AS puji Belarus bebaskan wartawan


Jurucakap Jabatan Negara Ned Price berkata, Amerika Syarikat mengalu-alukan pembebasan wartawan Radio Free Europe Aleh Hruzdzilovich dan beberapa yang lain, namun menegaskan Belarus perlu membebaskan lebih ramai lagi banduan yang ditangkap kerana berbeza pendapat. – Gambar AFP, 26 September, 2022.

AMERIKA Syarikat (AS) pada Ahad mengalu-alukan pembebasan seorang wartawan di Belarus namun menggesa pembebasan ratusan banduan lain yang ditangkap dalam tindakan keras kerana berbeza pendapat.

Radio Free Europe/Radio Liberty berkata beberapa hari sebelumnya salah seorang wartawannya, Aleh Hruzdzilovich, telah dibebaskan selepas sembilan bulan dipenjarakan.

Jurucakap Jabatan Negara Ned Price berkata, AS mengalu-alukan pembebasan Hruzdzilovich dan beberapa yang lain.

“Walaupun pembebasan tahanan politik ini satu langkah ke arah yang betul, terlalu ramai tahanan politik masih dipenjarakan di Belarus,” kata Price dalam satu kenyataan.

“Kami seru pembebasan segera dan tanpa syarat semua tahanan politik.”

Pejabat PBB mengenai hak asasi manusia pada Jumaat berkata hampir 1,300 orang ditahan di Belarus atas alasan politik.

Hruzdzilovich, 63, ditahan kerana didakwa mengambil bahagian dalam protes besar-besaran pada 2020. Beliau menafikan tuduhan itu, berkata beliau berada di sana sebagai wartawan.

Radio Free Europe/Radio Liberty, yang menerima pembiayaan daripada Kongres AS tetapi bebas dari segi editorial, berkata dua lagi wartawannya, Ihar Losik dan Andrey Kuznechyk, masih dipenjarakan di Belarus. – AFP, 26 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen