Malaysia, orang muda bukan adiwira 


SIKAP masyarakat terhadap orang muda sering bercanggah. Pada satu sudut, orang muda dilihat sebagai agen perubahan paling penting dalam sesebuah negara. 

Semangat, kudrat, optimisme dan kreativiti orang muda dikatakan mempunyai kuasa luar biasa untuk mengubah masa depan negara menjadi lebih baik. 

Satu sudut yang lain pula memandang rendah kepada kebolehan orang muda, menuduh orang muda sebagai terlalu sensitif, mengikut perasaan, tidak matang, lemah dan belum banyak makan garam. 

Orang muda dikatakan terlalu meminta-minta, tidak pandai bersabar dan tidak hormat pada orang tua dan tradisi. Percanggahan sikap ini paling ketara dilihat dalam dunia politik tanah air.

Keterujaan rakyat Malaysia tentang penglibatan pengundi muda dalam PRU-15 ini diikuti juga dengan komen yang sering diulang-ulang tentang perlunya orang muda meletakkan diri sebagai calon Ahli Parlimen atau Adun. 

Saya sudah beberapa kali dijemput menjadi panelis di pelbagai forum tentang “bagaimana meningkatkan penglibatan orang muda dalam politik” dan “nasihat kepada orang muda yang ingin menyertai politik.”  

Namun begitu, soal penglibatan anak muda dalam politik wajib dikupas dari sudut yang lebih menyeluruh dan bukan sekadar slogan buat halwa telinga semata-mata. Dilaung untuk dilihat terkehadapan sedangkan dalam perlaksanaannya jauh terkebelakang.  

Keintiman politik dan wang menjadi hubungan utama yang perlu diambil kira. 

Kepentingan wang dalam mendanai semua aktiviti politik, sama ada di musim pilihan raya atau tidak ialah hakikat yang wajib diterima oleh setiap rakyat Malaysia.  

Terutamanya budaya politik di Malaysia mementingkan hubungan peribadi di antara wakil rakyat dan pengundi – lihat sahaja media sosial calon-calon PRU15 ini dan jelas sekali bahawa turun padang ke kenduri kahwin, majlis perayaan, pengebumian dan rumah terbuka menjadi keutamaan ketika berkempen. 

Tentu sekali budaya ini lebih penting lagi selepas musim pilihan raya untuk mengekalkan kepercayaan pengundi terhadap wakil rakyat mereka. 
Kesemua aktiviti ini bukan percuma malah menelan belanja yang tinggi. Singgah di kenduri kahwin tentu sekali tidak manis dengan tangan yang kosong.

Persoalannya, bagaimana orang muda yang keadaan kewangannya tidak menentu dengan kadar gaji di Malaysia yang masih rendah membiayai keperluan kempen politik seperti ini? 

Lebih parah orang muda juga berhadapan dengan krisis kos sara hidup yang semakin meningkat serta sistem perlindungan sosial yang lemah. 

Mereka yang berusia 25 - 35 tahun biasanya baru mendirikan rumahtangga mempunyai anak kecil dan mula mengorak langkah dalam karier masing-masing. 

Namun cabaran-cabaran ini tidak disokong dengan setimpal oleh dasar seperti cuti paterniti yang mencukupi dan perkhidmatan penjagaan anak yang percuma dan selamat. 

Lebih sukar lagi, ramai rakyat Malaysia masih dibelenggu oleh kepercayaan terhadap peranan gender lapuk yang menyerahkan tanggungjawab membesarkan anak dan menguruskan rumahtangga hanya kepada ibu. 

Kempen pilihan raya dan seterusnya berkhidmat sebagai wakil rakyat memerlukan seseorang melaburkan masa yang banyak dan biasanya menuntut individu tersebut meletakkan jawatan daripada bekerja sepenuh masa ataupun bertukar kerjaya kepada sesuatu yang lebih fleksibel. 

Malangnya sebahagian besar anak muda tidak mempunyai keistemawaan untuk membuat pilihan tersebut. 

Seorang ahli politik harus menghabiskan masa mencari dana, turun ke kawasan, menyertai aktiviti parti, menghadiri mesyuarat (yang biasanya bermula pada lewat malam), mengagihkan bantuan dan bermacam-macam lagi. 

Sedangkan seorang lelaki muda sahaja sukar memberi sepenuh komitmen tenaga dan masa yang dituntut oleh sebuah karier politik, bayangkan bagaimana mencabar bagi seorang wanita muda. 

Harapan masyarakat terhadap seorang wanita lebih menghukum. Seorang wanita memikul tanggungjawab dan beban tambahan sebagai seorang isteri dan ibu yang solehah, dan imej keibuan itu juga menjadi bahan promosi dan penanda aras hebatnya seorang ahli politik wanita. 

Dengan erti kata lain, wanita diharap menjadi seorang adiwira luar biasa yang mampu melakukan kesemuanya dengan sempurna – tugas rumahtangga dan tanggungjawab kepada negara sambil mengekalkan imej sopan dan sederhana – jika tidak, bersedialah menerima tohmahan masyarakat yang sentiasa ingin mencari salah seorang perempuan.

Mereka yang sering berharap lebih ramai orang muda kehadapan dalam arena politik juga lupa bahawa politik itu secara sifatnya amat berisiko tinggi. 

Katakanlah orang muda yang betul-betul ingin menyumbang kepada negara meletakkan jawatan untuk bertanding dalam pilihan raya, apa akan berlaku sekiranya beliau kalah? 

Adakah beliau dengan semudah itu boleh kembali kepada kerja asalnya? 

Sudah tentu tidak. Kebanyakan syarikat di Malaysia agak berwaspada dengan penglibatan pekerja mereka dalam dunia politik kerana risau dilabel pro-itu dan ini oleh masyarakat. 

Tambahan pula ada syarikat yang mungkin menghadapi kesukaran dalam mendapatkan kontrak kerajaan sekiranya dilihat berpihak kepada mana-mana parti politik.  

Jika bekerja dengan badan bukan kerajaan (NGO) pula ada tanggapan seseorang mestilah “neutral” atau non-partisan. Lihat sahaja nasib beberapa tokoh NGO yang mengambil keputusan untuk menyertai politik sepenuh masa, sama ada sebagai wakil rakyat ataupun tidak. 

Mustahil mereka akan diterima kembali untuk mengetuai NGO mereka setelah bergelumang dalam dunia politik, tidak kiralah dalam parti apa sekalipun. Berapa ramai orang muda yang berkemampuan mengambil risiko sebesar ini?

Satu lagi kekangan besar yang menghalang kemaraan orang muda dalam politik ialah sifat politik kepartian itu sendiri.

Lazimnya, parti politik di Malaysia sangat mengutamakan hierarki dan senioriti yang jelas megutamakan pemimpin teratas. 

Pemimpin teratas parti pula biasanya lelaki yang sudah bertahun makan garam dalam dunia politik, justeru mempunyai kelebihan dari segi kewangan, jaringan dan pangkat yang bertambah dengan peredaran masa. 

Kelebihan-kelebihan ini akhirnya menyumbang kepada kitaran jahat yang sukar diputuskan, dan semakin menyekat jalan orang muda yang ingin menawarkan diri di barisan hadapan dunia politik. 

Kalau ada yang berani melawan, maka tertutup terus jalan tersebut. 
Bukan mudah untuk mendapat ahli politik seperti Tony Pua yang melaburkan masa dan tenaga beliau mencari orang muda terutamanya wanita muda yang berkaliber untuk menyertai politik dan memudahkan jalan mereka sehingga ramai yang menjadi menteri dan timbalan menteri ketika pentadbiran Pakatan Harapan dahulu.

Tujuan makalah ini bukan untuk membunuh aspirasi dan semangat orang muda yang ingin mengorak langkah dalam dunia politik. 

Sebaliknya, makalah ini ditujukan kepada rakyat Malaysia yang suka melontarkan kritikan tentang kurangnya minat orang muda mempertaruh diri dalam arena politik. 

Realitinya, infrastruktur dunia politik tanah air masih terlalu lemah untuk menampung kebangkitan orang muda, terutamanya wanita muda. 
Lebih baik sekiranya kita bersama mengambil langkah untuk memudahkan jalan orang muda yang ingin menyumbang tenaga dan kepakaran mereka demi negara. 

Usah harapkan orang muda menjadi adiwira menyelamatkan demokrasi kita. 

Runtuhkan dahulu tembok-tembok besar yang menghalang orang muda daripada mengambil risiko, hanya dengan cara ini pembaharuan dalam politik yang kita dahagakan dapat dicapai. 

Hal ini bukan masalah baharu. Malah, dilema dan kepayahan ini sudah lama berakar dalam pentas politik negara. 

Kesannya, politik menjadi dinasti dan gelanggang permainan anak orang kaya. 

Persoalan yang harus kita tanya diri kita semua adakah Malaysia sudah menjadi pembunuh cita-cita anak muda yang mahu membangunkan negara? – 29 Oktober, 2022.  

* Aira Azhari sedang menjalani Fulbright Professional Exchange Program di University at Albany, State University of New York (SUNY), Amerika Syarikat dalam bidang sains politik. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen