Adly Zahari, sambung yang tergendala


Faisal Tehrani

Adly Zahari bertemu masyarakat di Alor Gajah selepas penamaan calon semalam. – Gambar Facebook, 6 November, 2022.

TERDAPAT beberapa ahli politik di peringkat negeri yang nampaknya cuba melangkah ke peringkat persekutuan. Contohnya Menteri Besar Negeri Sembilan dan Selangor; Aminuddin Harun dan Amirudin Shari. Salah seorang yang juga ingin mengorak langkah, mencuba nasib di Dewan Rakyat adalah Adly Zahari.

Satu-satunya orang bertanding yang berhak menggunakan motto “sambung yang tergendala” di Melaka tidak lain tidak bukan tentulah Adly Zahari, bekas ketua menteri Melaka. Adly sedang bertanding di Parlimen Alor Gajah. Tidak ramai yang mengetahui profil beliau.

Hubungan Adly dengan Alor Gajah bukanlah baharu. Adly bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal. Di peringkat menengah pula beliau di Sekolah Menengah Durian Tunggal sebelum ke Sekolah Teknik Bukit Piatu.

Mereka di pasar malam sekitar Alor Gajah tentu mengenal beliau sejak remaja kerana membantu keluarganya berniaga pasar malam iaitu menjual jagung bakar, buah dan ikan.

Ketika beliau mula-mula terlibat dalam politik, Adly adalah orang yang menubuhkan PAS cawangan Durian Tunggal, di Alor Gajah. PAS hari ini memilih untuk bergelumang dengan pengkhianat dalam kalangan Bersatu, dan orang kecewa Umno seperti Shahidan Kassim.

Langkah Adly membantu pengasasan Amanah di Melaka pada tahun 2015 sebelum menjadi Pengerusi Pakatan Harapan di Melaka, memang tepat.

Selain dikenal di Alor Gajah, Orang Pantai Kundor dan Tanah Merah, Melaka di awal tahun 1990an tentu mengingat beliau sebagai aktivis yang membantu usaha untuk menyelamatkan tanah orang kampung dari ditelan pembangunan.

Apabila beliau dilantik menjadi ketua menteri Melaka pada tahun 2018 ekoran kemenangan gabungan parti di bawah PH memenangi Pilihan Raya Negeri, rakyat memang ingat apa yang telah beliau lakukan.

Memang sangat penting untuk pengundi di Melaka memberi beliau semula mandat, kali ini di persekutuan agar dapat menyambung apa yang tergendala.

Antara lain yang Melaka ingat dan sangat ingat ialah bagaimana beliau begitu hemat dengan belanjawan kerajaan negeri. Adly sebagai permulaan memilih untuk tidak menginap di Seri Bendahara. Beliau menetap di Rumah Tamu, Bukit Peringgit dan kos bil elektrik dijimatkan misalnya dari RM37,000 menjadi RM2,000 sahaja.

Menerusi penjimatan yang bermacam-macam inilah Melaka di bawah Adly telah membayar sebanyak RM 4.9 juta hutang kepada kerajaan persekutuan sepanjang tahun 2018.

Kelicinan Melaka di bawah PH dirasai oleh rakyat misalnya menerusi pengangkutan awam percuma meliputi laluan Melaka Sentral, MITC, Hospital Melaka dan pasar di Bachang. Lapangan Terbang Melaka pula berjaya meningkatkan trafiknya dan terdapat penerbangan ke Kota Bharu, Langkawi, dan Pulau Pinang. Untuk orang Alor Gajah, pengurangan kesesakan lalu lintas di jaringan Lebuh AMJ antara Alor Gajah-Melaka-Jasin dengan 20 persimpangan dirapikan oleh PH di bawah Adly.

Untuk mengatasi masalah bekalan air, Adly mengusahakan pembinaan Empangan Jerneh yang mampu menampung 13,000 juta liter kapasiti air menerusi air dari Sungai Rembau; juga pembinaan Loji Rawatan Air Jerneh yang berkapasiti 95 juta liter sehari berdekatan dengan Empangan Jerneh iaitu di penghujung sistem bekalan air Negeri Melaka bagi menampung keperluan kepadatan penduduk di kawasan Masiid Tanah. Ini termasuklah pembinaan Off River Storage (ORS) Melaka di Tasik Biru, Jasin.

Di Alor Gajah sepatutnya juga terdapat pembinaan telaga tiub di kawasan Loji Rawatan Air Sungai Siput dan 6 telaga di Loji Rawatan Air Gadek dengan jangkaan keupayaan air bawah tanah yang boleh diperolehi adalah 1 hingga 3 juta liter sehari. Akan tetapi projek-projek ini tergusur sama apabila kerajaan PH ditumbangkan oleh UMNO (BN) dan Bersatu (PN) di Melaka.

Sayang juga, pembangunan pendidikan di Alor Gajah yang diusahakan beliau tidak tahu apa natijahnya. Sebagai contoh sebelum mandat PH dirompak BN dan PN, dengan peruntukan persekutuan Adly sedang mengusahakan naik taraf bangunan Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin di Alor Gajah yang dianggarkan berjumlah RM18.7 juta; menaik taraf dan memulihara struktur fizikal Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar yang dianggar bernilai RM13.8 juta; pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaaan Seri Duyong dengan kos RM28 juta; pembinaan Sekolah Berasrama Penuh bagi Sekolah Menengah Sains Alor Gajah sejumlah RM65 juta; pembinaan sekolah baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Krubong; dan peningkatan kemudahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Jasin. Tergendala dek kerakusan pengkhianat politik.

Satu lagi aspek yang sukar disaingi oleh manaa-mana lawan calon PH mewakili parti Amanah di Alor Gajah ini ialah komitmen beliau terhadap pembanterasan rasuah dan korupsi. Saya tidak fikir ini betul-betul terlihat pada calon parti lain.

Sebaik sahaja mengangkat sumpah sebagai ketua menteri, beliau mewajibkan kaki tangan Pejabat Ketua Menteri untuk melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR). Majlis untuk bebas ikrar rasuah ini dilakukan di hadapan Tuan Awangkok Ahmad Taufik Putra, Pengarah Suruhanjaya Rasuah Malaysia di Melaka.

Jadi IBR itu bukan syok sendiri, dan bukan bertujuan untuk publisiti. Bukan jenis lafaz yang dibaca untuk boleh bertanding PRU misalnya.

Untuk lebih telus, Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dilantik oleh kerajaan negeri tidak lagi diberi kuasa dalam jawatankuasa tender, dan cuma boleh bersuara memberi pandangan. Ini untuk menghakis campur tangan orang politik.

Bukan itu sahaja, pentadbiran Adly di Melaka melarang anggota pentadbiran ketika 22 bulan PH berkuasa di Melaka untuk mengambil hadiah; kecuali buku, makanan dan bunga. Demi meningkatkan tatakelola kerajaan negeri ketika itu, terdapat banyak unit-unit yang bertindanan fungsi dan kerjanya dimansuhkan demi menjimatkan duit negeri.

Adly juga melihat GLC (syarikat milik kerajaan) hanya berfungsi untuk memberi imbuhan dan makan gaji buta untuk ketua-ketua bahagian parti pemerintah sebelum. Padahal gaji mereka yang memimpin GLC itu semua sangat besar.

Jika GLC yang tidak perlu dibubarkan, kerajaan negeri tidak perlu lagi menyumbang kepada syarikat ini dan peruntukan boleh diberikan kepada Japerun sebanyak RM1 juta setiap tahun. Ada banyak yang dapat diberi untuk rakyat iaitu pengundi dengan jumlah tersebut.

Dari segi perancangan negeri, Adly membangunkan pokok hutan menerusi dasar Urban Riparian Reforestation dan ini dapat dilihat sepanjang Sungai Putat ke kawasan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Satu lagi keistimewaan Adly adalah ‘Hari Bertemu Rakyat’ yang beliau kemukakan bermula pada 25 Mei 2018. Beliau bertemu siapa sahaja, orang kampung orang bandar di Dewan Seri Bendahara pada setiap hari Jumaat yang mana rakyat boleh membuat aduan terus kepada beliau.

Memang ada urusan yang tidak dapat diselesaikan dengan jangka masa singkat, tetapi ia membina hubungan antara rakyat dan pemimpin secara luar biasa.

Ahmad Zahid Hamidi dalam satu sidang media mengatakan calon PRU15 dari kalangan UMNO terdiri daripada mereka yang berciri wali. Sebenarnya kita tidak memerlukan seorang lebai, apatah lagi seorang wali sebagai pemimpin. Memadailah orang yang berjimat, berhemat, dan ada wawasan. Yang memang mengenal kawasan Alor Gajah dan sanggup meneruskan cita-cita dan cintanya untuk negeri Melaka.

Watak itu ada pada Adly Zahari sebelum haknya sebagai ketua menteri dirampas ekoran Langkah Sheraton pada tahun 2020. Helah politik yang diinisiatifkan oleh Abdul Hadi Awang dari PAS dan Muhyiddin Yassin dari Bersatu (sekarang mereka bernama Perikatan Nasional atau PN) itu mengganjalkan macam-macam usaha Adly.

Sehingga hujung tahun 2019, PH telah melunaskan 62 atau 73 peratus keseluruhan 85 janji dalam tawaran Pakatan Harapan Negeri Melaka. 23 janji lain atau 27 persen sedang dalam proses pelaksanaan sebelum mandat rakyat dicuri.

Alor Gajah mesti memberi Adly peluang untuk menyambung apa yang tergendala. Kali ini dalam bentuk lain. Beliau tahu dan kenal setiap alurnya di Alor Gajah. Bukan orang dari luar dari keluarga orang senang yang datang menenggek susah pengundi.

Akan tetapi apakah Adly akan berjaya dalam usahanya untuk menjejakkan kaki ke peringkat persekutuan? Apakah beliau akan berada bersama kumpulan elit pemimpin negeri beralih ke nasional?

Ia akan diketahui pada 19 November ini. Penentuannya di Alor Gajah. – 6 November, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen