Wartawan ditahan atas dakwaan 'ancam keselamatan negara' di Senegal 


PENGARAH laman berita yang mengkritik kerajaan Senegal telah ditahan oleh polis di Dakar atas tuduhan mengedarkan maklumat “boleh membahayakan” keselamatan negara, menurut peguamnya.

Pape Ale Niang, yang mengendalikan laman berita Dakar Matin, terkenal di Senegal kerana ruangan tetapnya mengenai hal ehwal semasa.

Dia ditangkap pada petang Ahad dan ditahan di balai polis pusat di Dakar atas tiga dakwaan “pelanggaran”, peguamnya Cire Cledor Ly memberitahu AFP.

Niang dituduh “mendedahkan maklumat yang boleh membahayakan pertahanan negara, dan tindakan serta gerakan yang boleh menjejaskan keselamatan awam dan menimbulkan masalah”, kata Ly.

Tuduhan ketiga berkaitan dengan “pelanggaran kerahsiaan profesional”, tambah Ly yang turut mengecam penahanan itu sebagai  ugutan dan cubaan untuk menutup mulut akhbar”.

Koordinator Persatuan Akhbar Senegal, sebuah badan yang mewakili kumpulan akhbar tempatan, berkata dalam satu kenyataan bahawa ia akan menyediakan “semua bantuan yang diperlukan” oleh Niang.

Sumber polis mengesahkan penahanan Niang kepada AFP, tetapi tidak mendedahkan puncanya.

Menurut media tempatan, penahanan itu dibuat selepas artikel oleh wartawan itu beberapa hari kebelakangan ini mengenai tuduhan rogol yang dihadapi oleh ketua pembangkang utama Senegal, Ousmane Sonko.

Sonko, 48, yang telah mengisytiharkan pencalonannya pada pilihan raya presiden 2024, berada di bawah pengawasan kehakiman sejak Mac 2021 atas tuduhan merogol dan mengugut seorang pekerja salun kecantikan tempat dia mendapatkan urutan.

Senegal menduduki tempat ke-73 daripada 180 negara pada Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2022 yang disusun oleh Reporters Without Borders. – AFP, 7 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen