KUMPULAN wartawan Iran mengecam penahanan beberapa rakan sekerja mereta ketika protes tercetus susulan kematian gadis berusia 22 tahun, Mahsa Amini yang memasuki minggu ketujuh.
Amini meninggal dunia dalam tahanan pada 16 September selepas ditangkap di Tehran atas dakwaan melanggar peraturan berpakaian wanita Iran.
Berpuluh orang, terutamanya penunjuk perasaan serta anggota pasukan keselamatan, maut semasa demonstrasi yang disifatkan sebagai “rusuhan” pihak berkuasa, dan ratusan lagi ditangkap.
Menurut akhbar harian reformis, Sazandegi, “lebih 20 wartawan masih dalam tahanan”, baik di ibu kota Tehran dan juga bandar-bandar lain.
Beberapa orang lagi dipanggil pihak berkuasa untuk disoal siasat, tambah akhbar itu.
Lebih 300 wartawan dan jurugambar Iran menandatangani kenyataan untuk mengkritik pihak berkuasa kerana “menangkap rakan sekerja dan melucutkan hak sivil mereka selepas ditahan”, menurut media tempatan.
“Mereka tidak mempunyai akses kepada peguam, mereka disoal siasat dan didakwa sebelum perbicaraan,” tambah kenyataan itu sambil menggesa semua wartawan dibebaskan.
Sementara itu, dalam satu kenyataan yang diterbitkan dalam akhbar Etemad, persatuan wartawan Tehran menolak “pendekatan keselamatan” sebagai “haram” dan “bercanggah dengan kebebasan akhbar”.
Kesatuan itu merujuk kepada laporan perkhidmatan keselamatan yang dikeluarkan pada Jumaat mengenai asal-usul gerakan protes, yang menuding jari kepada “campur tangan rejim Amerika Syarikat dalam rusuhan baru-baru ini”.
Laporan keselamatan itu menuduh Barat menganjurkan “kursus latihan” untuk rakyat Iran dengan tujuan penukaran kuasa di Tehran. – AFP, 30 Oktober, 2022.
Komen