PEMIMPIN muda terpaksa melalui pelbagai cabaran sukar dalam berdepan ahli politik populis dan veteran yang menyulitkan untuk mereka menggalas tugas kepimpinan, kata pemimpin belia dan penganalisis politik.
Mereka berkata lanskap politik yang mencabar dan budaya seperti itu menyebabkan pemimpin tidak cekap terus maju walaupun kepimpinannya teruk dan tidak mempunyai kemahiran pengurusan.
Pemimpin belia memberitahu The Malaysian Insight tidak ada kaitan antara umur dan keupayaan seseorang untuk mengendalikan krisis.
Sebaliknya, kata mereka pemimpin muda lebih mampu tampil dengan jalan penyelesaian yang kreatif.
Sementara itu penganalisis berkata untuk pemimpin muda bersinar di platform kebangsaan, mereka perlu keluar daripada bayang-bayang parti masing-masing.
Pengarah Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata politik di negara ini masih tertumpu kepada tokoh individu seperti bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dengan idea majlis operasi nasionalnya (NOC) dan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang menawarkan dirinya sebagai perdana menteri sementara.
Beliau berkata pemimpin muda sementara itu kekal senyap dan tidak membangkitkan isu yang membelengu generasi muda di negara ini.
“Pemimpin muda tidak dilihat sebagai kumpulan yang mampu menerajui negara. Mereka dilihat kurang kehendak politik dan keyakinan untuk menyuarakan idea.
“Mereka perlu tampil dengan idea yang luar biasa untuk membantu memandu Malaysia keluar dari cengkaman pandemik Covid-19 dan menerima idea rakyat untuk berjaya.
Hisomuddin berkata rakyat kecewa dengan apa yang sedang berlaku dalam negara dan tidak pasti kumpulan mana – sama ada ahli politik muda atau veteran – yang akan bertindak untuk manfaat mereka jika dipilih pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Kita tidak tahu pun adakah orang muda akan keluar mengundi pada PRU akan datang. Kalau mereka keluar sekalipun, mungkin mereka akan sengaja merosakkan undi.
“Namun, masih ada banyak peluang untuk pemimpin muda yang berani keluar daripada dogma lama. Terpulang kepada mereka sekarang.
“Adakah mereka mahu menjadi pemimpin masa depan atau terus berada di sebalik bayang pemimpin yang gagal,” katanya.

Penganalisis politik Oh Ei Sun berkata umur bukan penanda aras untuk mengukur sama ada seseorang pemimpin itu cekap dan berjaya.
“Ia bukan sangat tentang persoalan tua lawan muda seperti cekap lawan tidak cekap dan bijak lawan tidak begitu bijak.
“Ia juga tentang mempunyai pemimpin yang terdedah kepada amalan terbaik di dunia, berbanding ahli politik yang berfikiran sempit,” katanya.
Oh berkata walaupun ahli politik muda seperti Yeo Bee Yin daripada DAP membuktikan dirinya sebagai pemimpin yang cekap, ahli politik vetera akan masih mendapat undi rakyat.
“Majoriti pengundi di negara ini tidak sedia untuk memberikan peluang kepada ahli politik yang lebih cekap, berfikiran terbuka dan bijak kerana mereka yang sebenarnya lebih konservatif dan cenderung jadi lebih populis.
“Sama juga seperti mereka yang tidak cekap, mereka populis.
“Ketika mengendalikan hal ehwal negara yang lebih besar, mereka langsung tidak cekap tetapi mereka pandai ambil hati rakyat dan buat lawak bodoh yang ramai orang suka,” kata Oh.
Pemimpin muda cetus kepelbagai idea dan suara
Pengasas bersama Muda Lim Wei Jiat juga bersetuju tidak ada hubung kait antara umur dan kemampuan seseorang untuk mengendalikan krisis, tetapi pemimpin muda mampu tampil dengan penyelesaian kreatif.
“Pemimpin muda secara amnya, ada kelebihan dalam memberikan penyelesaian kreatif yang progresif, bukan cara birokrasi lama, mampu bercakap tentang idea itu secara berkesan di media sosial, dan sebagainya.”
Lim memberikan contoh Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berusaha sendiri mengumpul dana untuk memberikan ratusan tablet dan diberikan kepada penduduk di kawasannya bagi membantu mereka mengendalikan kelas pembelajaran atas talian di rumah.
“Lihat saja beliau yang tidak peduli birokrasi dan menyerahkan ribuan komputer riba secara efisien kepada penduduk di kawasannya.
“Lihat bagaimana beliau menggunakan Instagram dan TikTok untuk membangkitkan isu seperti mati dalam tahanan dan pembukaan semula Parlimen, yang dapat didengar ramai orang di mana media arus perdana tidak mampu berbuat demikian,” katanya.
Lim berkata penyelesaian kepada krisis kepimpinan Malaysia ialah dengan melantik sebanyak mungkin pemimpin muda untuk membawa kepelbagaian dalam suara dan idea.
“Belia tidak diwakili di majlis perbandaran tempatan, sidang dewan undangan negeri dan hinggalah ke Parlimen. Lihat saja kepada Kabinet hari ini – tidak ada seorang menteri pun di bawah usia 40 tahun.” – 15 Julai, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen