Cosy Cafe di Kuching sedia tempat untuk belia OKU


Angie Tan

Cosy Cafe di Kuching, Sarawak dibuka untuk membantu golongan belia OKU belajar dan mencari pengalaman sebelum berdepan dunia luar. – Gambar The Malaysian Insight, 27 Julai, 2022.

COSY Cafe di Kuching, Sarawak walaupun baru saja beroperasi empat bulan tetapi ia membuka satu dunia baharu pembelajaran dan penerokaan untuk golongan kurang upaya (OKU) yang bekerja di situ, kata pengasasnya Shen Chiu Hsiang.

Shen yang juga pengasas House of Joy Double Blessing Caring Society di Kuching, berkata kafe itu dibuka untuk menyediakan peluang pekerjaan untuk kumpulan golongan ini dan mengajar mereka berdikari.

“Sedikit demi sedikit kita dapat melihat kejayaan. Mereka boleh belajar kemahiran tempat kerja dan membina keberanian untuk berdepan dunia luar supaya mereka juga boleh mendapat peluang pekerjaan pada masa depan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Cosy Cafe terletak di Jalan Stapok, bersebelahan dengan rumah kelab itu di Jalan Shitabo.

Pada masa ini, kafe itu mengambil enam individu OKU sebagai pekerja. Berusia antara 20 dan 30 tahun, setiap daripada mereka mempunyai tahap cabaran pembelajaran dan kurang upaya yang berbeza.

“Ketika kafe itu mula dibuka, mereka takut untuk menyapa tetamu, tetapi selepas latihan dan galakan, mereka kini tahu bagaimana mengambil inisiatif dan mengalu-alukan pelanggan.”

Enam pekerja berkenaan bertuga sebagai juruwang dan tukang masak di bawah bimbingan dan seliaan di dapur.

“Saya bimbang juga jika mereka tidak dapat belajar dengan cepat. Kami beri mereka cuba dan benarkan mereka untuk saling bertukar tugas.

“Kami juga memaklumkan pelanggan tujuan kafe ini dibuka dan pekerja di sini.”

Shen berkata pelanggan memberi respons positif dan turut menunjukkan rasa kasih serta peduli kepada pekerja berkenaan.

“Ini bukan tentang hendakkan simpati, mereka dapat lihat pekerja kami memang bekerja dan cuba sehabis baik. Bila ada kekurangan, kami akan telus dengan pelanggan dan mohon maaf.”

Beliau berkata selepas empat bulan beroperasi, keuntungan sangat rendah. Tidak ramai yang tahu tentang kafe itu dan hanya selepas mendapat beberapa publisiti media dan hebahan rakan, barulah ada sedikit peningkatan.

“Walaupun perniagaan ini bergerak perlahan, sekurang-kurangnya semuanya bekerja keras. Kalau kami tidak perjuangkan, apa yang golongan belia OKU ini dapat buat untuk masa depan mereka?”

Kafe itu menyediakan makanan Cina dan Barat yang ringkas.

Shen berkata Cosy Cafe juga bercadang untuk memulakan tempahan makanan tengah hari bungkus untuk pejabat dan kumpulan.

Antara perancangan masa depan untuk OKU yang bekerja di situ ialah menanam sayuran untuk hidangan di kafe.

Cosy Cafe dibuka dari Isnin hingga Jumaat, dari 9 pagi hingga 2 petang. Kafe ini menyediakan makan tidak halal. – 27 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen