Skim rumah mampu milik tak diskriminasi OKU, kata KPKT


KPKT berkata tiada diskriminasi terhadap golongan OKU dan warga emas untuk pengisian mana-mana skim perumahan mampu milik di bawah kementerian itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2022.

TIADA diskriminasi terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas untuk pengisian mana-mana skim perumahan mampu milik di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Timbalan menterinya Ismail Abd Muttalib berkata kementerian itu bertanggungjawab dalam menyediakan perumahan yang berkualiti, kondusif serta mampu milik untuk keperluan kumpulan sasar termasuk golongan rentan seperti OKU.

“Bagi memastikan golongan OKU memiliki rumah, KPKT telah menetapkan bahawa satu peratus daripada jumlah keseluruhan Program Perumahan Rakyat (PPR) diperuntukkan kepada golongan berkenaan,” katanya semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Ras Adiba Mohd Radzi yang ingin tahu langkah kementerian itu dalam memastikan proses permohonan perumahan oleh OKU serta warga emas dipermudah kerana terdapat rungutan wujud diskriminasi terhadap golongan itu.

Menyentuh mengenai projek PPR, Ismail berkata KPKT menyediakan kediaman khas untuk golongan OKU yang terletak di tingkat bawah serta dilengkapkan dengan piawaian spesifikasi reka bentuk sejagat seperti tempat letak kenderaan dan lif mesra OKU.

“Selain itu, garis panduan perancangan perumahan bagi kemajuan perumahan telah mensyaratkan keperluan untuk menyediakan rumah mengikut reka bentuk sejagat bagi mendapatkan kelulusan kebenaran merancang.

“Laluan khas atau green lane dalam permohonan kelulusan kebenaran merancang akan diberikan kepada pemaju perumahan yang mematuhi spesifikasi reka bentuk ini,” katanya.

Beliau berkata sekiranya syarat spesifikasi reka bentuk itu tidak dipatuhi pemaju perumahan, kementerian berhak mengambil tindakan seperti tidak memberi kelulusan atau denda sehingga RM50,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya. – Bernama, 16 Ogos, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen