Pemimpin muda perlu bina reputasi terlebih dulu, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong

Negara ini ada ramai pemimpin muda yang baik tetapi mereka masih belum lagi membina reputasi diri, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2020.

MALAYSIA mempunyai ramai pemimpin muda yang baik tetapi mereka masih belum lagi membina reputasi diri, kata Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pemimpin muda perlu membina reputasi untuk mendapatkan kepercayaan pengundi.

“Mereka sangat bagus tetapi malangnya, mereka belum lagi membina satu reputasi,” kata negarawan berusia 95 tahun itu dalam satu temu bual bersama The Malaysian Insight di pejabatnya di Yayasan AlBukhary di Kuala Lumpur.

“Bila anda tidak ada satu reputasi kerana buat sesuatu yang penting, ia jadi sukar untuk rakyat letak kepercayaan pada anda.

“Tetapi mereka (pengundi) biasa dengan orang tua dan pencapaian mereka, jadi mereka terus datang balik pada orang tua ini.”

Bekas dua kali perdana menteri itu menjawab soalan tentang mengapa parti politik di kedua-dua belah sering melihat kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas untuk menjadi calon perdana menteri.

Dr Mahathir menjadi perdana menteri tertua di dunia pada usia 92 tahun ketika beliau mengetuai Pakatan Harapan (PH) menawan Putrajaya pada 2018.

Beliau digantikan dengan Muhyiddin Yassin, 72, pada Februari lalu selepas Muhyiddin membawa Bersatu keluar daripada gabunga kerajaan pemerintah..

Dalam usahanya mendapatkan semula kuasa persekutuan, PH sekali lagi melihat kepada Dr Mahathir, Anwar Ibrahim, 72, dan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal, 63, sebagai calon perdana menteri.

Sebagai perbandingan, Findland kini mempunyai perdana menteri termuda di dunia, Sanna Marin, 34, diikuti Ukraine,  Oleksiy Honcharuk, 35; El Salvador, Nayib Bukele, 38, dan Jacinda Ardern, 39, perdana menteri New Zealand.

Dr Mahathir yang juga ahli Parlimen Langkawi berkata walaupun beliau sanggup menarik diri daripada menjadi perdana menteri sekali lagi, beliau berasa seperti pentingkan diri sendiri jika tidak mahu berkhidmat kepada negara.

 

“Itu sebabnya mengapa saya fikir mereka masih membabitkan saya dalam rancangan mereka tetapi pada masa sama mereka mahu mengenepikan pemimpin tua. Tetapi pemimpin muda belum ada reputasi lagi.

“Syed Saddiq (Abdul Rahman) bertuah kerana dia ada peluang untuk menunjukkan kemampuannya. Dan ada juga pemimpin muda yang mula menunjukkan kemampuan tetapi belum lagi mencapai puncaknya.

“Ia akan ambil masa untuk mereka membina diri sebagai kemungkinan calon perdana menteri.

Dr Mahathir berkata beliau pada awalnya mahu bersara dan “menikmati hidup” selepas meletak jawatan pada 2003 tetapi ramai yang meminta beliau kembali untuk membantu menggulingkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu.

“Sebab mereka datang jumpa saya kerana mereka biasa dengan saya. Saya pernah jadi perdana menteri selama 22 tahun dan Malaysia jadi terkenal sehingga orang mula memanggil kita Hariman Asia.”

Sejarah dan pengalaman

Tetapi ahli Parlimen tertua di negara ini berharap pemimpin muda akan muncul selepas Parlimen Digital baru-baru ini.

Parlimen Digital adalam inisiatif yang menyaksikan golongan mula mewakili 222 kawasan spersekutuan di Malaysia dalam satu sesi Parlimen olok-olok menggunakan persidangan maya. Mereka dilaporkan neutral dengan peserta yang dipilih berdasarkan kecenderungan politik.

Bagaimanapun, polis menyoal siasat beberapa peserta berkenaan pengecualian inisiatif itu.

“Jelas mereka faham apa yang berlaku. Tetapi satu benda tentang pemimpin muda ini mereka tidak tahu sangat tentang sejarah negara ini, tentang pra kemerdekaan kita, perjuangan kita untuk merdeka dan sebagainya.

“Mereka terima apa yang mereka nampak sekarang sebagai perkara biasa, seolahnya keadaan memang selama ini begitu. Tetapi mereka tidak tahu masa saya bermula dulu, Kuala Lumpur hanya ada populasi 300,000, dan bukannya tujuh juta seperti hari ini.

“Berlaku perubahan tetapi mereka fikir ia memang begitu. Selama ini berlaku perjuangan,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir Mohamad menjadi menteri pendidikan pada 1974 ketika  berusia 49 tahun, walaupun menceburi politik lebih awal lagi. – Gambar fail EPA, 22 Julai, 2020.

Bekas presiden Umno dan pengerusi Bersatu itu berkata Malaysia sebelum ini mempunyai pemimpin muda.

“Masa saya mula menyertai politik, kami semua muda. Malah, Tun Abdul Razak dalam usia 40-an (ketika menjadi perdana menteri). Itu dianggap muda walaupun sekarang.

“Saya sendiri bermula sangat awal. Masa saya di sekolah, saya sudah mengetuai beberapa kumpulan dan terbabit dalam kempen menentang Malayan Union. Tetapi saya ambil masa 18 tahun sebelum jadi ahli Parlimen.

“Kami semua pemimpin muda kerana kami tidak ramai pemimpin tua,” katanya.

Katanya, walaupun bermula dari muda, beliau ambil masa lama sebelum menaiki kedudukan dalam parti.

“Saya kalah pada pilihan raya 1969 sebelum cuba kembali selepas itu. Tetapi pada masa itu, pemimpin kerajaan pusat sudah kenal saya ketika saya jadi ahli Parlimen pada1964-1969.

“Walaupun saya dipecat daripada Umno, Tun Razak fikir saya boleh beri sumbangan dan kembali sebelum menjadi menteri pada 1974. Tetapi ia ambil masa yang lama dari permulaan saya.

Razak menjadi perdana menteri termuda ketika dilantik pada 1970 pada usia 48 tahun sementara Dr Mahathir menjadi menteri pendidikan pada usia 49 tahun pada 2974.

Nasihat Dr Mahathir untuk golongan muda ialah mereka perlu membina reputasi.

“Hari ini, mereka mahu dilantik ketika usia muda. Bagi saya, hanya selepas usia 30 baru saya mula muncul kerana saya lantang sebagai seorang ahli Parlimen.

“Konfrontasi saya dengan PAP beri saya reputasi. Orang muda hari ini perlu menyertai sebuah parti dan menunjukkan mereka ada kualiti kepimpinan,” katanya. – 22 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen