendidikan. 

Tolonglah Malaysia, buanglah kaki ponteng Dewan Rakyat ini. – 8 November, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen