5 kumpulan di Lembah Klang bantu pengundi OKU keluar mengundi


Angie Tan

Beberapa kumpulan masyarakat sivil di Selangor bergabung bagi menyediakan perkhidmatan membantu golongan OKU membuang undi pada 19 November ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2022.

LIMA kumpulan masyarakat sivil di Selangor bersetuju untuk bekerjasama menyediakan pengangkutan kepada golongan kurang upaya (OKU) untuk mengundi pada 19 November ini.

Eksekutif perhubungan awam Dual Blessing Bhd Goh Kuan Then berkata mereka memulakan perkhidmatan awam yang sama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Beliau berkata kumpulan itu menjalankan inisiatif itu selepas peratusan keluar mengundi yang rendah dalam pilihan raya lepas kerana mereka berdepan kesukaran untuk keluar.

“Kami percaya pengundi yang mengalami masalah fizikal ini harus diberi peluang yang sama rata untuk mengundi.

“Itulah sebabnya kami memutuskan untuk menggabungkan sumber kami dengan organisasi lain yang mempunyai matlamat sama seperti ini dengan harapan dapat membantu lebih ramai orang.

“Itulah keputusan kami untuk membantu rakan kurang upaya yang akan membolehkan mereka keluar dan mengundi,” katanya.

Beliau berkata matlamat utama mereka adalah untuk melakukan segala yang mungkin untuk membantu golongan OKU sambil menambah mereka hanya mempunyai beberapa kenderaan dan tenaga kerja.

Goh berkata mereka merayu kepada mereka yang memerlukan bantuan untuk membuat janji temu kerana ia akan membantu mereka dalam pengurusan kenderaan dan perancangan laluan.

Presiden Persatuan Hidup Merdeka Untuk Orang Kurang Upaya Malaysia Sia Siew Chin menegaskan kebanyakan pusat mengundi adalah di sekolah dan ia bukan tempat mesra OKU.

“Saya mula membantu mereka yang mengalami masalah fizikal untuk mengundi sejak lama dahulu ketika saya berada dalam kumpulan masyarakat sivil yang lain.

“Mereka juga warganegara dan mempunyai hak untuk memilih kerajaan,” katanya.

Tetapi Sia berkata ini adalah kali pertama mereka bekerjasama dengan kumpulan masyarakat sivil yang lain.

Beliau turut merayu sukarelawan dan mereka yang berminat boleh menghubunginya di talian 013-3973386.

“Kami memerlukan seramai mungkin sukarelawan untuk memudahkan kerja ini,” tambahnya.

Pengasas Lovely Disabled Home Lum Kok Kiang berkata dengan pelaksanaan Undi18, ibu bapa yang mempunyai anak OKU terlalu menginginkan anak mereka yang layak keluar mengundi pada hari pilihan raya.

Lum mempersoalkan mengapa Suruhanjaya Pilihan Raya tidak mempunyai arahan khusus dalam membantu golongan muda OKU keluar mengundi.

Beliau berkata seperti sekarang ibu bapa mereka terpaksa memikul bebanan tersebut.

PRU15 ini juga merupakan kali pertama rumah itu bekerjasama dengan kumpulan lain untuk membawa pengundi OKU ke pusat mengundi.

Lum berkata beliau berharap usaha kerjasama kumpulan-kumpulan itu akan memberi sedikit pencerahan kepada inisiatif mereka untuk menjaga dan membantu golongan yang kurang bernasib baik.

“Kami menghulurkan tangan supaya mereka boleh pergi ke pusat mengundi dan mengundi,” katanya.

Rakyat Malaysia akan keluar mengundi pada 19 November ini. – 5 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen